Monday, September 3, 2007

KEMATIAN SIFAR, MATLAMAT UTAMA.

Tan Sri Lee Lam Thye, satu nama yang tidak asing lagi di negara ini. Beliau memakai pelbagai "topi" termasuklah Pengerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Pengerusi NIOSH. TS Lee yang saya kenali sejak di Berita Harian kini bertambah popular berikutan perlantikannya sebagai Pengerusi PLKN. Bukan kerana sebelum ini tidak popular tetapi semua kejadian yang menimpa pelatih PLKN akan menyebabkan beliau menjadi tumpuan media cetak dan elektronik. Beliau juga menjadi tumpuan ibu bapa pelatih PLKN.

Awal tahun lalu, saya berbual dengannya mengenai PLKN, objektif dan pelatihnya. PLKN dan kemudahan kemnya. PLKN dan masalah remeh-temehnya. PLKN dan pandangan ibu bapa. Pemerhatian masyarakat. Program membabitkan generasi muda sering mendapat perhatian.

Bagi TS Lee, hasratnya ialah untuk memastikan orang ramai terutama ibu bapa memahami objektif kerajaan memperkenalkan PLKN kepada generasi muda. Untuk itu, usaha sedang dijalankan untuk menerangkan kelebihan PLKN. Ini termasuk dalam bidang pengiklanan. Malah, kami bertukar-tukar pandangan mengenai apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki imej PLKN. Sejak dari hari itu, kami tidak lagi berbual mengenai PLKN sehinggalah hari ini. Mungkin beliau sibuk dan saya sudah tiada jawatan dalam media.

Minggu ini, sudah pasti TS Lee akan sibuk lagi. Ada kematian membabitkan pelatih PLKN di Kem Cheneh Cemerlang di Kemaman, Terengganu. Kematian dan ada dakwaan. Malaysiakini dalam laporannya hari ini menyatakan kakak sulung kepada pelatih PLKN yang meninggal dunia semalam, Mohd Rafi Ameer, 18, mendakwa terdapat unsur-unsur kecuaian di pihak kem PLKN dalam menguruskan adiknya yang mengalami demam dan bengkak kaki selepas dikatakan kerana terjatuh semasa latihan dan kemudian meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Malaysiakini yang memetik laporan Bernama melaporkan Jubaidah, 25, ketika ditemui pemberita, mendakwa adiknya muntah darah sebelum meninggal dunia di dalam perjalanan ke HTAA dan telah diberikan suntikan di tangan oleh doktor yang merawatnya. Semasa menerima rawatan di Hospital Kemaman, katanya, pihak hospital ada juga memberitahunya kemungkinan sebelum itu Mohd Rafi pernah termakan makanan yang tercemar dengan najis haiwan dan menghidap demam kuning.

Jenazah Mohd Rafi yang menjalani latihan PLKN di Kem Cheneh Cemerlang di Kemaman, Terengganu, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Assam Jawa di Kuala Selangor kira-kira jam 6 petang semalam selepas solat jenazah di Masjid Jamek Al Nuriah Bukit Rotan.

Mohd Rafi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira jam 10.00 malam semalam. Mohd Rafi sebelum itu dimasukkan ke Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke HTAA. Mohd Rafi adalah seorang daripada 137 pelatih PLKN Kem Cheneh Cemerlang Kumpulan 3 Siri 4 2007 yang dijangka tamat latihan pada 8 September ini. Mohd Rafi adalah anak keempat daripada enam beradik dan mereka merupakan anak yatim piatu, tinggal bersama bapa saudara mereka di sini.

Kematian bukan objektif PLKN. Kematian juga bukan keinginan ibu bapa. Sehubungan itu, wajib ada usaha untuk memastikan tiada lagi kematian dalam kem PLKN. Tiada lagi kesedihan di kalangan ibu bapa. Kematian ada kaitan dengan kesihatan. Kesihatan ada kaitan dengan pemantauan dari segi kesihatan. Sebarang masalah kesihatan perlulah diberikan perhatian serius. Tiada kecuaian dan kelemahan lagi. Pelatih perlu mempunyai disiplin tinggi berhubung kesihatan. Pengurusan kem juga memastikan kesihatan pelatih sentiasa dipantau dan terjamin. Tiada kompromi dalam hal itu. Matlamat utama akan datang, tiada lagi kematian dalam PLKN. Amin.

No comments: