Monday, July 2, 2007

BERI TUMPUAN MEJA VIP, YANG LAIN.......

Seorang teman menelefon saya memberi pandangan mengenai persiapan mengadakan majlis. Penganjur hanya perlu memberi tumpuan kepada meja VVIP atau VIP saja dalam menentukan tempat duduk. Bagi tetamu lain, biarkan mereka memilih untuk duduk di mana saja mengikut kesukaan mereka. Ada yang suka duduk dengan rakan-rakan manakala ada tetamu yang gemar bersembang dengan sanak saudara atau keluarga.

Kelonggaran kepada tetamu yang bukan VIP atau VVIP ialah untuk membolehkan mereka duduk semeja dengan kumpulan yang mereka suka atau sesuai agar boleh berbual dan bertukar-tukar pandangan. Ada antaranya yang tidak pernah berjumpa bertahun-tahun setelah meninggalkan sekolah atau universiti. Ada juga yang ingin duduk dengan sanak-saudara agar boleh bersembang pelbagai topik membabitkan keluarga mereka.

Jika penganjur meletakkan nama di meja tertentu sekalipun, tetamu yang datang awal boleh mengubahnya mengikut sesuka hati mereka. Melainkanlah penganjur mempunyai "pengawal" di setiap meja.

Yang mencacatkan majlis ialah jika ada meja yang kosong kerana tetamu yang ditentukan tempat duduknya lambat datang atau tidak datang langsung. Tetamu lain yang hendak mengambilnya tidak berani kerana tempat duduk sudah ada nama. Melainkanlah penganjur mempunyai penyambut tetamu yang ramai. Banyaklah kena keluar duit.

Adalah lebih baik, meja yang di hadapan dipenuhkan dengan tetamu yang datang awal dan biarkan meja di belakang untuk orang yang terlambat. Ini membolehkan majlis berjalan lancar tanpa gangguan mereka yang lambat. Adakalanya sudahlah terlambat, golongan ini suka membuat bising sehingga semua mata tertumpu kepada mereka yang terlambat ini iaitu VIP juga, singkatan kepada Very Idiot Person. Perrrgggh.

No comments: