Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE
Menjelang hari kemerdekaan negara, saya selalu teringat tiga orang pegawai British yang banyak berjasa kepada Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt, George Maxwell dan Frank Swettenham. Walaupun mereka tinggal tidak lama di sini, lebih kurang 30 tahun, namun mereka bertiga ini begitu gigih menentang Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh ketua mereka pada tahun 1946. Suara keras mereka kedengaran melalui akhbar-akhbar di London, tidak kurang di sini.
Mereka cukup memahami pemikiran, psikologi, toleransi dan cara hidup Melayu serta kedudukan bangsa Melayu di kepulauan Melayu. Pendek kata, walaupun mereka bukan Melayu, mereka tidak sanggup melihat hak-hak Melayu dan Islam dicabut di buminya sendiri. Mereka tidak kisah menerima kutukan bangsanya disebabkan oleh pendirian yang bertentangan. Atas dasar berani kerana benar, takut kerana salah, mereka sanggup menghadapi risiko yang begitu besar. Niat mereka ikhlas, mereka tidak mahu bangsa mereka dikutuk selepas ini disebabkan oleh terlalu agresif atau terlalu ultra kiasu.
Mereka bersama-sama pejuang-pejuang Melayu Islam yang lain berhempas pulas memastikan Malayan Union gagal. Tindakan mereka ternyata membuahkan hasil. Tanah Melayu kembali kepada orang Melayu. Bayangkanlah jika orang bukan Melayu bersama-sama menentang Malayan Union, saya akan turut berbangga hari ini, kerana bangsa telah melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya tidak mahu bangsa saya dituduh mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Biarlah kita mengambil kesempatan ketika orang lain kuat. Itu lebih bermaruah daripada menahan lukah di pergentingan. Inilah maksud kemerdekaan yang sebenar, berkorban jiwa raga demi agama, bangsa dan negara.
Kini sudah 53 tahun kita mencapai kemerdekaan. Sepatutnya, semakin lama kita merdeka, ia semakin mematangkan kita. Kita akan lebih memahami sejarah negara. Ini tidak, ada segelintir yang cuba memutar-belitkan sejarah dan menuntut sesuatu yang di luar dugaan. Mereka sudah lupa wajah-wajah tokoh kemerdekaan yang telah banyak berkorban.
Apa yang lebih ditonjolkan adalah tokoh-tokoh berasaskan bangsa yang sumbangannya tidaklah sehebat sumbangan mereka yang sanggup berkorban nyawa seperti Tok Janggut, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup mengenengahkan ahli kumpulan Bintang Tiga (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan, sedangkan sejarah membuktikan bahawa mereka ini memperjuangkan ideologi komunis.
Jika kita tinjau sejarah kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan sebenar adalah pahlawan-pahlawan Islam. Sila baca sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu (Islam) dan faktor-faktor kebangkitan seperti pengaruh Islam, akhbar, bahasa dan kesusasteraan dan sebagainya. Daripada semua faktor ini, saya boleh ringkaskan, faktor agama Islam amat kuat mempengaruhi kebangkitan Melayu ketika itu. Islam menyatukan mereka meskipun berbeza latar belakang. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan parti, semata-mata untuk memastikan tanah air ini bebas dari cengkaman penjajah.
Justeru, hari ini tidak timbul soal kita tidak boleh bersatu atas semangat ini. Masalahnya kita saling tuduh menuduh dan kafir mengkafir antara satu sama lain. UMNO dikatakan sekular kerana mempertahankan perlembagaan kafir (Perlembagan Reid). Pas mendakwa mereka sahajalah parti yang memperjuangkan Islam. Persoalannya, tidakkah kita boleh manfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada (perlembagaan) untuk meninggikan syiar Islam? Kenapa kita harus saling bercakaran?
Pada saya, syiar Islam berkembang hari ini disebabkan oleh ruang dan peluang yang ada dalam perlembagaan menyebabkan ia tumbuh subur. Untuk melaksanakan hudud, maka pindaan perlembagaan perlu dibuat. Persoalannya bolehkah perlembagaan dipinda jika umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen? Jika bukan Islam termasuk ultra kiasu tidak menyokong hudud, bagaimana ia boleh dilaksanakan?
Saya hanya tersenyum simpul apabila membaca respons pemimpin nombor satu parti ultra kiasu terhadap pandangan Mursyidul Am Pas mengenai cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud. Spontan selepas itu, pemimpin parti ultra kiasu menjawab janganlah bermimpi untuk melaksanakan hudud. Seperti biasa jawapan Mursyidul Am Pas adalah, ultra kiasu masih tidak faham Islam, itu pendapat peribadi.
Persoalannya, takkanlah sudah sekian lama tidur sebantal masih tidak faham-faham lagi? Sebelum ini Pas mendakwa, sejak berkawan dengan mereka, ultra kiasu sudah semakin berubah, banyak membaca buku-buku Islam dan menjadi pro-Islam. Yang menjadi masalah hanya golongan tua ultra kiasu, generasi muda mereka didakwa begitu sayang dan memahami Islam serta setuju dengan perlaksanaan undang-undang Islam. Bagus juga sangka baik ini, sekurang-kurang dapat membuka mata dan minda kita. Ini mungkin juga disebabkan oleh doa khatib-khatib Pas dalam khutbah jumaat.
Persoalannya, adakah benar ultra kiasu sudah mendapat hidayah? Sejak dari dahulu lagi parti ultra kiasu menolak sebagai bentuk perlaksanaan cara hidup Islam di negara ini. Masihkah kita tidak mengenai antara antara musuh dan sahabat?- Mingguan Malaysia.
(Renungan Rimau : Sebenarnya kesanggupan PAS mahu bekerjasama dengan parti-parti pembangkang adalah kemenangan besar untuk DAP. Walaupun DAP terpaksa menelan segala kepahitan termasuk menerima penubuhan Negara Islam, semua dilakukan demi untuk mencapai cita-cita besar untuk memerintah negara ini. Pemimpin PAS juga cuba membuat 'tarian imbangan politik' dengan pelbagai kenyataan bagi meredakan pengikut ultra dan sederhana. Adakala mereka terpaksa menjilat ludah ataupun mengeluarkan fatwa yang terus mengelirukan umat Islam. Apa jenis orang ini?)
Sunday, August 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment