Wednesday, July 11, 2007

KUALA LUMPUR OH KUALA LUMPUR!


(Ini bukan pemandangan di Pekan Masjid Tanah, Melaka atau Kangar, Perlis beberapa tahun lalu. Ia adalah pemandangan di Jalan Kerinchi, berhampiran Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang dirakamkan pada 10 Julai 2007)

Saya merindui Tan Sri Elyas Omar. Bukan sebagai kekasih tetapi seorang Datuk Bandar yang berpandangan jauh setidak-tidaknya mengenai keindahan bandaraya. Ketika beliau menjadi Datuk Bandar, Kuala Lumpur berubah menjadi sebuah taman indah dengan pelbagai jenis pokok bunga yang berwarna-warni.

Lanskap pokok bunga berwarna-warni boleh dilihat di kebanyakan tempat di bandaraya terutama di Dataran Merdeka. Malah, di situlah tempat bergambar pelancong dan juga rakyat tempatan. Sejak usaha itu, pasangan pengantin tidak pening kepala untuk mencari tempat bergambar yang berlatarbelakang bunga mekar dan menarik. Umpama berada di luar negara seperti di Belanda.

Keindahan lanskap ini yang diilhamkan bersama seorang tokoh lanskap, Datuk Halim Ali, berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai taman besar berwarna-warni yang perlu dilawati. Konsep lanskap bunga berwarna-warni ini seterusnya menjalar ke bandar-bandar besar yang secara langsung membolehkan pihak berkuasa tempatannya mendapat pujian.

Walaupun, DBKL dan PBT perlu berbelanja sedikit, namun hasilnya amat memuaskan. Tidak guna DBKL dan PBT mempunyai sejumlah wang hasil kutipan cukai tetapi tidak langsung menggunakannya untuk mengindahkan Kuala Lumpur atau kawasan mereka. Akibatnya, bandaraya atau perbandaran mereka menjadi suram dan seperti di suatu kawasan pekan tiga puluh tahun lalu.

Lihatlah gambar di atas yang dirakamkan oleh penulis di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur . Ia secara langsung menceritakan bagaimana "pemerintahan" Datuk Bandar sekarang. Mungkin Datuk Bandar sentiasa sibuk tetapi bagaimana pula dengan pengarah dan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga lanskap bandaraya.

Tolonglah turun ke padang sekali-sekala.

Gambar itu memaparkan penyelenggaraan yang tidak baik di mana dibiarkan besi buruk yang melengkung mencacatkan pemandangan. Besi buruk itu juga boleh mendatangkan "malapetaka" terutama kepada kanak-kanak kecil jika ia tidak dibuang jauh-jauh dengan kadar segera.

No comments: