Monday, February 1, 2010

PEMBANGUNAN UNTUK KEBAIKAN SEMUA

Apa beza dan persamaan tindakan kerajaan membina tembok di sepanjang lebuhraya yang merentasi perumahan dan memperbaiki rumah rakyat yang memerlukan? Jawapan untuk persamaan ialah usaha itu untuk memastikan keselesaan rakyat.

Bagaimanapun jawapan untuk perbezaan ialah sudah tentulah dari segi kos. Sudah pasti untuk membina tembok di sepanjang lebuhraya merentasi taman perumahan lebih mahal daripada pendekatan memperbaiki rumah yang sudah uzur.

Bagaimanapun, kedua-dua ini perlu berjalan serentak sejajar dengan Gagasan 1Malaysia bagi memastikan rakyat tidak kira di bandar atau luar bandar mendapat bantuan yang diperlukan. Dalam ertikata lain, bantuan itu diagihkan sama rata ke setiap pelusuk.

Secara tidak langsung pula, kita akan melihat satu lagi perbezaan ialah kegiatan membina tembok adalah kebanyakannya di kawasan bandar atau berdekatan manakala usaha memperbaiki rumah kebanyakannya di luar bandar. Ramai yang memerlukan.

Dalam hal ini, secara logiknya jika kerajaan menggunakan duit untuk membina tembok di kawasan perumahan di bandar bagi tujuan memperbaiki rumah, sudah tentu bilangan rumah yang boleh diperbaiki lebih banyak. Secara langsung lebih ramai rakyat akan tersenyum lebar dan berpuas hati dengan kerajaan. Mereka ini penduduk luar bandar.

Ironinya, dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, walaupun banyak tembok dibina di kawasan bandar dan berdekatan bandar, penduduknya seolah-olah 'tidak menghargai' usaha kerajaan itu dengan memberi undi kepada pembangkang. Di Wilayah Persekutuan, hanya dua kerusi Parlimen yang selamat kerana yang lain semua 'diserahkan' kepada parti pembangkang. Alahai.

Oleh itu, ramai pihak yang mengatakan maka lebih baiklah kerajaan menggunakan duit yang mahu diperuntukkan kepada penduduk bandar kepada masyarakat luar bandar yang sudah tentu memihak kepada kerajaan sejak dari dulu lagi. Boleh ke?

Ini secara tidak langsung mengingatkan penduduk dalam bandar bahawa mereka perlu menganggap pembangunan yang dilakukan kerajaan adalah untuk kesenangan mereka. Mereka perlu memaparkan kesyukuran itu dengan berterima kasih kepada kerajaan.

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat bahawa segala kemudahan bagi penduduk luar bandar perlu diberikan untuk memastikan mereka akan bertukar fikiran untuk memilih kerajaan semula pada PRU yang akan datang. Adakah mereka akan berbuat demikian?

Jika penduduk bandar terutama mereka yang berasal dari kampung dan terpaksa menyewa rumah tidak mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan maka 'rasa sakit hati' itu akan dibawa ke kampung. Sudah tentu mereka akan berusaha mempengaruhi sanak-saudara dan sahabat handai agar memilih parti bukan kerajaan.

Oleh itu, timbang-timbanglah dengan baik.

3 comments:

Kamarul Bahri said...

YBhg. Datuk...

Pertama sekali, tahniah di atas penganugerahan darjah sempena Hari wilayah Persekutuan. Untuk posting YBhg. Datuk kali ini, ini pendapat saya,(yang mungkin sudah diutarakan oleh orang lain sebelum ini) supaya kerajaan yang ada sekarang dapat kembali bertakhta di hati rakyat jelata, terutama golongan muda yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan, iaitu:-

2. Kerajaan pada pandangan saya perlu memastikan rakyat tidak tersepit dengan kehidupan yang serba mahal di Bandaraya, seperti harga barang yang melambung naik, tol di sana-sini, cukai di sana-sini dan gaji yang tak pernah naik-naik.

3. Mewujudkan peluang pekerjaan dengan merancakkan ekonomi: dengan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, maka rakyat akan beroleh pendapatan. Dengan beroleh pendapatan, maka kuasa beli rakyat akan bertambah, sekaligus akan merancakkan pertumbuhan ekonomi... sehubungan itu kerajaan perlulah menjadi 'engine of economic growth' sekali lagi, dengan berganding bersama sektor swasta.

3. kerajaan perlulah melipatkan gandakan usaha mencari 'cukai tidak berhasil' atau memburu mereka yang cuba mengelak cukai (bukan hanya memburu mereka yang makan gaji sahaja). Memburu mereka yang enggan membayar cukai ini termasuklah usahawan-usahawan, pendatang-pendatang tanpa izin yang dikatakan ramai di negara ini... bayangkan jika seringgit sehari dikutip daripada setiap pendatang ini, maka sehari sehaja, kerajaan mungkin (mungkin?) mempu mengutip jutaan ringgit sehari daripada cukai yang dikenakan terhadap mereka.

4. Kerajaan perlu memantau majikan swasta supaya tidak memanipulasi situasi ekonomi untuk menindas pekerja. Malaysia ini amat bertuah kerana mempunyai pekerja yang berhemah tinggi yang tidak memberontak seperti sesetengah negara jika kenaikan gaji mereka dinafikan. Ini kerana pekerja di negara ini satu golongan yang mementingkan kesejahteraan dan ketenteraman awam, daripada memberontak untuk kenaikan gaji seperti negara-negara lain. Jika dikaji, hanya kerajaan sahaja baru-baru ini yang menaikkan gaji pekerjanya, berbanding pekerja sektor swasta yang tidak pernah rata-ratanya tidak pernah merasai kajian semula struktur gaji selepas tahun 1997. Jadi untuk itu, pekerja di negara ini berada dalam keadaan tertekan dan sudah tentu boleh 'beralih arah' kepada pembangkang yang menyogokkan 'cerita fantasi' kepada mereka setiap kali pilihan raya.

5. UMNO dan Barisan Nasional perlu lebih menggiatkan usaha untuk menarik golongan profesional Melayu, Cina dan India untuk menyertai parti UMNO,MCA dan MIC, bukan menghalang mereka daripada menyertai parti-parti tersebut. BN perlulah mengadakan Kelab Golongan Profesional dalam parti mereka untuk mereka ini bergiat cergas dalam perti sekaligus melontar idea-idea baru yang dapat memberikan nafas baru kepada BN serta memastikan BN tidak akan ketandusan golongan pelapis. Cadangan mengutamakan Mat Rempit seperti yang diutarakan oleh salah seorang pemimpin UMNO sebelum ini, pada saya adalah amat kurang bijak, dan UMNO terpaksa membayar harga yang mahal pada PRU ke 12 dua tahun lalu.

Sekianlah sahaja pendapat daripada saya, selaku ahli biasa UMNO, yang sayangkan negara dan parti yang telah banyak membantu saya untuk 'bertatih' dalam kehidupan.

KAMARUL BAHRI ABDUL KADIR
Shah Alam, Selangor.

Anonymous said...

1.Pembinaan tembok di kawasan perumahan di bandar hanya memberi manfaat kepada segelintir penduduk bandar sahaja.
2. Majoriti penduduk bandar memerlukan Kerajaan menyelesaikan beberapa perkara berikut:
a. kemudahan awam yang selesa dan menepati masa
b. tol yang sentiasa naik
c. keselamatan persekitaran yang terjejas akibat daripada banyak kejadian jenayah seperti ragut, rompak, bunuh dan sebagainya
d. Kebanjiran pendatang asing yang memberikan ketidakselesaan kepada penduduk bandar(kerajaan harus berhati-hati dengan kemasukan mereka kerana baru-baru ini 40,000 warga india lesap tidak dapat dikesan). Ini akibatnya VOA(visa on arrival) yang diperkenalkan. Apakah yang diutamakan oleh Kerajaan kita, keselamatan dan kesejahteraan rakyat atau atau pelancongan?. Adakah promosi pelancongan tidak boleh dibuat secara tradisi? Apakah aspek keselamatan tidak diambilkira sebelum sistem VOA
e. peluang pekerjaan yang semakin terhakis diambil oleh pendatang asing
f. kos sara hidup yang tinggi juga menyebabkan kenapa penduduk bandar kecewa dengan Kerajaan
g. penduduk bandar tidak boleh digula-gulakan dengan pembangunan sahaja tetapi Kerajaan haruslah telus dalam menguruskan pentadbiran negara.Kerajaan tidak boleh memberikan alasan yang bodoh bagi mengatasi sesuatu isu berkaitan dengan kesejahteraan rakyat(seperti kenaikan harga minyak, penyelewengan wang PKFZ, kenaikan tol, kenaikan harga barang samada barangan makanan atau pembinaan seperti simen, besi dll.

3. Sekarang ini adalah masa yang sesuai kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan merenung kembali apakah langkah-langkah yang perlu untuk menjadikan negara kita negara yang aman dan makmur yang dinikmati seluruh warga marhaen dan aristokrat.

terima kasih

besi berani

syana said...

Congratulations on your Datukship.