Wednesday, October 3, 2007

TIDAK PERLU GADUH-GADUH

Pilihanraya Kampus di 17 universiti awam bertujuan memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam ertikata lain memilih wakil untuk mengetengahkan suara dan pandangan pelajar. Itu saja. Bukan untuk mendapat kuasa memerintah negeri atau negara. Hanya mewakili pelajar dalam sebarang bentuk perbincangan yang memerlukan kehadiran mereka. Ahli MPP perlu memperjuangkan kebajikan pelajar termasuk kemudahan tempat belajar atau kenaikan yuran.

Oleh itu, tidak payahlah "gaduh-gaduh" dan mula menanam benih "benci-membenci" seperti pemimpin parti politik yang bergelut untuk mendapat majoriti kerusi bagi memerintah negeri atau negara. Jika pelajar, buat cara pelajar. Jangan jadi orang politik pula, nanti tidak lulus peperiksaan terpaksa pula "bungkus" dan balik kampung. Kesihan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak mereka. Orang kampung dah tahu anak pergi "U", alih-alih muncul di kampung kerana dibuang universiti.

Laporan Malaysiakini yang menyatakan pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pihak tertentu dan tindakan mengoyak sepanduk kain rentang sepatutnya tidak berlaku. Bertandinglah secara sihat dan gentleman pada masa akan datang. Pihak universiti, biarlah pelajar memilih calon untuk mewakili mereka sendiri. Siapa menang, dialah jadi wakil pelajar. Hari ini atau esok pun akan tahu siapa akan menang.

Satu lagi agak pelik mengenai laporan media termasuk media baru yang menyatakan dalam pilihanraya kampus ini ada pelajar yang mewakili 'anti-establishment' atau "pro-pembangkang" dan ada pula dari kumpulan 'pro-establishment' atau "pro-aspirasi". Macam pilihanraya umum pulak. Ada penyokong kerajaan dan ada pula bersimpati dengan pembangkang. Ini tidak sihat dan tidak akan membantu mendidik pemimpin masa akan datang.

Tidak payahlah buat macam tu, bertanding saja sebagai seorang pelajar. Media pun tidak payahlah melabelkan mereka sebegini yang dilihat sebagai menunjukkan kumpulan yang menyokong kerajaan atau sebaliknya. Kita perlu memastikan pelajar yang akan menjadi pemimpin negara akan datang bertanding secara jujur, ikhlas dan komited untuk memperjuangkan suara pelajar. Janganlah pula menyokong saja walaupun ia tidak menguntungkan pelajar dan usah pula membantah seolah-olah apa yang dibuat oleh pihak universiti tidak betul. Yang penting, jangan terpengaruh dengan hasutan pihak luar untuk menentang pentadbiran universiti. Yang rugi ialah pelajar.

1 comment:

Husin Lempoyang said...

Parti politik terlalu insecure dengan diri mereka hingga pelajar opun mereka perlu pengaruhi.

Fitrah anak muda untuk menjadi rebel dan kritikal. Apabila mereka memasuki dunia pekerjaan dan realiti, baru mereka sedar keadaan dan kompleks dunia sebenar. Kebanyakkan akan conform dan mengambil cara organik dalam membawa pembaharuan.

Sebenarnya pemikiran yang bebas perlu bagi pelajar membina minda yang independent, bermoral dan berprinsip. Kita perlu pelajar2 yang memegang kepada prinsip "berani menyatakan kebenaran", "amal makruf nahi munkar", dan lain2. Dengan kemasukkan pengaruh pemikiran parti2 politik perdana ke dalam kampus, pelajar2 sudah menjadi terkongkong kepada pemikiran apologis yang mempertahankan ideologi dan polisi2 parti sama pemerintah atau pembangkang.

Biarkanlah mereka dikala di menara gading untuk berfikiran idealis. Banyak masa untuk menjadi praktikal. Jangan lupa bahawa banyak kemungkaran berlaku kerana prakticality.

Sebenarnya parti pemerintah tidak seharusnya bersifat insecure dan tergugat sekiranya anak2 muda ini tidak berfikiran seperti mereka. Sebagai penyokong kerajaan, saya agak berlainan fikiran dengan cara parti kerajaan menangani politik kampus. Bukankah mereka harus percaya apa yang telah mereka lakukan untuk negara ini adalah yang baik. Bukahkah "water will find its true level"? Apa perlu gusar?