Monday, March 2, 2009

PERJUANGAN MELAYU UNTUK MALAYSIA (1)

Pemilihan UMNO akan diadakan tidak sampai sebulan lagi. Ketika ini, calon, tukang juak, pencacai dan ejen politik kelihatan amat sibuk keliling pelusuk negara untuk mempromosikan diri calon agar terpilih pada 26 Mac ini. Ia satu tugas yang berat lagi memenatkan. Ia satu tugas mencabar dan menguji kekuatan minda serta fizikal.

Menjadi harapan dalam kesibukan ini, tidak ada yang terkulai layu menyembah bumi. Jika berlaku bukan saja hasrat calon tidak kesampaian tetapi menambah 'beban' parti untuk menghadapi pilihanraya kecil yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Dalam kesibukan berkempen ini, pelbagai 'barangan' atau buah tangan dibawa untuk ahli UMNO di seluruh negara. Dari Perlis hingga ke Sabah. Ada yang membawa semangat untuk meremajakan UMNO agar relevan sepanjang masa. Ada yang membawa janji untuk menggerakkan lebih tiga juta ahli untuk terus menyokong parti walaupun dilanda ombak menggunung terutama selepas Mac 2008.

Ada yang mencurahkan perasaan mengenai apa yang berlaku sekarang seolah-olah merobek hati Melayu dan perjuangan perlu diteruskan bagi menebus maruah Melayu. Perlu memilih pemimpin berani dan tegas. Bukan lembik dan berhati-hati. Perlu memilih pemimpin yang tahu perjuangan sebenar Melayu. Tiada perjuangan kental berterusan, maruah bangsa terjerumus ke dalam longkang.

Ada pula yang membawa 'wang' untuk diagih-agihkan kepada G7 dan perwakilan yang menentukan nasib calon mereka. Golongan ini adalah pembawa kuman yang mendatangkan barah kepada bangsa. Mereka berani berbuat demikian semata-mata untuk memastikan calon menang dan memegang jawatan. Tindakan mereka licik sehingga sukar untuk dikesan atau penerima sanggup menutup mulut kerana kocek sudah penuh. Bayangkan, ada G7 setakat ini sudah 'mengutip' RM18,000 daripada ejen calon.

Persoalannya siapa yang menang pada pemilihan akan datang?

Adakah calon yang membawa semangat untuk membawa perubahan? Adakah mereka yang memberi janji untuk menyokong pemimpin tertinggi parti? Adakah calon yang berani dan tegas? Atau mereka yang sanggup berkorban bersama-sama ahli untuk memulihkan UMNO yang dikatakan semakin ke tepi sekarang? Atau mereka yang memikirkan survival politik Melayu dalam negara majmuk?

Ataupun mereka yang suka menabur wang untuk mengejar jawatan yang boleh menggandakan pelaburan? Tepuk dada tanya perjuangan anda, bukan selera dan nafsu.

Sekadar renungan - "..negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. (DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Kuala Kangsar, 5 November 2008)

9 comments:

Tinta Biru said...

Salam Datuk,
yang penting pada saya sesiapa yang menang dan telah diberi kepercayaan laksanakanlah tugas dan tanggungjawab sebaik yang mungkin..cuma saya ingin menarik perhatian datuk sedikit mengenai kes keganasan pelajar semakin menjadi2. Justeru saya berharap sekiranya selesai pemilihan UMNO ini nanti semua pihak akan bersama-sama mencari alternatif bagaimana mahu membendung isu ini agar remaja kita tidak bertindak dengan lebih liar dan ganas.. Bukan apa datuk, saya ada terdengar rungutan dari ibu bapa mengatakan sekolah bukan lagi tempat selamat untuk menghantar anak2 ke sekolah..ibu bapa takut sekiranya isu ini tidak dipantau dan disekat.Sepak terajang sehingga mengakibatkan kematian hanya kerna perkara kecik membuatkan ibu bapa tidak senang duduk bila memikirkan isu ini..

jebat berkokok said...

Adakah sistem pendidikan kita telah jauh berubah kalau hendak dibandingkan dengan dahulu?Atau adakah ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan hingga tanggungjawab mendidik anak anak disandarkan sepenuhnya kepada pihak sekolah?Buatlah pilihan sama ada kemewahan atau anak yang berbudi pekerti..

Tinta Biru said...

Saudara Jebat,Perubahan remaja diperingkat menengah rasanya tidak ada kena mengena dengan sistem pendidikan yang semakin berubah seiring dengan kemajuan teknologi terkini..Perubahan mesti ada sekiranya kita mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan negara maju, pada saya ibu bapa juga tidak patut dipersalahkan kerana disekeliling kita pun ibu bapa bekerja menyara kehidupan tapi ada juga anak2 mereka yang berjaya. Bukan semua ibu bapa yang tidak menitik beratkan aspek kehidupan anak-anak mereka.Persoalanya sekarang kehidupan remaja kita semakin canggih seiring dengan masa. rasa takut dan rasa hormat sudah semakin pupus dan hilang. Walau sejuta nasihat, ingatan dan panduan diberikan oleh ibu bapa mahupun guru namun itu semua hanya omong kosong,Kerana itulah saya berharap sebelum gejala ini semakin serius dan sukar dibendung adalah lebih baik kita mencari jalan penyelesaian serta kaedah terbaik bagi membendung gejala ini dari berleluasa....

Anonymous said...

datuk!
nak tanya, betul ke ksu kita kena.....(tak syok la nak cakap..)
....staff....

Anonymous said...

Siapa pun yang menang perlu menebus kembali maruah bangsa yang tercalar, tugas berat ini harus dipikul bersama banyak atau sikit itulah yang menentukan kegemilangan melayu itu berada dilandasannya semula seperti sebelumnya.
Koje koat Yob..

-azienmat-

ibrahim yahaya said...

Sdr Tintabiru,

Masalah pelajar buli pelajar ini sudah berlaku sejak sekian lama. Ketika saya bersekolah dulu pun, masalah ini telah berlaku. Apa yang saya lakukan ialah berkawan dengan semua orang. Saya juga mempunyai kumpulan setiakawan yang rapat untuk menghadapi sebarang kemungkinan daripada kumpulan samseng ini. Saya juga belajar seni mempertahankan diri untuk menjaga diri sendiri.

Ketika bersembang dengan Datuk Hisham baru-baru ini, beliau juga menyatakan masalah buli bukan mudah untuk diselesaikannya kerana ia bertitik-tolak daripada sikap semua pihak termasuk ibu bapa untuk mengawal anak-anak mereka.

ibrahim yahaya said...

Sdr Jebat,

Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka. Saya masih menggunakan rotan walaupun anak sudah berusia 18 tahun semata-mata untuk mengajar mereka. Bagi saya biar kita merotan anak ketika mereka boleh dilentur dan jangan menyesal ketika sudah menjadi buluh. Merotan mereka pun tak guna ketika itu. Rotan pun boleh patah.

ibrahim yahaya said...

Sdr Azienmat,

Kita memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada parti dan negara bukan pemimpin yang popular. Fikirkanlah.

jebat berkokok said...

Dunia Tiger, setuju benarlah kalau ibu bapa merotan anak untuk mengajar ke arah kebaikan..zaman dahulu jika anak di rotan di sekolah kerana kesalahan yang dilakukan pasti apabila balik ke rumah akan ditambah oleh emak dan ayah..zaman sekarang apabila anak mengadu dengan ibu bapa pastinya ibu dan bapa akan melenting dan menyerang guru di sekolah..kalau boleh guru pula hendak di rotan..