Saturday, April 18, 2009

SATU MALAYSIA - AZIMAT KERAMAT

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan slogan Malaysia Boleh, ramai yang meragui keberkesanan kata-kata semangat itu. Ada yang merasakan ia hanya satu lagi slogan diutarakan oleh Perdana Menteri sebagai catatan sejarah pemerintahannya.

Namun, selepas 22 tahun menerajui negara ini, slogan itu menjadi satu azimat kepada rakyat negara ini untuk bertindak dalam keadaan paling terbaik bagi mencapai sesuatu. Slogan itu membolehkan Malaysia menghantar anak watannya mengelilingi dunia dengan belayar secara solo. Malaysia mendaki gunung tertinggi di dunia di mana rakyat tempatan berjaya menakluki Gunung Everest yang selama ini menjadi impian saja. Inilah kekuatan slogan dan semangat itu. Membina jiwa besar dan berusaha ke arah terbaik.

Kini, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan SATU MALAYSIA. Hasrat murni ini berpijak kepada usaha membentuk satu negara bangsa. Ia mendokong satu jiwa besar untuk berubah daripada sikap menempurungkan diri dalam etnik tertentu kepada depangan tangan seluas-luasnya untuk menerima bahawa 'kita adalah satu' walaupun ada pelbagaian.

Satu Malaysia seperti juga slogan Malaysia Boleh sudah tentu dipandang sinis ataupun skeptik sesetengah pihak akan kejayaannya. Hakikatnya inilah sikap rakyat Malaysia yang selalunya memandang sepi terhadap sesuatu hasrat murni pemimpin. Malah ada yang menyifatkannya sebagai kelangsungan idea pihak tertentu iaitu Malaysian Malaysia.

Hakikatnya, Satu Malaysia ini lebih besar daripada Malaysian Malaysia. Ia lebih realistik. Ia satu permulaan perjuangan untuk menyatukan negara ini menerusi jiwa besar untuk bersatu dalam pelbagaian. Perjuangan tanpa menidakkan hak kaum tertentu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bukan Malaysian Malaysia yang hanya satu slogan politik sempit. Hakikatnya rakyat telah menolak Malaysian Malaysia kerana ia mengetepikan hak bangsa dan menegakkan kesamarataan yang tidak berpaksi.

Apa yang ingin diketengahkan oleh Perdana Menteri Keenam ialah mengajak rakyat Malaysia berfikir di luar lingkungan. Rakyat perlu berfikir sebagai satu entiti Malaysial. Tanpa menidakkan kepentingan kaum sendiri, mereka perlu melihat ikatan yang lebih besar iaitu rakyat Malaysia. Tentunya ia menagih kekuatan mental dan jiwa.

Contoh yang mudah dilontarkan oleh Perdana Menteri ialah jika berlakunya kemalangan di jalanraya, kita tidak berhenti semata-mata ingin melihat siapakah mangsa itu sebelum menetapkan sama ada untuk membantu atau sebaliknya. Satu Malaysia menghambat kita untuk membantu mangsa kemalangan itu tanpa memikirkan individu itu Melayu, Cina atau India.

Selain itu, dalam memberikan bantuan kepada golongan pintar, ia tidak terbatas kepada kaum tertentu saja. Ia perlu merentasi faktor kaum sebaliknya menekankan perkara asas iaitu kebijaksanaan faktor utama bantuan dihulurkan. Tindakan murni berorientasikan rakyat secara keseluruhannya. Ia bukan lagi, aku aku dan kau dengan dunia keengkauanmu.

Satu Malaysia tidak mustahil untuk dicapai. Ia memerlukan satu transfomasi minda yang hebat. Ia menagih rakyat negara ini mencairkan semangat perkauman menebal sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang amat serasi.

Semoga Satu Malaysia ini menjadi katalis kepada satu perjalanan panjang untuk membawa rakyat negara ini membuka hati dan minda mereka untuk berjiwa besar dan ikhlas. Tanpa jiwa besar dan keikhlasan, ia akan hanya menjadi mimpi di siang hari.

10 comments:

bakarmo said...

Saya amat bersetuju dengan konsep 1 Malaysia PM. Buat permulaan bukalah peluang kepada anak2 bukan bumiputra untuk duduk belajar bersama2 anak2 bumiputra di UITM. Ini adalah untuk menguji setakat mana konsep 1 malaysia dan tolenrasi kaum dapat dilaksanakan. Ini adalah salah satu daripada banyak contoh.

joegrimjow said...

suka dengan malaysia sekrag
hope mlsia akan lebih maju

yg pntg
aman...

Anonymous said...

Boleh memang boleh..saya rasa orang melayu dah banyak tolerate dengan bangsa lain.disebabkan terlalu lembut hati dan banyak sangat tolak ansur inilah senario yang kita hadapi.Baik biar berpada2..satu Malaysia ni subjektif tapi tak mustahil boleh menjadi realiti. Yang penting setiap antara kita tahu tanggungjawab masing2 dan berlumba-lumba dalam bidang ilmu untuk memantapkan diri.Setelah ilmu penuh barulah konsep satu malaysia dapat dibangunkan.Jangan bila ada saja konsep baru, kita orang melayu tak mahu sedar dan merebut peluang untuk memajukan diri. Dalam zaman apapun kita dan dalam konsep apepun yang diperkenal oleh pemimpin yang bersilih ganti, kita sendiri perlu ada prinsip yang menjadi pegangan. Harap2 senario politik kembali tenang dan sama2 lah kita kearah satu Malaysia yang mementingkan perpaduan.

Mohd Nadzri Kamsin said...

1Malaysia 1Prime Minister.

OrgkpgDoha said...

Salam Dtuk Tger,,

Konsep satu malaysia ini telah lama diamalkan oleh rakyat malaysia yang berkerja dan berada di luar negara. Tidak kira bangsa Cina, India ,serani atau melayu semuanya boleh duduk dan berbincang untuk kebaikan Negara. Kenapa pula Satu malaysia tidak boleh diamalkan di Malaysia dulu dan sekarang?. Kita tunggu sahaja slogan " Satu Malaysia" diwar-warkan seperti slogan "Muhibbah" pada ketika masa dulu.

RTM kena lah siarkan selalu slogan "SAtu Malaysia"

Al-Yasar said...

Salam,

Orang bukan Melayu yang cerdik, tentu akan gembira dengan konsep Satu Malaysia,kerana pelaksanaan konsep ini tidak akan merugikan mereka. Mereka akan berada dalam kedudukan sebagai "penerima faedah", dan mungkin tidak ada apa-apa "tolak ansur" yang perlu mereka lakukan.

Akan tetapi, orang Melayu yang kurang cerdik mungkin akan menerima konsep ini dengan gembira juga, walaupun konsep ini sebenarnya menghendaki mereka banyak bertolak ansur seperti pada masa yang lalu, yang mungkin akan merugikan mereka. Mereka tidak bersikap kritis,kerana memang sikap orang Melayu suka menghampu pemimpin, dan menganggap apa yang dilakukan oleh pemimpin "tidak pernah salah".

PARPUKARI said...

Please read the truth about situation in Perak here, this story is from the Perak officials!

http://parpukari.blogspot.com/2009/04/perak-truth.html

Anonymous said...

Assalamualaikum Dato',

Dengan izin,

Saya amat bersetuju bahawa penjawat awam seharusnya melaksanakan segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan memerintah.

Namun sedemikian, penjawat awam juga harus sedar bahawa mereka bekerja untuk kerajaan yang diberi amanat/mandat oleh rakyat secara khususnya dan gaji penjawat awam ini juga adalah hasil ikhsan dari cukai-cukai rakyat.

Dato',

Merujuk kepada penubuhan kerajaan yang terhasil daripada PRU 12, dapat disimpulkan bahawa rakyat yang membayar cukai ini tidak semuanya mengundi untuk kerajaan sekarang/Barisan Nasional.

Oleh yang sedemikian, adalah perlu supaya sebagai penjawat awam yang aspirasinya untuk rakyat meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan melupakan kumpulan politik yang disokong.

Saya berharap agar penjawat awam lebih NEUTRAL dalam hal politik agar dapat melaksanakan tugas dengan baik tanpa perlu menghasilkan konflik politik yang akan membelakangkan hak rakyat.

Oleh itu, lebih baik jika pihak Dato' dapat menghasilkan bahan yang telus agar tidak dilihat sebagai berat sebelah. Rakyat sekarang mungkin lebih mengutamakan bahan yang membuka akal untuk membuat pilihan dari momokan yang menjurus kepada pemaksaan fikiran.

Saya berharap aspirasi 1Malaysia ini juga mengutamakan penyiaran yang lebih neutral tanpa berat kepada sesuatu parti politik sahaja.

Dengan izin,

Permintaan saya ini diharap dapat dilihat oleh pihak Dato' sebagai "masuk akal"

Tidak salah penjawat awam bersikap neutral dalam politik kerana kerajaan boleh sahaja bertukar tangan.

Sekian, terima kasih.

-non-partisan-















Kecenderungan kepada satu parti politik juga boleh menyusahkan diri jika kerajaan bertukar tangan.

mat_terab said...

Nampak sangat Najib tak dak idea lagi terpaksa mencedok idea DAP...tak gitu Datuk....?

Anonymous said...

Salam Datuk..pembodek besar betul la Datuk ni..


stongkol