Monday, September 3, 2007

DR MAHATHIR JALANI PEMBEDAHAN ESOK

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjalani pembedahan pintasan koronari kedua esok di Institut Jantung Negara (IJN) yang akan dilakukan oleh sepasukan pakar bedah diketuai Tan Sri Dr Yahya Awang.

IJN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata Dr Mahathir, yang dimasukkan ke IJN semalam, akan menjalani "pembedahan pintasan koronari pilihan".

Dr Mahathir, 81, menjalani pembedahan pintasan koronari pertamanya di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 24 Jan 1989.

Pengarah Perubatan IJN Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari mengetuai panel doktor yang merawat Dr Mahathir.

Menurut IJN, atas nasihat doktor, tiada pelawat dibenarkan melawat Dr Mahathir kecuali ahli keluarga terdekat.

Dr Mahathir, yang bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 31 Okt 2003, telah dimasukkan ke IJN baru-baru ini, iaitu pada 18 Ogos lepas, untuk menjalani pemeriksaan rutin dan telah menjalani ujian kardiak (jantung) yang komprehensif.

Beliau dibenarkan pulang dua hari kemudian, pada 20 Ogos.

Sebelum itu, pada 14 Mei tahun ini, beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Langkawi pada 3.50 petang selepas mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di biliknya di Hotel Langkasuka.

Keesokannya, beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas untuk rawatan lanjut di IJN dan dirawat di unit rawatan koronari.

Lima hari kemudian, beliau dibenarkan keluar dari unit rawatan koronari dan dipindahkan ke wad Bunga Raya dan pada 24 Mei, beliau dibenarkan keluar dari IJN.

Pada 11 Feb tahun ini, bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN selama sehari selepas menghidap selesema dan pada 9 Nov 2006, beliau dimasukkan ke unit rawatan koronari IJN (CCU) untuk pemerhatian selama seminggu kerana mendapat serangan jantung ringan.

Sehari kemudian beliau dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar pada 14 Nov, selepas lima hari dirawat di IJN.

Sejak pembedahan pintasan koronari pertama yang dijalaninya pada 1989, Dr Mahathir hanya dimasukkan ke IJN sepuluh tahun kemudian, iaitu pada 2 April 1999, untuk berehat dan menjalani rawatan penuh kerana mendapat jangkitan paru-paru selepas pulang dari menunaikan Haji, dan dibenarkan keluar dari hospital pada 12 April 1999.

(Saya berdoa kepada Allah SWT agar pembedahan itu berjalan lancar dan TDM akan segera sembuh untuk menjalankan kegiatan harian).

No comments: