Sunday, September 2, 2007

MAIKA HOLDINGS, SIAPA LEBIH KUAT?

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam yang dilaporkan oleh Malaysiakini dikasari ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24 Maika Holdings Khamis lalu, membuat laporan polis semalam. Datuk Subramaniam membuat laporan pada kira-kira jam 12 tengah hari ini di ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Bernama melaporkan dalam laporan itu, ahli politik veteran itu meminta polis menyiasat tentang kehadiran samseng, yang mendakwa diri mereka sebagai proksi kepada pemegang saham Maika Holdings di AGM itu. "Saya juga mahu pihak berkuasa menyiasat, sebab sebenar insiden itu dan orang di belakangnya. Anggota media ada di sana dan saya yakin ramai saksi akan menceritakan apa yang berlaku pada hari itu.

"Saya sepatutnya membuat laporan semalam. Tapi, saya memerlukan lebih masa untuk mengumpul beberapa maklumat mengenai kumpulan lelaki yang merempuh saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan. Subramaniam berkata setiap pemegang saham mempunyai hak mengemukakan pertanyaan mengenai Maika Holdings oleh kerana ada sesetengah daripada mereka melabur berpuluh-puluh ribu ringgit.

Anggota jawatankuasa termasuk pengerusi dan CEO bertanggungjawab memberi jawapan, katanya. Khamis lepas, Subramaniam, paling lama berkhidmat selaku timbalan presiden MIC, berkata beliau dirempuh dua kali oleh beberapa orang proksi kepada pemegang saham syarikat itu, dipercayai samseng, bila beliau hendak mengemukakan soalan dan cadangan kepada Pengerusi Maika Holdings, Tan Sri Abdul Rashid Manaf.

OCPD Brickfields ACP Junaidi Sulaiman bila dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis mengenai perkara itu dan berkata polis akan menyiasat.

Apakah drama selanjutnya dalam Maika Holdings ini? Sama-samalah kita ikuti kesudahannya yang sudah pasti amat menarik. Ini kerana Maika Holdings sentiasa dijadikan medium pertelagahan antara dua puak iaitu yang menyokong Datuk Subramaniam dan yang berdiri teguh di belakang Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Saya pernah menulis artikel mengenai perkara ini sebelum ini. Bagi saya ketika negara menyambut 50 tahun kemerdekaan, ada juga rakyat di negara ini mengambil pendekatan bergaduh untuk menyelesaikan masalah atau perbalahan. Berundinglah dengan baik kerana ia akan dapat menyelesaikan masalah dan kita lebih dihormati. Jika tidak mahu berunding maka buatlah pertandingan bolasepak. Siapa yang menang, dialah yang menguasai Maika Holdings. Tetapi jangan pula bergaduh di atas padang. Perbalahan sesama kaum ini perlu dibuat secara teliti. Ibarat tarik rambut dalam tepung, rambut berjaya ditarik keluar tetapi tepung tidak berselerak. Hidup Malaysia tanahairku yang gemilang.

No comments: