Monday, October 1, 2007

UMNO TIDAK AKAN JADI PARTI LUAR

UMNO tidak akan ke Sarawak melainkan dijemput oleh barisan parti yang memerintah negeri itu sekarang yang diterajui oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB). Ini penting kerana jika UMNO dibawa masuk oleh parti bukan pemerintah secara tidak langsung ia akan menjadi "parti luar" atau "parti lawan". Keadaan ini sudah pasti tidak sesuai dengan UMNO, parti yang kini menjadi tunjang kekuatan Barisan Nasional (BN).

Malah kenyataan pemimpin tertinggi UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presidennya selama ini mengenai UMNO tidak akan ke Sarawak tentunya menyakinkan rakyat Sarawak bahawa parti itu tidak akan mengikut langkahnya ke Sabah. Ini kerana keadaan di Sabah ketika itu berbeza selepas Datuk Seri Pairin Kitigan menikam dari belakang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. PBS menarik diri daripada menjadi ahli komponen BN, lima hari menjelang PRU itu. Ketika itu, BN sudah pun menyenaraikan 14 orang calon PBS untuk bertanding kerusi Parlimen bersama enam calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) atas tiket Barisan Nasional.

Apabila PBS keluar daripada BN, secara automatik BN kehilangan 14 buah kerusi Parlimen dan tanpa sokongan daripada pengundi PBS, agak sukar untuk BN memenangi kerusi di kawasan yang ditandingi mereka melalui USNO kerana PBS mempunyai pengaruh yang agak kuat di Sabah. Keadaan ini ditambah lagi dengan kenyataan Presiden PBS itu bahawa mereka menyokong S46, yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah, di kawasan-kawasan Parlimen yang lain. Ternyata cara penarikan diri pada saat-saat akhir ini dan pengisytiharan menyokong S46 untuk menentang BN oleh PBS adalah hasil daripada satu konspirasi politik peringkat tertinggi antara pucuk pimpinan kedua-dua parti. Tindakan main belakang PBS itu memaksa UMNO masuk ke Sabah.

Oleh itu, pandangan seorang kolumnis Malaysiakini bahawa ada kemungkinan UMNO akan memulakan langkahnya ke Sarawak berikutan masalah ketandusan pemimpin di negeri itu selepas Tan Sri Taib Mahmud, jauh panggang dari api. Ini kerana selain TS Taib, Sarawak mempunyai ramai pemimpin pelapis seperti Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg, Datuk Adenan Satem dan Datuk Awang Tengah Ali Hassan. Sarawak pasti tidak memerlukan UMNO ke Sarawak semata-mata untuk mendapatkan pemimpin pelapis.

Pemimpin pelapis ini diberikan pelbagai ilmu dan panduan oleh TS Taib mengenai selok-belok pemerintahan Sarawak yang unik dan istimewa. PBB selama ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai parti berteraskan kaum China dan Dayak. Pemimpin pelapis ini sudah bersedia untuk mengambilalih tugas berkenaan apabila tenaga mereka diperlukan. Yang penting pemimpin pelapis perlu bersatu dan bekerjasama di antara satu sama lain. Jika wujud perselisihan, mereka perlu berbaik semula seperti peribahasa Melayu, "Berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang". Bersatu kita teguh, berpecah kita roboh.

No comments: