Friday, September 14, 2007

POKET KOSONG, JIWA PUN KOSONG

Seperti biasa Laporan Audit Negara akan menggemparkan ramai pihak terutama pembongkaran salahlaku dan penyelewengan membabitkan kos sesuatu barang atau projek yang dibuat oleh agensi kerajaan atau kementerian. Rakyat negara ini sudah tentu mahukan sesuatu tindakan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan tidak kira peringkat mana. Pegawai tender, pengarah tender, KSU atau Menteri sekalipun. Sudah pasti mereka akan memandang ke arah Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk segera menunaikan impian rakyat Malaysia untuk menjadikan rasuah sifar di negara tercinta ini. Malah pembangkang dalam laporan Malaysiakini meminta BPR tidak menjadi "harimau tidak bergigi" dalam usaha mereka membanteras kegiatan rasuah dan penyelewengan.

Dalam pada itu, mengapa sejak sekian lama, masih ada juga golongan yang sukan makan rasuah dan melakukan penyelewengan. Artikel dalam Utusan Malaysia oleh DR SAODAH ABD. RAHMAN, pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mungkin boleh menjawab sebahagian daripada persoalan itu. Ketandusan jiwa agama menyebabkan mereka bertindak demikian yang boleh mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan kepada negara.

Antara petikan yang menarik dalam artikel itu ialah "Mereka tidak akan akur kepada peraturan dan perundangan negara kerana hati nurani mereka telah diracuni dengan KHAYALAN kemewahan dan kemegahan. Mereka tidak pernah menyedari bahawa setiap wang yang dimiliki secara menipu merupakan api yang boleh membakar setiap ahli keluarga termasuk bayi yang tidak berdosa di hari akhirat".

Bacalah artikel [ Dr Saodah Rahman ] dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini. Membaca itu ibadah.

No comments: