Sunday, September 23, 2007

TDM PERLU AWASI FASA KEDUA


(Sebagai wartawan sentiasa "gatal" untuk keluar hospital. Hari-hari tengok siling. Cuba berjalan-jalan di sekeliling wad. Apabila x-ray, tulang gantian berganjak. Doktor bagi amaran supaya berbaring saja, kalau tidak..... Fuuuh...hampir satu bulan terpaksa berbaring. Untuk mencergaskan minda, telefon saudara-mara dan kawan-kawan. Bil pun boleh tahan juga.)

Pembedahan adalah fasa pertama manakala selepas pembedahan adalah fasa kedua. Kedua-dua fasa itu penting dalam mengharungi proses pembedahan tidak kira jantung, batu karang, tulang belakang atau prostat. Jika fasa pertama selamat, pesakit perlu berhati-hati menghadapi fasa kedua. Malah fasa kedua ini lebih kritikal kerana ia menimbulkan komplikasi seperti jangkitan kuman.

Inilah yang saya alami ketika mengharungi pembedahan tulang belakang tahun lalu. Bagi 24 jam pertama, hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat di ICU. Yang lain, hanya boleh melihat daripada luar saja. Tidak hairanlah selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibedah, hanya keluarga terdekat boleh melawatnya. Perdana Menteri sekalipun tidak dibenarkan. Ia amat kritikal.

Dalam fasa kedua pula, doktor sering mengingatkan saya supaya sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuat sesuatu yang boleh menimbulkan masalah. Umpamanya berjalan terlalu banyak sehinggakan tulang gantian boleh beraleh. Malah doktor memberi amaran jika ada komplikasi, mereka akan membuat pembedahan sekali lagi untuk membetulkan tulang atau membuang jangkitan.

Oleh itu, saya menjangka TDM akan dibedah sekali lagi di Institut Jantung Negara (IJN) jika ada komplikasi.


Berita Malaysiakini yang memetik laporan Bernama menyebut TDM, yang sedang menjalani rawatan pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung, menjalani pembedahan malam tadi untuk membersihkan luka akibat jangkitan kuman. Menurut kenyataan IJN hari ini, pembedahan itu dilakukan pada jam 11.30 malam dan berakhir 2.30 pagi.

Prosedur itu dilakukan oleh pasukan pembedahan yang diketuai Tan Sri Dr Yahya Awang, pasukan yang sama melakukan pembedahan pintasan jantung ke atas Dr Mahathir di IJN pada 4 September. Kenyataan itu menyatakan, Dr Mahathir kini berada dalam keadaan stabil dan menggunakan alat sokongan rutin selepas pembedahan.

Beliau dijangka akan terus menggunakan alat sokongan sekurang-kurangnya 36 jam bagi penjagaan selepas pembedahan dan akan dipantau rapi oleh para doktor dan jururawat IJN di Unit Penjagaan Rapi (ICU). Tempoh 72 jam akan datang merupakan tempoh paling penting bagi penjagaan selepas pembedahan, menurut kenyataan itu.

Pembedahan debridemen ialah proses membersihkan luka yang terdedah dengan membuang bahan-bahan asing dan tisu mati supaya penyembuhan boleh berlaku tanpa gangguan. Dr Mahahir, 81, yang menjalani pembedahan jantung kedua pada 4 September lalu di institut itu, dipindahkan semula ke wad ICU 10 hari kemudian.

Beliau dipindahkan ke wad biasa Wad Bunga Raya pada 12 September. Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung buat pertama kalinya di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Januari1989 akibat serangan sakit jantung.

Semoga TDM segera sembuh. Amin.

No comments: