Monday, July 2, 2007

SELAMAT PAGI DOKTOR PALSU

Masalah PHD palsu menjadi tajuk perbualan di kalangan masyarakat terutama ahli akademik dan politik. Sejak media portal, KLPOS, membongkar pelbagai kisah menarik mengenai PHD palsu ini, ramai pihak yang berminat untuk memperkatakannya.

Apa yang menjadi persoalan penting ialah tindakan mereka yang menggunakan PHD palsu. Ahli sains tempatan perlu membuat kajian terhadap otak golongan terbabit terutamanya untuk menentukan punca utama mereka menggunakan PHD palsu. Adakah bertujuan untuk menunjukkan mereka seorang yang pandai dan bijaksana ataupun sebab lain yang mungkin boleh membantu melonjakkan tahap kehidupan masing-masing terutamanya ahli politik. Ataupun mereka menghidap sejenis penyakit otak yang dikenali sebagai "gila babi sijil".

Seorang teman pagi ini menceritakan kisah dua orang pensyarah di universiti awam tempatan yang mempunyai PHD palsu tetapi masih dibenarkan untuk bertugas. Pensyarah itu tidak segan silu untuk meletakkan DR di depan nama mereka dalam pelbagai urusan kecuali yang membabitkan universiti berkenaan. Di pihak universiti, mereka mengetahui bahawa pensyarah ini tidak mempunyai kelayakan dalam bidang PHD. Oleh itu, gred gajinya masih di peringkat sarjana dan beliau tidak diberikan tugas seperti seorang pemegang PHD. Seorang pensyarah masih lagi mengajar dan seorang lagi sudah pun bersara.

Tindakan menggunakan PHD palsu yang diperolehi daripada universiti internet ini adalah satu tindakan yang memalukan. Ia secara langsung meletakkan maruah si penggunanya di tahap yang paling rendah di samping memalukan institusi yang diwakilinya. Jika beliau seorang pensyarah, sudah pasti akan memalukan nama institusi pengajian tinggi di mana beliau bertugas. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka untuk memastikan orang luar tidak memandang serong kepada institusi yang diwakilinya.

Golongan berpenyakit ini berbuat demikian untuk meraih pelbagai keuntungan daripada penggunaan PHD palsu ini antaranya ialah penghormatan orang luar dan juga bayaran untuk memberikan ceramah atau kertaskerja. Bagi pemegang PHD, mereka dibayar antara RM500 hingga ke RM1,000 untuk memberi ceramah atau kuliah. Bagi peringkat sarjana, mereka dibayar antara RM300 hingga RM500 dan tidak hairanlah mereka perlu mempunyai PHD palsu.

Selain itu, perkembangan tidak sihat ini berlaku di kalangan ahli politik. Ada antaranya yang dikatakan tidak pernah mendapat ijazah atau terbantut di tengah jalan, tetapi mengambil daya usaha untuk memastikan beliau mempunyai PHD. Akibatnya, PHD internetlah yang dijadikan tumpuan untuk mengelirukan orang ramai terutama pengikut mereka. Ada juga ahli politik yang menggunakan PHD palsu ini untuk mengelabukan mata pemimpin tertinggi bagi membolehkan mereka dipilih sebagai calon pada pilihanraya akan datang. Jika ada PHD, sudah pasti boleh menjadi calon terbaik kerana tahap akademiknya baik.

Sudah sampai masanya, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap golongan tidak bertanggungjawab ini agar barah itu tidak merebak kepada masyarakat. Usaha pihak berkuasa untuk mendaftar semua pemegang PHD dengan menitikberatkan mengenai kajian akademik dan universiti yang mengeluarkannya adalah satu langkah baik untuk membanteras golongan yang berpenyakit luarbiasa ini. Selain itu, pemimpin politik perlu memastikan ahli partinya tidak menggunakan PHD palsu ini dengan sewenang-wenangnya bagi menjaga maruah parti terutama jika mereka ini tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Bukanlah hina jika kita tidak mempunyai PHD tetapi adalah hina jika kita menggunakan PHD palsu. Insaflah.

No comments: