Saturday, July 21, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (24)

Aku boleh merasai kemarahan mereka. Api kemarahan membuak-buak di dada mereka. Inilah gara-gara Sitos yang menyebabkan banyak beruk terbunuh oleh senapang manusia. Sitos yang garang telah menyerang seorang anak manusia. Habis digigit anak itu sehinggakan mukanya berdarah. Oleh kerana sakit hati manusia terus membalas dendam. Mereka datang beramai-ramai membawa senapang dan mula menembak beruk di Bukit Putra. Menembak tidak tentu hala. Satu demi satu terkulai layu. Ada di atas pokok dan ada yang mati tersungkur di atas tanah ketika mencari makanan. Mereka tidak sempat lari.

Kini, beruk-beruk lari bersamaku ke gua di atas Bukit Putra. Manusia tidak mengetahui kewujudan gua berkenaan. Kami bersembunyi dan tidak membuat bising. Ada lebih seratus beruk yang mencari perlindungan di gua itu. Yang lain, entah apa nasib mereka. Ada yang bersembunyi di atas pokok besar dan berdiam diri ibarat mayat yang terkujur layu. Ada yang bersembunyi di batu-batu besar di gaung. Entahlah.

Yang menyedihkan aku ialah cerita daripada beberapa ekor beruk yang datang kemudian. Sepanjang perjalanan, mereka melihat banyak beruk mati terbongkang dikerjakan oleh manusia. Ada yang pecah kepalanya. Ada yang terburai perut dek penangan peluru kapur yang mengena sasaran. Darah mula mengalir di Bukit Putra. Tiada belas kasihan. Tiada lagi kelembutan manusia. Inilah gara-gara Sitos yang jahat dan kejam.

Sejak sekian lama, Sitos ini menjadi bahan cemuhan masyarakat beruk di Bukit Putra. Sitos seekor beruk yang bukan saja hodoh dari segi fizikalnya tetapi juga dihatinya. Banyak anak beruk menjadi mangsanya. Beruk betina menjadi pemuas nafsu Sitos. Mereka dirogol dan dibunuh dengan kejam. Anak beruk juga tidak terlepas daripada nafsu syaitan Sitos. Mereka dibunuh dengan kejam dan ada yang menjadi bahan makanan Sitos. Darah merah masih terlekat di bulu Sitos. Petualang masyarakat beruk.

Tetapi kali ini Sitos tersalah langkah. Anak manusia yang lalu di bawah bukit dikerjakannya. Sempat anak kecil itu lari meminta tolong. Maka bermulalah pemburuan manusia yang ingin membalas dendam. Ada juga manusia yang membawa anjing garang yang sentiasa menyalak. Namun, yang menakutkan ialah muncung senapang yang sentiasa mencari mangsanya. Terkena peluru, terkulai layu. Amat memilukan.

Menjelang malam, tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Manusia sudah kembali ke rumah mereka. Aku bertekad untuk mencari Sitos, petualang yang kejam dan tidak berhati perut. Aku mahu Sitos dihapuskan. Esok pagi, kami akan mencari Sitos. Jika berjaya mencarinya, kami akan menghapuskannya. Sitos terlalu kejam untuk dibiarkan hidup. Sitos perlu dihilangkan daripada muka bumi ini.

2 comments:

PUTRAGABAN said...

Tiger.
Kalau beruk sudah pandai merogol dan berzina, susahlah jadinya. Barangkali ada juga beruk yang dah pandai sumbang mahram.

Tapi nampaknya berok yang bernama Sitos memang dah diajar sumbang mahram. Sebab tu lah mereka buaknsaja lanyak beruk-beruk dari keturunan lain, tetaoi keturunannya sendiri.

ibrahim yahaya said...

Sdr Budin,

Zina dan sumbang mahram elok dijauhkan jika mahu hidup bahagia.