Friday, September 7, 2007

PELBAGAI HABUAN UNTUK SEMUA RAKYAT

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Bajet 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dianggap bajet yang pemurah kerana menawarkan pelbagai "habuan" kepada semua golongan rakyat Malaysia, daripada kanak-kanak tadika, kakitangan awam dan ahli perniagaan hinggalah ke warga emas.

Sejumlah RM176.9 bilion yang diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2007, disifatkan sebagai antara bajet paling pemurah dengan tumpuan diberi kepada tiga strategi utama -- mempertingkatkan daya saing negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Bajet 2008, yang dibentangkan hanya seminggu selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50, turut menangani soal kenaikan kos sara hidup rakyat menerusi penambahan pendapatan boleh guna rakyat.

"Dalam kita menyusun langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju," kata Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2008 di Dewan Rakyat di sini.

Bertemakan "Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran", bajet itu juga turut memberikan penekanan penting kepada pembangunan infrastruktur terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Bajet 2008 turut menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif untuk sektor swasta bagi memastikan cukai korporat terus kompetitif.

Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah, Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai "single-tier", berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2008, di mana keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai.

"Pengurangan dalam cukai korporat (kerajaan dalam Bajet 2007 mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus pada 2007, 26 peratus pada 2008 dan 25 peratus pada 2009) dan dengan pengenalan sistem 'single-tier', lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelbagai langkah yang akan dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dalam usaha untuk memastikan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelaburan swasta.

Untuk menarik modal insan yang berkualiti, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara.

Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.

Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang, di samping ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan yang akan diperkenalkan dan kesemua langkah itu akan berkuatkuasa 1 Jan 2008, katanya.

Sambil membayangkan pentingnya tadbir urus korporat yang baik, kerajaan akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti bagi mengawas juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit ke atas penyata kewangan syarikat awam.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, menarik pelaburan dari Timur Tengah, industri takaful, meningkatkan daya saing Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir dan merangsang sektor hartanah.

Untuk terus mendorong kemajuan sektor pertanian, Abdullah berkata beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis pemprosesan minyak kelapa dara, pengkormersialan produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer.

Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti tempatan.

Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, Abdullah berkata kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008.

Katanya pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan Cyberjaya sebagai Bandar Siber Utama yang dapat terus menarik syarikat teknologi bertaraf dunia.

Menyedari bahawa syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mungkin menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan, Perdana Menteri berkata kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukan secara ansuran bulanan, dan kelonggaran itu adalah untuk tempoh dua tahun mulai tarikh syarikat memulakan operasi.

(Renungan Rimau : Bajet yang menguntungkan semua pihak, bajet yang seimbang, isu kos sara hidup rakyat diatasi, mengekalkan mutu kehidupan, menyediakan persekitaran kondusif untuk sektor korporat, pelbagai berita baik untuk pelabur, tambah tahap kompetitif negara, memaparkan keperihatinan kerajaan, bajet yang baik untuk semua sektor, keselesaan rakyat akan meningkatkan produktif, pendidikan percuma)

No comments: