Wednesday, September 12, 2007

JANGAN TUDUH,..TAPI BOLEH SIASAT

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang amat popular dengan tindakannya menghunus keris satu masa dulu, sedia disiasat berhubung Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang melebihi harga pasaran, ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2002, sehingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Anak mantan Perdana Menteri dan cucu Tokoh Gemilang Malaysia menegaskan, beliau tidak ada apa-apa yang hendak disorokkan, demikian berita Malaysiakini yang memetik laporan Berita Harian hari ini. Katanya, pihak berkuasa harus menyiasat dan siapa yang bersalah tetap bersalah. "Jika ada kesalahan, ambil tindakan terhadap pihak yang bersalah, termasuk jika ia membabitkan saya," katanya semalam. Beliau kini berada di Arab Saudi atas urusan rasmi.

Inilah anak jantan, berani disiasat dan tidak mudah mengatakan saya tidak bersalah. Beliau berani bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam kementeriannya dulu. Beliau sanggup menerima risiko jika bersalah. Tidak mahu hendak menuding jari terhadap orang lain. Baik KSU atau pegawai lain.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman dilaporkan berkata pembelian kelengkapan untuk IKBN dibuat ketika beliau belum lagi dilantik menerajui kementerian berkenaan. Azlina juga dilaporkan berkata Ketua Setiausaha kementerian berkenaan memberitahunya kontrak itu dianugerahkan pada 2002 menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8). Ketika itu, menurutnya, banyak rundingan terus dikeluarkan dan dalam kes berkenaan membabitkan Perunding Pengurusan Projek (PMC). Pembelian peralatan yang melebihi harga pasaran ketika itu termasuklah dua menara kren dengan kos RM5.72 juta (harga pasaran RM2.98 juta) dan alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit (pasaran pasaran RM50 seunit). Kementerian itu juga membeli 17 set buku teknikal daengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuba RM417 satu set.

Sebagai anak Tun Hussein Onn, sudah pasti DS Hisham kini bersedia meletakkan kepalanya di alat pemotong yang tajam. Jika beliau didapati bersalah, maka putuslah kepalanya dan tamatlah riwayat politiknya. Harapan untuk memegang terus Ketua Pemuda UMNO atau bertanding Naib Presiden (jika ada) akan hancur berkecai. Apatah lagi jika ada hasrat untuk menjadi pemimpin tertinggi negara satu hari nanti. Bukan gelojoh tetapi sudah tentu sedia menawarkan diri sebagai pemimpin demi kepentingan bangsa dan negara. Jika berkelayakan, apalah salahnya. Namun, yang paling penting ialah maruah keluarganya yang amat terbilang bermula daripada datuknya, Datuk Onn Jaafar, perlu dijaga terlebih dahulu. Apakah anak dan cucu pejuang negara akan didapati bersalah kerana melakukan salahlaku berhubung pembelian barang-barang di bawah kementeriannya?

Secara logiknya, sebagai menteri, beliau tentulah bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di bawah kementeriannya. Namun, ini bukanlah semestinya keadaan yang sebenar. Semua pihak perlu memahaminya. Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Ada elemen lain termasuklah banyak rundingan terus dikeluarkan dan dalam kes berkenaan membabitkan Perunding Pengurusan Projek (PMC). Persoalannya apakah menerusi PMC, DS Hishammuddin tidak mempunyai kuasa untuk meluluskannya? Jika tidak berkuasa, siapa pula yang meluluskannya walaupun harga yang didakwa tinggi? Bagi DS Hishammuddin, tiada apa-apa yang mahu disorokkannya kerana itu beliau sanggup dipanggil atau disiasat. Apa gunanya menghunus keris jika takut untuk disiasat. Apa guna jadi menteri jika tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam kementeriannya. Hanya tuan punya badanlah yang boleh menjawab apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes IKBN itu. Berani kerana benar, takut kerana salah.

No comments: