Monday, September 3, 2007

JUHAIDI, ...PEMUDA UMNO NAK TOLONG

KUALA LUMPUR (2 SEPT) : Biro Ekonomi Pemuda Umno bertemu pengurusan tertinggi pusat beli-belah Suria KLCC pada 7 September ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah dihadapi peniaga Bumiputera di situ yang didakwa ‘tertindas’ berikutan kadar sewa tidak munasabah selain tekanan pihak pengurusan.

Pengerusinya, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata pertemuan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mendengar penjelasan kenaikan sewa premis yang terlalu tinggi hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan yang dikenakan terhadap peniaga Bumiputera.

Kita tidak mahu dalam keseronokan mengejar ekonomi global dengan menarik lebih ramai peniaga luar, peniaga Bumiputera yang sepatutnya diberi peluang bersaing di padang sama rata, terjejas, kata Reezal Merican

“Kita akan bincang dengan mereka dan jika masalah ini tidak selesai, kita akan bawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi untuk langkah selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Reezal berkata, pihaknya kesal dengan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit dan tindakan mereka itu dilihat tidak memahami dasar asas ekonomi ditetapkan kerajaan yang sudah banyak menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan ekonomi serta politik negara.

Beliau berkata, Malaysia tidak sama dengan negara lain kerana rakyatnya pelbagai kaum serta agama dan dasar sosio ekonomi yang diamalkan kerajaan menjadi antara tunjang utama kesepaduan dan kesepakatan kaum di negara ini.

“Kita perlu memahami aspirasi dan dasar sosial ekonomi kerana ia bukan semata-mata agihan ekonomi, tetapi turut membabitkan soal perubahan kehidupan sosial yang mencakupi pelbagai aspek lain yang berkaitan.


“Kita tidak mahu dalam keseronokan mengejar ekonomi global dengan menarik lebih ramai peniaga luar, peniaga Bumiputera yang sepatutnya diberi peluang bersaing di padang sama rata, terjejas,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai peniaga Bumiputera di pusat beli-belah Suria KLCC semakin berkurangan kerana tekanan oleh pihak pengurusan yang seolah-olah mahu menyingkir peniaga terbabit.

Reezal berkata, beliau tidak faham mengapa pengurusan pusat beli-belah itu melakukan perkara itu walaupun peniaga Bumiputera terbabit komited dan tidak pernah gagal membayar sewa yang kadarnya tidak munasabah sehingga lebih RM30,000 sebulan itu.

Katanya, peniaga Bumiputera di situ semakin mengecil dan dikhuatiri selepas ini tidak ada lagi yang berniaga di situ berikutan masalah dihadapi, sedangkan Suria KLCC dibina oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kadar penutupan premis perniagaan Bumiputera di Suria KLCC adalah sekitar tiga unit setiap tahun sama ada kerana diberi notis keluar, dibebani kenaikan sewa yang melampau hingga lebih 50 peratus, diberi notis berpindah ke lokasi lain atau diminta membuat ubah suai konsep dan pelbagai alasan lain yang tidak munasabah.

Sebelum ini, The Jeans Sdn Bhd (The Jeans), syarikat Bumiputera yang menjual pakaian jenama Levi’s dan Dockers diarah mengosongkan premis perniagaan di situ.

Isu itu kemudian selesai selepas campur tangan menteri berkaitan, tetapi syarikat itu dibenarkan berniaga di bahagian atas yang jelas menyebabkan hasil jualannya menurun.

Terbaru, pemilik premis Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah menyerahkan kunci kepada pengurusan Suria KLCC kelmarin berikutan ditekan pihak pengurusan yang mahu menyewakan premis itu untuk perniagaan restoran Korea.

“Rasanya tidak ada apa lagi boleh dilakukan kerana akhirnya restoran Korea akan menggantikan Kelantan Delights yang menyajikan masakan negara sendiri. Tiada apa lagi boleh dilakukan kerana saya tidak ditawar mana-mana lot ganti tetapi diminta menutup premis yang dibuka sejak 10 tahun lalu,” katanya. Berita Harian.

(Sekadar renungan: Tolonglah tengok-tengokkan. Kalau dapat selesaikan, barulah dikatakan Pemuda Harapan Bangsa. Pemuda Tiang Negara.)

No comments: