Sunday, September 16, 2007

SYABAS LEE CHONG WEI!

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) - Bintang badminton perseorangan lelaki Malaysia, Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Terbuka Jepun, kejuaraan keduanya dalam Super Series, dengan menewaskan musuh ketatnya Taufik Hidayat dari Indonesia pada perlawanan akhir di Metropolitan Gymnasium di Tokyo.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei, pemain nombor empat dunia dan satu-satunya pemain Malaysia yang layak meneruskan cabaran ke perlawanan akhir, mengalahkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004 itu dengan 22-20, 19-21, 21-19 dalam masa 65 minit.

Walaupun rekod perlawanan antara kedua-dua pemain meletakkan Taufik di hadapan dengan 4:2, namun Chong Wei menolak segala kritikan terhadap prestasinya sejak kalah di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Kuala Lumpur, Ogos lepas.

Dalam perlawanan separuh akhir semalam, Chong Wei, pemain pilihan keempat, menumpaskan juara dunia dan pilihan pertama Lin Dan dari China straight-set 21-19, 21-14 dalam masa 41 minit, manakala Taufik mengalahkan rakan senegaranya, Simon Santoso 21-14, 21-16.

Pemain perseorangan Malaysia yang lain, Muhd Hafiz Hashim kurang bernasib baik kerana diundi untuk berdepan Chong Wei dalam pusingan pertama dan tewas 20-22, 8-21, manakala abangnya Roslin tewas kepada Lin Dan di pusingan kedua 17-21, 16-21 dan seorang lagi pemain negara, Yeoh Kay Bin kalah kepada Taufik di pusingan kedua 11-21, 16-21.

Dalam acara beregu lelaki, kedua-dua pasangan terbaik Malaysia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah tersingkir awal setelah tewas kepada lawan masing-masing di pusingan kedua.

Kien Keat/Boon Heong, pasangan nombor dua dunia, tunduk 19-21, 19-21 di pusingan kedua kepada pasangan nombor 13 dunia dari Indonesia, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto, manakala pasangan beregu berpengalaman negara, Tan Fook/Wan Wah, pasangan nombor enam dunia, kalah 18-21, 16-21 kepada satu lagi pasangan Indonesia, Hendri Kurniawan Saputra/Hendri Wijaya.

Pasangan beregu wanita terbaik negara, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui juga kecundang awal di set pertama kepada pasangan Jepun Aki Akao/Tomomi Matsudi 17-21, 21-15, 19-21.

Sementara itu, pasangan beregu Indonesia-Amerika Candra Wijaya/Tony Gunawan dengan penuh yakin menundukkan pasangan Luluk Hardiyanto/Alvent Yulianto dari Indonesia dalam perlawanan straight set 21-18, 21-17 dalam masa kurang 30 minit untuk memenangi gelaran juara pertama mereka bagi tahun ini.

Dalam acara beregu campuran, pemain pilihan pertama dan pasangan nombor satu dunia, Zheng Bo/Gao Ling dari China berjaya menebus kembali kekalahan mereka pada Kejohanan Dunia bulan lepas dengan mengalahkan pasangan juara dunia Nova Widianto/Lilyana Natsir dari Indonesia dengan 21-19, 21-14.

Sebelum itu, pemain nombor 13 dunia Tine Rasmussen dari Denmark membuat kejutan dengan mengalahkan pemain nombor dua dunia, Xie Xingfang dari China bagi merebut juara perseorangan wanita pada perlawanan akhir hari ini.

Xie Xingfang yang tersingkir daripada Kejohanan Dunia bulan lepas di pusingan ketiga, kalah pada perlawanan akhir hari ini 15-21, 17-21 dalam masa 38 minit.

Tine Rasmussen menggondol gelaran juara pertamanya hari ini setelah kalah pada Kejohanan Dunia bulan lepas kepada Wang Chen dari Hong Kong yang muncul juara kejohanan itu.

No comments: