Tuesday, October 16, 2007

SEMUA TANGGUNGJAWAB ADA CABARAN

Pagi ini, kawan lama, Tan Sri Lee Lam Thye, menelefon saya untuk mengadu bahawa blogger banyak "menghentam" beliau berikutan perlantikannya sebagai anggota panel bebas menyiasat kesahihan video VK Lingam. Selain, news portal Malaysiakini yang menyiarkan isu mengenai video itu banyak lagi blog persendirian yang mempersoalkan penubuhan panel bebas itu termasuk mempertikaikan anggotanya.

TS Lee memberitahu saya, banyak blog yang mempersoalkan mengenai integritinya. Mereka membuat pelbagai tuduhan antaranya seorang yang tidak mempunyai pendirian. Manusia yang tidak boleh diharapkan dan banyak lagilah. Kesihan juga mendengarnya. Menurut TS Lee, beliau dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab itu dan sudah semestinya akan memberikan usaha yang terbaik. Baginya, perlantikan itu adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul dan bukanlah boleh dibuat "main-main". "Bagilah kami peluang untuk menjalankan tugas dahulu. Janganlah peringkat awal lagi sudah membuat pelbagai tuduhan dan kenyataan".

Saya yakin, TS Lee akan dapat mengharungi semua cabaran ini kerana beliau tentu sudah lali dengan pelbagai perangai manusia sejak dulu lagi. Sebagai Ahli Parlimen Kuala Lumpur Bandar/Bukit Bintang, (1974-1990) TS Lee amat disayangi oleh masyarakat setempat malah memilihnya beberapa penggal sehinggalah beliau memberi laluan kepada calon lain. Selepas bersara daripada politik pada 1990, beliau bergiat cergas dalam aktiviti sosial termasuklah dalam pencegahan jenayah. TS Lee diberi penghormatan menjadi Pengerusi PLKN yang kedua oleh kerajaan dan sehingga kini berjaya menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, berilah peluang kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai ahli panel bebas mengenai video VK Lingam itu. Banyak bersabar TS Lee.

No comments: