Saturday, September 8, 2007

MODAL INSAN UNTUK SEMUA

Seorang pemimpin yang mahu rakyat memahami dasar yang ingin diketengahkan, perlu berulangkali menyebut dasar itu. Umpamanya, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, beliau sentiasa menyentuh mengenai dasar itu dalam ucapan dan ceramahnya.

TDM akan menyatakan pelbagai perkara baru mengenai dasar itu dari semasa ke semasa. Wartawan yang mengikuti TDM perlu mencari perkara-perkara baru dalam ucapan berhubung Dasar Pandang Ke Timur dan mengolahkannya dengan baik agar rakyat memahami dan menghayatinya. Dasar ini disentuh dalam hampir setiap ucapannya. Ia langkah bijak untuk menghantar maklumat mengenai kelebihan sesuatu dasar kepada rakyat.

Begitu juga, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam memperkenalkan dasar mempertingkatkan pembangunan modal insan. Beliau akan menyebutnya setiap kali untuk memastikan semua pihak memahami hasratnya untuk mewujudkan modal insan yang terbilang. Setelah berjaya dalam dasar perindustrian, Malaysia kini perlu beralih kepada K-Ekonomi, seperti yang dilakukan oleh Korea Selatan, yang memberi perhatian kepada pembangunan modal insan. Oleh itu, menjadi tugas media untuk memastikan dasar ini difahami dan dihayati oleh rakyat negara ini.

Bagi memastikan dasar mempertingkatkan pembangunan modal insan itu berjaya, Paklah dalam bajetnya bertemakan "Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran" memberi penekanan kepada aspek kualiti pendidikan dan latihan. Paklah menggariskan beberapa tindakan untuk mencapai matlamat memperkasa pembangunan modal insan, yang menjadi strategi kedua belanjawan tahun depan.

* Peruntukan RM30 bilion kepada Kementerian Pelajaran untuk memperkasa sekolah rendah dan menengah.

Peruntukan itu akan turut dibelanjakan untuk melaksana Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar.

* Kerajaan akan mewujudkan 60 buah sekolah kluster tahun depan. Setiap sekolah kluster akan diberi RM500,000 untuk menjalankan aktiviti kokurikulum, latihan dan pemberian peralatan pembelajaran.

* Memansuhkan yuran sekolah, yuran Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan memperluaskan skim pinjaman buku teks ke semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak mulai tahun depan.

* Kerajaan akan membekalkan sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isu rumah RM1,000 sebulan dan ke bawah.

* Mengumumkan kenaikan elaun guru pendidikan khas daripada RM100 kepada RM250 sebulan dan kenaikan elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada RM85 kepada RM150 sehari.

* Memberikan elaun sebanyak RM60 sejam bagi lepasan ijazah dan RM50 sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

* Guru-guru yang telah bersara pula akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk pelatih.

* Sekolah-sekolah yang dibiayai oleh badan-badan amal diberikan pengecualian cukai pendapatan yang akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama.

* Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program dalam sektor itu, termasuk meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah universiti penyelidikan dan meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang 2010.

* Mulai tahun depan juga kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di universiti tempatan daripada 5,000 setahun kepada 10,000 pelajar.

* Sebanyak RM2 bilion akan diagihkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran.

* RM480 juta diperuntukkan untuk program latihan GiatMARA dan Institut Latihan Perindustrian serta latihan kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara.

* Peruntukan RM550 juta untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti dan RM750 juta untuk membina sebuah pusat latihan teknologi tinggi dan sebuah institut latihan perindustrian di Marang, Terengganu.

* Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) pula diperluaskan dengan memberi kelonggaran kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan.

* Pelepasan cukai sehingga RM5,000 ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat ijazah.

* Pembangunan Knowledge Workers Development Institute di Cyberjaya bagi memastikan bekalan tenaga berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT.

* Sebuah Pusat Animasi digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kemahiran tempatan dalam bidang itu.

* Bagi mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, satu sasaran utama kerajaan adalah untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah menjelang tahun 2010 berbanding dengan 12 peratus kini.


Kesimpulannya, Paklah sudah pasti mahu menyusun dasar yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya tidak kira apa sekalipun latarbelakangnya. Meningkatkan pembangunan modal insan ialah langkah persediaan ke arah menjadikan Malaysia ini sebuah negara maju dan bermaklumat. Membawa Malaysia ke arah melaksanakan K-ekonomi akan membawa negara ke satu paradigma yang lebih baik.

Walaupun, laporan Malaysiakini menyebut pembangkang masih mendakwa Bajet 2008 semata-mata untuk menambat hati pengundi untuk memilih BN, namun mereka perlu melihat bajet ini secara lebih meluas lagi. Mereka perlu menjadi Ketua Pemuda Pas, Sdr Salahuddin Ayub, yang ditemuramah oleh TV3 petang semalam, yang menyambut baik Bajet 2008. Menyokong walaupun seorang pemimpin pembangkang. Inilah contoh pemimpin yang baik.

Paklah mahu negara ini mengamalkan dasar K-ekonomi yang akan memberi faedah kepada semua pihak termasuk pembangkang yang bergiat dalam bidang ekonomi. Pemimpin dan anggota pembangkang sudah tentu tidak bekerja dengan kerajaan dan berniaga sendiri. Mereka sudah tentu memerlukan lebih ramai sumber tenaga yang mahir dan berwibawa yang akan disediakan oleh kerajaan menerusi insentif yang diberikan kepada IPTA dan IPTS di seluruh negara. Mereka juga akan mendapat faedah daripada pekerja mahir yang berminat ke Malaysia berikutan pelbagai insentif dan pelepasan cukai ditawarkan.

No comments: