Wednesday, July 25, 2007

TERBIT MAJALAH : JANGAN BAKAR WANG

Seorang gadis manis hari ini menemui saya bagi mendapatkan nasihat untuk menerbitkan majalah. Gadis Melayu Terakhir ini (wajahnya seperti gadis Melayu doulu-doulu. Pure. Tiada campuran) ingin menerbitkan majalah wanita bersama dengan tiga rakan yang lain. Alasan mereka ialah minat mendalam dalam bidang ini. Ditambah pula ada pihak yang sanggup mengeluarkan wang untuk menerbitkan majalah itu.

Perkataan pertama yang saya sebutkan padanya ialah "LUPAKANLAH".

Gadis ini tersenyum dan bertanya, "Mengapa tidak boleh Tiger?"

Saya nyatakan dengan tegas, "JANGAN BAKAR WANG ANDA"

Cik Adik, untuk menerbitkan majalah bukanlah mudah. Banyak kerja. Tambahan pula untuk mendapatkan keuntungan. Belum tentu. Oleh itu, lupakan saja hasrat untuk menerbitkan majalah jika Cik Adik ingin mendapat keuntungan daripada penerbitan majalah itu. Cik Adik akan menangis akibat wang yang terbakar daripada pelaburan itu setidak-tidaknya enam bulan atau mungkin bertahun-tahun. Percaya dan yakinlah. Ada penerbit yang rugi hampir RM1 juta kerana menerbitkan sebuah majalah wanita. Ada pula rugi hampir RM2 juta kerana menerbitkan majalah remaja. Lebih baik simpan saja duit yang ada dalam amanah saham, dah tentu dapat dividen.

Tunjang utama penerbitan majalah ialah NASKAH TERJUAL dan IKLAN. Kalau kedua-duanya lemah, tolonglah jangan terbitkan majalah. Jika kajian Cik Adik mendapati circulation dan iklan boleh tercapai maka adalah harapan sedikit, bukan untung tetapi boleh bertahan beberapa bulan. Jika tidak, lupakanlah.

Cik Adik, ketika ini banyak majalah wanita dan hiburan tempatan di pasaran. Ditambah lagi dengan majalah luar negara. Berebut-rebut untuk mencari pembaca. Apatah lagi jika sesuatu majalah itu mempunyai isi kandungan yang hampir sama. Menggunakan isu dan gambar yang sama. Umpamanya perkahwinan artis atau raja. Lupakanlah.

Namun, jika Cik Adik tetap berdegil, semangat berkobar-kobar dan tidak peduli, silakanlah. Tetapi ingat dan sedarlah bahawa untuk enam bulan pertama, wang yang dilaburkan akan hangus begitu saja. Untuk tiga bulan pertama tiada wang yang akan masuk tetapi banyak pula akan keluar. Bersedialah untuk dimasukkan dalam senarai individu yang muflis. Sama ada Cik Adik, kawan atau pun pelabur budiman. Ada individu yang melabur dalam bidang penerbitan, bukan saja tidak dapat untung tetapi jatuh bankrap.

Jika Cik Adik bersemangat, degil dan tidak pedulikan nasihat orang, teruskanlah.

Pertama perlu mempunyai pasukan pengarang yang cemerlang dan berpengalaman. Mampu mencernakan artikel yang bermutu dan bermaklumat. Kedua ialah advertising team yang mantap dan berpengalaman. Jangan hanya bergantung kepada circulation saja kerana waima perubahan musim saja, jualan majalah anda akan berubah. Sebagai contoh, selepas hari raya, jualan majalah akan merosot. Sebab, duit dah habis ditabur ketika berbelanja untuk persiapan hari raya. Ini bukan pelik tetapi cerita benar. Suratkhabar lagi teruk. Musim hujan juga boleh menyebabkan jualan akhbar merosot. Itulah alasan yang diberikan oleh circulation team NSTP ketika saya bertugas dulu. Perrrggghh. Bersedialah untuk menghadapi peperangan.

No comments: