Saturday, September 15, 2007

HARIMAU RONGAK DAN BUKTI KUKUH

Lim Kit Siang, ahli politik yang sering berpindah-randah kawasan bertanding demi kelangsungan hidup (survival) politiknya, menyebut "toothless tiger" atau harimau tidak ada gigi, kelmarin. Namun, beliau tidak bermaksudkan saya. Gigi saya masih ada dan boleh pakai sepenuhnya. Gigi dalam bentuk "kuasa", sudah tiada lagi. Macam beberapa wartawan lain. Tapi takpe.

Tiger yang disebutkan oleh LKS ialah Badan Pencegah Rasuah (BPR). Dalam berita Malaysiakini, LKS mahu BPR jangan menjadi "toothless tiger" dalam tindakannya. LKS mahu BPR mendedahkan berapa ramai yang ditangkap dan dikenakan tindakan kerana rasuah dan salah laku berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2006. LKS memberikan contoh pelbagai tindakan yang diambil di China dan Filipina terhadap mereka yang didapati bersalah.

Saya yakin semua rakyat di negara ini mahu orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah dihukum. Itu sudah pasti. Namun, yang menghairankan ada yang dihadapkan ke mahkamah itu boleh terlepas walaupun orang ramai yakin dengan mereka yang dituduh itu terbabit dalam rasuah. Menuduh satu hal, membuktikannya satu perkara lain. Menurut Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dilaporkan dalam media, Laporan Ketua Audit Negara itu adalah dokumen rasmi dan BPR boleh bertindak berlandaskan laporan berkenaan. Oleh itu, saya yakin BPR akan terus menyiasat dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Tunggu dan lihatlah perkembangan ini.

Saya percaya untuk menghadapkan seseorang itu ke mahkamah atas tuduhan rasuah adalah satu tugas yang rumit terutama bagi mendapatkan bukti dan saksi yang boleh mensabitkan kesalahan. Tidak hairanlah BPR akan mengambil masa yang panjang untuk menyiasat sesuatu tuduhan itu termasuk mencari bukti dan saksi. Kawan saya yang berkerja dengan BPR menyebut sesuatu tuduhan yang tidak mempunyai bukti yang kukuh boleh menyebabkan tertuduh "terlepas". Apatah lagi peguambelanya bijaksana dan bijaksini melihat sebarang "kelompongan" pendakwaan itu. Oleh itu, tidak hairanlah ada kes rasuah berprofil tinggi yang terlepas setelah dibawa ke mahkamah.

Saya yakin bahawa seseorang itu tidak boleh dibawa ke mahkamah hanya semata-mata ada pihak yang membuat tuduhan. Membuat tuduhan tentulah mudah, apatah lagi ada bentuk fizikal yang seolah-olah boleh disabitkan seperti rumah besar atau kereta besar. Ia tidak semudah itu. Ini kerana rumah besar atau kereta besar yang dimiliki boleh dibuktikan dengan sumber kewangan yang sah. Sebagai contoh, seseorang graduan yang baru bekerja membina banglo besar akan dituduh yang bukan-bukan kerana secara logiknya takkanlah gajinya mencukupi untuk membina rumah itu. Namun, kita seharusnya meneliti daripada manakah beliau mendapat sumber kewangan. Mungkin daripada ibu bapa atau keluarga yang memungkinkan beliau memiliki rumah itu.

Kesimpulannya, dalam kita mahu semua perasuah itu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan, kita jangan lupa bahawa ia bukan proses yang mudah. Apatah lagi jika BPR kekurangan kakitangan berbanding jumlah kes yang semakin meningkat. Sudah tentu ada keperluan untuk BPR menambahkan kakitangannya. Selepas itu pula, proses mengajar pegawai-pegawai baru untuk menjadi penyiasat yang baik dan jujur. Seperti juga dalam jenayah, adakalanya Polis tidak berjaya menahan seseorang yang amat dikehendaki sehingga takdir menentukannya. Umpamanya ditahan di sekatan jalan raya atau ditangkap ketika berada di pusat hiburan. Orang itu sudah tentu jahat tetapi ia pandai memboloskan diri daripada polis. Sama juga seperti rasuah, mereka yang ingin melakukannya sudah pasti berfikir sepuluh kali lebih baik daripada pegawai BPR. Ini untuk memastikan mereka terlepas daripada pendakwaan. Dalam kes Laporan Audit Negara itu pula, laporan rasmi sudah ada dan BPR hanya perlu menyiasat serta membuat banyak sesi temubual. Selamat menjalankan tugas.

No comments: