Monday, December 8, 2008

BERHARI RAYA DI BUKIT ANTARABANGSA

Posting Ketiga - 9.15 malam

Salah satu insiden hari ini ialah tindakan dua rakyat Myanmar yang memakai jaket Tentera disoalsiasat oleh polis. Pekerja Myanmar itu dikatakan diarah oleh majikannya untuk membawa barang keluar daripada rumah. Yang menjadi hal ialah mengapa mereka memakai "jaket Tentera". Takyahlah mencari pasal ketika pihak berkuasa penat bertugas mengawal keselamatan. Jangan susahkan orang lain.

Posting Kedua - 8.50 malam

Pagi ini, saya berpeluang mengikuti pasukan keselamatan yang membawa Timbalan Pengerusi Bencana, Dato' Ahmad Shabery Cheek, melalui jalan alternatif yang dibuat oleh Tentera. Jalan ini untuk membolehkan pelbagai bantuan dibawa untuk "meringankan beban dan penderitaan" penduduk di taman yang tiada jalan keluar kecuali denai.

Saya dapat menyaksikan bagaimana Tentera berusaha membina jalan alternatif itu sejak dua hari lalu dengan mendapat nasihat daripada pakar tanah agar jalan itu tidak mendatangkan bahaya kepada bakal pengguna.

Akhirnya mereka menggunakan laman tepi rumah seorang penghuni untuk membina jalan permulaaan bagi jalan alternatif menerusi bukit ke beberapa taman perumahan di atas bukit termasuk Kyoto Garden.

Kami terpaksa melalui jalan yang belum siap untuk menyaksikan laluan itu sebelum Tentera menggunakan lapisan khas untuk menutup jalan yang berbecak itu. Akhirnya tugas membina jalan alternatif itu berjaya dan bantuan segera disalurkan.

Jalan alternatif itulah yang akan digunakan oleh penduduk untuk membawa keluar kenderaan mereka atau berulang-alik ke tempat kerja setelah mula bekerja esok.

Apa yang menarik ialah "penduduk di taman di atas bukit" berteriak riang apabila melihat kumpulan kami. Ada yang berpakaian baju Melayu mempelawa untuk menikmati "hidangan" hari raya aidiladha sambil bersempatan untuk bertukar-tukar pandangan dengan DASC. Antaranya ialah mengenai kawalan keselamatan.

Turut hadir dalam kumpulan kami ialah Timbalan KPN, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar. TS Ismail memberi jaminan bahawa Polis akan menjaga keselamatan mereka termasuk rumah yang ditinggalkan. Mereka yang menghadapi masalah segera membuat laporan agar siasatan boleh dijalankan.

Sebelum itu, DASC bertemu dengan Duta Romania, Petru Petra, yang tidak dapat keluar kerana jalan alternatif belum siap. Duta itu kemudiannya dibawa dengan 4WD Polis melalui jalan alternatif untuk membawanya ke bandaraya.

Posting Asal - 8.14 pagi


(Inilah surau yang digunakan untuk bersembahyang aidiladha oleh penduduk, anggota pasukan keselamatan dan petugas NGO. Gambar kurang baik sebab hujan.Alasan. NE90)

(Saya bersembahyang raya bersama penduduk di Bukit Antarabangsa. Selepas sembahyang aidiladha, semua petugas terus menjalankan tugas mereka)

9 comments:

abe MIE 'TERJAH' said...

selamat hari raya datuk...

orang kaya di bukit antarabangsapun kena korbankan sedikit wang mereka sebagai penghayatan hari raya. orang pantai timur setiap tahun bertarung dengan musibah alam, apa salahnya mereka menghayati korban, bukanhanya menghulur wang seringgit atau manis dibibir.

sumandak bayu said...

Salam Tok...

Kejadian yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa ada hikmahnya di hari yang mulia ni kita doakan kesejahteraan mereka; dan menhayati 'korban' yang lebih bermakna dalam mengharungi hidup kita seharian.

Anonymous said...

apa-apa pun, musibah yang jatuh, mengingatkan kita ada yang lebih Berkuasa daripada kita, dan kita perlu bersyukur dengan pemberianNya selama ini. Tak kira jika musibah itu jatuh pada yang kaya atau pun yang miskin, pokoknya Iman seseorang yang menentukan tempatnya di Akhirat nanti, bukan nilai harta yang dimiliki seseorang itu. Dan tak semestinya, yang miskin lebih beriman dari yang kaya. Dan tidak semua yang berada itu tidak bersyukur atau lokek. jadi jgn kita menghukum seseorang kerana kekayaannya. itu bukan hak kita.

ChengHo said...

Siasatan perlu dibuat jika ada berlakunya unsur unsur rasuah didlam memberi kelulusan pembangunan lereng bukit.

Cucu Tok Selampit said...

Selamat Hari Raya Datuk,

Part I

Ramai yang bertanyakan pendapat saya mengenai tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang. Apa lagi yang hendak diperkatakan. Apabila manusia sendiri rakus menodai alam, adakah kita mengharapkan alam sebaliknya akan menjaga kita? Manusia-manusia ini tidak pernah belajar dari kesilapan. Bukan sekali dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan tanah tinggi. Yang terbesar adalah keruntuhan Kondominium Highand Towers yang bakal menyambut ulang tahunnya pada hari esok. Jika dikaji secara mendalam, siapakah yang mendiami kawasan-kawasan mewah ini, kita akan mendapati tidak ada orang miskin menumpang hidup di sini melainkan orang-orang gaji yang menumpang bekerja. Semua penduduknya adalah golongan Datuk-Datuk, Tan Sri dan hartawan jutawan. Tentunya saudara-saudara beranggapan kenyataan ini adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Siapa yang lebih tidak berkemanusian. Saya atau golongan-golongan ini yang membantu mengondol bukit-bukit dan tanah tinggi. Adakah perkara ini tidak mengenai batang hidung saya, maka saya berkenyataan kejam sebegini. Salah. Seorang mangsa di dalam tragedi tersebut adalah Pakcik saya. Beliau kini terpaksa menginap di rumah anak perempuannya di Shah Alam selepas kejadian dua hari lepas.

Hasil pembelajaran saya yang tidak seberapa ini, boleh dikatakan kebanyakan agama menegah pengondolan tanah-tanah tinggi dan bukit bukau yang menjadi pasak bumi. Kita tidak memerlukan kajian roket sains untuk memikirkan perkara ini. Sekiranya pasak bumi telah ditarah dan dirogol sewenang-wenangnya, apa lagi yang diharapkan untuk bumi melindungi kita. Bumi kita tengah nazak dengan perbuatan kita sendiri. Jangan salahkan alam sekitar sekiranya bencana alam yang telah, sedang dan akan berlaku. Mengapakah hendak disalahkan pihak kerajaan tempatan yang kononya gagal mengawal pencerobohan tanah tinggi? Mengapa hendak disalahkan pemaju yang membina dan mengondolkan bukit-bukit bukau ini. Salahkan diri sendiri! Salahkan pembeli dan mangsa-mangsa yang terlibat di dalam tragedi tersebut. Tanpa permintaan dari mangsa-mangsa tragedi tersebut, maka adakah penawaran daripada pihak pemaju? Sekiranya tiada permintaan dari golongan-golongan yang kononya berstatus elit tinggal di puncak tinggi, perlukah adanya pengawasan dan pengawalan dari pihak berkuasa. Jangan asyik menunding jari apabila berlakunya mala petaka. Salahkan diri sendiri. Satu jari telunjuk menunding ke arah orang lain, tiga lagi jari akan menunding ke arah diri sendiri. Pada masa sekarang masih banyak lagi projek-projek perumahan mewah yang sedang atau dalam pembinaan di sekitar tanah-tanah tinggi dan bukit bukau. Adakah projek-projek ini adalah untuk rakyat marhaen dan miskin. Tidak. Projek-projek ini adalah untuk Datuk dan Tan Sri dan hartawan serta jutawan. Nasihat saya, teruskan dengan hukum permintaan ini. Semoga suatu hari nanti kita kita terpaksa menghabiskan duit rakyat untuk menyelamatkan mereka-mereka ini daripada runtuhan seterusnya.

Part II

Menteri Perdagangan Dan Industri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan bilik hotel percuma kepada penduduk di Bukit Antarabangsa yang bercadang hendak berpindah daripada kediaman mereka dan tidak mempunyai kawan dan sanak saudara untuk tinggal. Sejak bilakah layanan kelas pertama ini diberikan kepada golongan orang-orang kaya ini. Bukankah seluruh Malaysia sekarang sedang mengalami musim banjir dan ramai lagi yang kehilangan harta benda dan tiada tempat untuk tinggal. Kenapa tiada layanan dan janji yang sama untuk memperuntukkan biliik-bilik hotel kepada mereka. Kenapakah ada layanan 'double standard'? untuk golongan-golongan yang kaya sahaja? Bukankah golongan-golongan banjir ini juga rakyat Malaysia, pembayar cukai dan turut menyumbang untuk pembangunan negara? Malah di dalam laporan berita semalam, dipaparkan nasi-nasi bungkus yang masih elok dibuang di kawasan penempatan. Soalan saya, adakah orang-orang kaya ini tidak betah makan nasi bungkus walaupun di masa darurat? Oh ya, saya lupa. Inilah peraturan dunia. Jika perkara ini berlaku kepada rakyat biasa, tiada siapa yang ambil perduli. Sekiranya ini berlaku kepada orang-orang kaya, Sultan turun padang, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri turut turun padang. Inikah yang kita katakan prihatin???

Anonymous said...

tempat lain yang mengalami bencana alam selain di Bukit Antarabangsa boleh dikatakan sebagai "New Orleans".kenapa new orleans?sbb new orleans terpinggir dalam menerima bantuan kemanusiaan semasa bencana berlaku.

kenapa perlu ada "double-standard" dalam memberi bantuan?.adakah kerana di Bukit Antarabangsa orang-orang disitu kaya-raya jadi diberi layanan yang lebih dari orang-orang biasa?.perlukah mereka diberi hotel?bagi saya tak perlu.cukup dengan sekadar tempat tinggal sementara yang selesa dan ada kemudahan asas sepeti elektrik dan air.

bukan saya tidak bersimpati.cuma fikirkanlah juga tentang nasib orang lain yang turut ditimpa malapetaka.

jangan semata-mata kerana orang kaya maka mereka perlu dimanja lebih dari orang-orang biasa lain yang turut terasa tempias bencana alam.

Anonymous said...

sekarang ini banyak pihak yang menuding jari antara satu sama lain untuk mencari siapa yang bertanggujawab atas insiden di Bukit Antarabangsa.

malah Khir Toyo dan Khalid juga bercakaran berhubung siapa yang patut dipersalahkan.

benda dah lepas.kita belajar sajalah dari pengalaman.yang terasa bersalah tu,terima jelah kenyataan dan tanggunglah sendiri apa yang dia dah buat.dalam hal ini kita boleh rumuskan kecuaian manusia dan bencana alam semulajadi yang menjadi faktor dalam insiden Bukit Antarabangsa.

junkopile said...

assalamualaikum tok rimau
bila berlaku keadaan darurat sepatutnya kena saling membantu dan bukan mencari salah orang lain..
petugas2 dan penduduk harus saling membantu dan bukan saling menyalahkan..dalam keadaan bencana keadaan tegang dan tekanan memang dijangkakan..
sama2lah kita berdoa agar semuanya kembali seperti sediakala...

rayliew said...

Malapetaka tidak diundang, siapa boleh ramal ianya akan berlaku. Jangan salahkan siapa-siapa, yang penting adalah membantu mangsa-mangsa yang terlibat. JANGAN ASYIK BERCAKAP DAN MENGKRITIK, HULURKANLAH BANTUAN DAN SUMBANGAN UNTUK MEMBANTU MEREKA YANG DITIMPA MALAPETAKA INI...