Sunday, September 2, 2007

BELAJAR SEJARAH, ANDA TIDAK SALAH

Tulisan Bigdog bertajuk Proses Kemerdekaan dipelopori dan diterajui orang Melayu semalam mengingatkan rakyat Malaysia mengenai peranan bangsa Melayu sebagai tunjang dan tonggak dalam mendapatkan kemerdekaan negara ini.

Ikutilah tulisan beliau di bawah ini
.

"Hari ini Malaysia merayakan dan memperingati Kemerdekaan ke 50. Memahami, menghayati dan mendukung sejarah bagaimana Kemerdekaan itu dicapai amat penting agar kita semua bergerak kehadapan dengan jatidiri dan naluri yang jitu. Mungkin ramai, terutama golongan yang tidak melalui proses mencapai Kemerdekaan, tidak benar benar faham apa dan bagaimana kejayaan itu dicapai. Peranan orang orang Melayu merupakan tunggak utama dan tunjang bagaimana proses Kemerdekaan berjaya dijadikan realiti, sebagaimana yang kita kecapi hari ini.

Sejarah merakamkan bahawa Tentera Imperial Jepun menyerah kalah kepada Tentera Berikat pada 15 Ogos 1945. Instrumen menyerah kalah ini ditanda tangani pada pagi 2 September 1945 diPelabuhan Tokyo, diatas kapal perang USS Missouri. British juga diwakili dalam upacara itu. Maka dengan itu, pentadbiran tentera British (British Military Administration - BMA) tiba dari India untuk mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu dan Singapura.

Proses Kemerdekaan bermula apabila Dato’ Onn Jaafar (yang menubuhkan Persatuan Melayu Semenajung Johor pada 3 Januari 1946) berjaya mengumpulkan orang orang Melayu (yang telahpun menunjukan ketidak-puasan hati apabila kertas putih Malayan Union 6274, yang diluluskan oleh House of Lords, Westminster telah disiarkan dalam Utusan Melayu, 24 Januari 1946), untuk bersatu teguh sebagai entiti politik Melayu yang kuat.

UMNO yang ditubuhkan secara prinsipnya pada 1 Mac 1946 setelah pelbagai persatuan persatuan Melayu seluruh Tanah Melayu diwakili dan datang bersidang dan meluahkan pendapat keatas isu isu berkenaan, berjaya ditubuhkan secara rasmi, setelah yang diberi naungan DYMM Sultan Sir Ibrahim Almahrum Sultan Seri Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru. Johor. Objektif asalnya ialah untuk menolak Malayan Union dengan mengesa Raja Raja Melayu yang pada masa itu sudahpun menanda-tangani Perjanjian MacMichael, dimana British berjaya yang mendapatkan ‘persetujuan’ seorang demi seorang Raja Raja Melayu keatas cadangan Malayan Union bermula dari 20 Oktober 1945 sehingga 21 Disember 1946, walaupun ramai baginda Raja Raja sebenar tidak setuju dengan cadangan Malayan Union ini. Namun pemerintah BMA mengunakan ‘ugutan’ seperti mendakwa Raja Raja Melayu yang enggan bersetuju dan menanda-tangani Perjanjian MacMichael ini akan didakwa berkerjasama dengan pihak Tentera Jepun dan diturunkan dari takhta.

Naungan baginda Tuanku Sultan Johor ini amat bermakna dan memberikan kelebihan strategik bagi Dato’ Onn dan UMNO kerana simbol restu Raja Melayu itu membolehkan lebih banyak sokongan padu dapat digembeling dari orang orang Melayu, baginda Raja Raja Melayu lebih mudah menerima UMNO sebagai mewakili majoriti orang orang Melayu dan pemerintahan British memberikan ‘muka’ dan ‘ruang’, kerana Tuanku Sultan Johor merupakan Raja Melayu paling rapat dengan British.

Objektif utama UMNO semasa penubuhanya agar Malayan Union yang diisytiharkan pada 1 April 1946 itu ditolak dan gagalkan. Ini kerana Malayan Union mengambil kuasa dan juriduksi sepenuhnya Raja Raja Melayu (kecuali hal ehwal ugama Islam dan adat resam Melayu), proses pemberian kerakyatan yang begitu longgar dan orang orang Melayu hilang taraf sebagai pribumi selamanya.

Kebangkitan perasaan tidak puas hati orang orang Melayu diterajui Dato’ Onn yang berjaya ditunjukan bermula dengan perhimpunan diBatu Pahat pada 10 Februari 1946 dan kemudian setelah UMNO ditubuhkan ini berjaya mengesa Raja Raja Melayu untuk memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union pertama dan ini adalah tindakan signifikan kerana pihak Whitehall mula memberikan perhatian serius kepada isu ini.

Signifikan moral penubuhan UMNO dan kejayaan menafikan Malayan Union dari diteruskan ini adalah ini merupakan kali pertama sekelian hamba rakyat dikalangan orang orang Melayu mengambil peranan penting dalam proses politik, yang selama ini merupakan peranan, hak dan kuasa mutlak dan eksklusif golongan keluarga DiRaja dan bangsawan sepenuhnya. Ini juga permulaan proses ‘demokrasi’ diTanah Melayu, dimana sekelian hamba rakyat kemudianya mempunyai hak dan kuasa menentukan masa depan mereka.

Akibat kegagalan Malayan Union, wakil wakil Raja Raja Melayu, UMNO dan British telah berunding dan Perjanjian Persekutuan dimeterai pada 21 Januari 1948 diKing’s House (sekarang ini dikenali Carcosa Seri Negara) dimana Persekutuan Tanah Melayu yang berpelembagaan berjaya dicapai dan ujudkan pada 1 Feb 1948. Antara artikel artikel penting dari Perjanjian Persekutuan itu ialah pengwujudan Majlis Raja Raja Melayu, yang berhak membincangkan soal soal dasar Persekutuan Tanah Melayu seperti mengenai kemasukan dan kerakyatan orang orang dagang, rang undang berkenaan negeri negeri Melayu dan perkara perkara yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan itu.

16 Jun 1948 memulakan lembaran baru dalam sejarah Tanah Melayu apabila tiga orang peladang Inggeris dibunuh dekat Sungai Siput, Perak oleh segerombolan pengganas komunis dan British mengisytiharkan ‘darurat’ pada 28 Jun 1948. Perjuangan politik orang orang Melayu menjadi semakin sukar kerana keadaan darurat ini umpama keadaan dalam peperangan, walaupun orang orang Melayu menolak proses revolusi yang dibawa pengganas komunis.

Apabila UMNO sendiri sebagai wadah dan tunggak utama perjuangan utama orang orang Melayu mengalami proses pengalihan tampuk Kepimpinan setelah Dato’ Onn Jaafar sebagai Yang DiPertua (Presiden) meletakan jawatanya pada Ogos 1951, seorang putera raja, Tunku Abdul Rahman Putra pula diangkat oleh orang orang Melayu untuk memimpin UMNO. Peralihan ini melihatkan slogan UMNO berubah dari “Hidup Melayu” kepada “Merdeka”. Ini bermakna, orang orang Melayu mula bergerak secara serius untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu dari Great Britain.

Pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra mewakili UMNO mengadakan kerjasama dengan Tan Cheng Lock, MCA dan V.T. Sambanthan, MIC dan mendapat mandat begitu kuat rakyat Malaya dalam Pilihanraya Umum pertama. Walaupun pengundi pengundi berdaftar dikalangan orang orang Melayu merupakan 84%, tetapi Tunku dan UMNO sedia bertolak ansur kerana ’semangat bekerjasama dan prinsip berkongsi kuasa’ dan bertanding hanya di 35 dari 52 kerusi dipertandingkan, manakala MCA 15 dan MIC 2. Parti Perikatan menang besar 51 kerusi! Ini berjaya dicapai walaupun Tanah Melayu pada masa itu masih lagi dicengkam ancaman pengganas komunis.

Setelah Pilihanraya Umum pertama Tanah Melayu dan Tunku menjawat Ketua Menteri, Tunku berhasrat untuk berunding dengan pengganas komunis setelah cara cara British menangani masalah ini selama tujuh tahun tidaklah begitu berkesan. Chin Tien, mewakili komunis telah menulis surat kepada Tunku untuk tujuan bertemu. Tunku kemudianya bertemu Pesuruhjaya Tinggi British Sir Donald MacGillivary dan Pengarah Operasi Militari Lt. Gen. Geoffrey Bourne atas tujuan demikian dan mereka berkeras agar pertemuan dengan Chin Peng tidak diadakan. Namun Tunku meneruskan pertemuan itu dan akhirnya mereka bertemu dan berunding diBaling, Kedah pada 28-29 Disember 1955. Rundingan itu memberikan kefahaman kepada Tunku matlamat sebenar Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu menjadikan Tanah Melayu ini sebuah negara komunis dan Chin Peng menolak cadangan agar PKM dibubarkan dan pengampunan beramai ramai pengganas komunis. Walaupun Rundingan Baling ini gagal, namun ianya memperlihatkan sikap Tunku yang mengutamakan proses perundingan sebagai selesaian kepada apa apa masalah.

Dengan mandat besar Pilihanraya Umum 1955 dan keyakinan rakyat ini juga, Tunku mewakili Perikatan, bersama sama wakil Raja Raja Melayu belayar ke London untuk merundingkan Kemerdekaan. Tunku berjaya meyakinkan wakil wakil Raja Raja Melayu iaitu Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Abdul Aziz Majid dan Dato’ Mohd. Seth agar Raja Raja Melayu melepaskan kuasa mutlak pemerintahan sistem beraja dan menerima sistem Raja Berpelembagaan. Tunku juga, sebagai Presiden UMNO sedia bertolak ansur untuk menerima mereka keturunan Cina dan India sebagai warganegara dan mengekalkan hak istimewa orang orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu, tanpa dipertikaikan mana mana pihak.

Akhirnya persetujuan agar Persekutuan Tanah Melayu merdeka berjaya dicapai setelah Tunku berunding dengan Setiausaha Negara bagi Koloni Jajahan Britain, Alan Lennox-Boyd dan sejurus kembali ke tanahair, Tunku memilih untuk membuat pengumuman Kemerdekaan ini diBandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956. Ini bertepatan kerana Melaka merupakan negeri Melayu dijajah bangsa Eropah dan juga bekas neger-negeri Selat, jajahan British pertama di Tanah Melayu ini.

Maka dengan persetujuan mengenai Kemerdekaan yang berjaya dicapai antara Tunku dan Lennox-Boyd itu, Whitehall bersetuju memberikan Kemerdekaan dan Lord Reid dipilih untuk merangka Perlembagaan dengan mengambil kira input dari semua pihak. Suruhanjaya Reid ini juga terdiri dari Ketua Hakim India dan Pakistan dan input terpenting yang diambil kira ialah dari Raja Raja Melayu dan UMNO. Perlembagaan ini diterima pada awal Ogos 1957 dan Majlis Perundangan Tanah Melayu meluluskan, mewartakan dan melaksanakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 27 Ogos 1957.

Pada tepat 12.01, 31 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan untuk selama lamanya dan Jalur Gemilang pula dinaikan buat kali pertama. Negaraku pertama kali didengarkan dan negara baru Persekutuan Tanah Melayu lahir dengan rasminya.

Pada 9.00pagi, hari yang sama, Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengetuai proses menanda-tangani instrumen Kemerdekaan dan mengisytiharkan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diStadium Merdeka. Turut hadir dan menanda-tangani instrumen Kemerdekaan tersebut adalah Raja Raja Melayu dan wakil baginda Queen Elizabeth II dan Kerajaan Britain, Duke of Gloucester.

Peranan mencapai Kemerdekaan yang dipelupuri orang orang Melayu semenjak pasca Perang Dunia ke II dan kemudian sudi dan sanggup bertolak ansur dan berkerjasama dengan kaum kaum lain, terutama dibawah prinsip ‘perkongsian kuasa’ perlu difahami, hargai dan hayati. Kejayaan kerana peranan utama yang dimainkan penduduk majoriti Tanah Melayu ini adalah rujukan utama dimana Negara ini bermula. Ini adalah proses mencapai Kemerdekaan sebenarnya dan seluruh warga Malaysia wajar memahami, menghargai dan menghayati proses disamping bersedia mengisi dan mempertahankan Kemerdekaan yang berjaya dicapai itu, dengan seluruh semangat patriotisma.

Selamat Hari Kemerdekaan ke 50, Keranamu Malaysia dan Allah selamatkan Malaysia.

Merdeka, Merdeka, Merdeka!

Dulu, Kini dan Selamanya"

No comments: