Monday, September 17, 2007

BANYAK UNTUNG, BANYAK UPAH

Malaysian Business, majalah keluaran Berita Publishing Sdn Bhd mengeluarkan kaji selidik tahunannya mengenai pendapatan pengarah syarikat di negara ini. Sudah tentulah pengarah yang mendapat upah tahunan tertinggi adalah daripada Genting Bhd. Jika kita kuat bekerja dan dapat banyak untung, maka kita akan mendapat banyak upah. Jika tiada untung tetapi dapat banyak upah, maka itu pelik dan ajaib. Banyak syarikat buat macam tu. Ada juga syarikat untung, pengarah saja yang dapat upah tinggi. Pekerja terus melopong. Berilah sedikit sempena Ramadan dan Hari Raya ni. Panjang umur syarikat.

Ikutilah berita daripada akhbar Utusan Malaysia.

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Genting Bhd. (Genting) merekodkan pembayaran upah tahunan tertinggi kepada pengarah iaitu antara RM92.55 juta hingga RM92.6 juta atau secara amnya lebih kurang RM7.7 juta sebulan atau RM253,000 sehari.

Resort World Bhd., anak syarikat Genting turut membayar upah tahunan yang tinggi kepada pengarahnya lebih daripada RM44.5 juta seorang.

Majalah perniagaan tempatan, Malaysian Business dalam satu kenyataan menerangkan, Genting tidak menamakan pengarah tersebut.

Namun berdasarkan kedudukan dalam senarai lembaga pengarah Genting, pengarah berkenaan adalah Tan Sri Lim Kok Thay yang merupakan Pengerusi, Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat terbabit.

Selain itu, Genting merupakan syarikat yang mencatat rekod peratus peningkatan upah tertinggi bagi pengarah-pengarahnya pada 2006.

Mengikut kaji selidik tahunan Malaysian Business, tempat ketiga yang membayar upah tahunan tertinggi kepada pengarah selepas Genting dan Resort World ialah IOI Corporation Bhd. yang membayar antara RM18.85 juta hingga RM18.90 juta.

Tempat keempat tertinggi upah tahunan kepada pengarah ialah Berjaya Sport Toto Bhd. antara RM11.8 juta hingga RM11.85 juta dan tempat kelima DRB-Hicom Bhd. antara RM9.4 juta hingga RM9.5 juta.

Malaysian Business berkata, sejumlah 20 syarikat disenaraikan membayar upah tahunan tertinggi kepada lembaga pengarah masing-masing.

Bumiputera-Commerce Holdings Bhd. menyertai senarai 20 syarikat tersebut yang memberi kenaikan besar upah kepada pengarahnya, tambah kenyataan itu.

Sementara itu, eksekutif-eksekutif atasan OSK Holdings Bhd., Star Publications (M) Bhd., SP Setia Bhd. dan Hwang-DBS (M) Bhd. juga menerima pakej upah yang besar pada 2006, kata Malaysian Business.

Paling menarik, tambah majalah tersebut, Pengerusi Public Bank Bhd. (Public Bank), Tan Sri Teh Hong Piow tidak tersenarai pada tahun ini, sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tay Ah Lek merupakan penerima bayaran upah tertinggi bagi pengarah dalam syarikat perbankan.

Menurut Malaysian Business, Ah Lek menerima RM8.05 juta pada 2006 iaitu RM5.53 juta sebagai pengarah dan RM2.52 juta daripada saham opsyen, sebaliknya Hong Piow sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif tidak melaksanakan opsyen beliau pada tahun lalu kerana telah melaksanakannya pada 2005.

Oleh itu, jumlah bayaran upah pengarah Public Bank susut sebanyak 36 peratus pada 2006 daripada RM41.9 juta kepada RM26.6 juta, katanya.

Sementara itu, British American Tobacco (M) Bhd. dan Texchem Resources Bhd. terkeluar daripada senarai 20 syarikat teratas, tambahnya.

Menurut majalah itu, kaji selidik itu dibuat ke atas 639 syarikat dengan jajaran upah melebihi RM300,000 seperti yang dinyatakan dalam laporan kewangan masing-masing.

Malaysian Business berkata, apa yang paling menarik terdapat sebilangan syarikat yang mengalami kerugian besar tetapi masih membayar upah tinggi kepada pengarahnya.

No comments: