Monday, July 30, 2007

ALAT PENGESAN MANUSIA UNTUK IMIGRESEN

Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu mempunyai alat pengesan manusia untuk mengesan manusia dalam kenderaan. Jika kedua-dua jabatan itu dilengkapkan dengan alat pengesan manusia seperti metal detector, sudah pasti mereka dapat mengesan dengan mudah manusia yang disorokkan.

Usaha ini perlu dipercepatkan kerana mengikut akhbar [ Utusan Malaysia ] hari ini, sempadan Malaysia-Thailand semakin mudah dibolosi dan kini menjadi lubuk emas kepada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menawarkan upah sehingga RM1,000 seorang untuk membawa PATI ke Lembah Klang.

Pemandu sebuah van yang bersedia membawa 15 penumpang mungkin memperoleh RM15,000 semalaman jika mereka sanggup menyeludup 15 orang pendatang dari sempadan Thailand ke Kuala Lumpur yang biasanya hanya memakan masa enam hingga lapan jam perjalanan.
Sindiket penyeludupan manusia itu yang menjanjikan pulangan lumayan menjadi punca peningkatan ketara kemasukan pendatang dari Myanmar, Vietnam, Bangladesh, India, Pakistan, Ghana dan China ke negara ini melalui sempadan Thailand.

Paling memeranjatkan, pendatang terlibat bukan dibawa masuk melalui ‘lorong tikus’ atau lorong haram di sepanjang sempadan itu. Saksi-saksi memberitahu, semakin ramai rakyat asing berani meloloskan diri di pintu masuk sempadan menerusi laluan rasmi. Ada pendatang asing yang diseludup masuk melalui laluan imigresen dengan memakai uniform pihak berkuasa Malaysia seperti polis dan Jabatan Imigresen.

Dengan cara menyamar, ejen sindiket membawa pendatang melalui laluan hijau tanpa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sempadan. Ejen-ejen sindiket terbabit kemudian mengangkut rakyat asing yang diserahkan oleh tekong darat di Pengkalan Kubor, Kelantan; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis menerusi jalan darat ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain.

No comments: