Sunday, July 1, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (5)


(Tokpa dalam satu majlis di Kota Bahru. Gambar BERNAMA)

Penghijrahan seorang penceramah agama UMNO di Kelantan ke parti PAS baru-baru ini bukanlah suatu perkara yang besar. Namun, ia menceritakan beberapa perkara mengenai UMNO di Kelantan selama ini. Pihak tertinggi UMNO perlu meneliti kedudukan terbaru ini bagi memastikan UMNO dapat menawan semula Kelantan.

Mengikut cerita kawan-kawan politik, penceramah agama itu yang mula diberikan peranan penting oleh Tokpa sebelum ini, sebenarnya bukanlah menghayati perjuangan PAS sehingga memerlukan beliau berhijrah. Apa yang berlaku ialah beliau memerlukan pendapatan tetap untuk menyara keluarganya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian kerana janji demi janji yang diberikan tidak ditunaikan. Yang terakhir sekali ialah apabila ada suara-suara sumbang yang keluar menyatakan UMNO bukan parti yang menyediakan pekerjaan. UMNO adalah parti sukarela. Perrrgggh. Amat menghiriskan hati setelah berpenat lelah untuk parti.

Betapa tergurisnya hati penceramah yang hebat itu sehinggakan beliau terpaksa memikirkan haluan baru untuk menyara kehidupan keluarganya.

Bayaran saguhati ceramah yang diterimanya tidak mencukupi untuk menyara keluarga. Masalah beliau diketahui oleh pemimpin PAS yang segera memanjangkan langkah mereka untuk memancing penceramah berkenaan. Beliau yang mempunyai pendidikan pondok diberikan gaji tetap dikatakan sebanyak RM5,000 untuk membantu ceramah Datuk Nik Aziz Nik Mat. Maka hilanglah seorang penceramah hebat UMNO kepada pembangkang kerana sikap tidak ambil peduli ini.

Pemimpin UMNO Kelantan perlu menghayati nasihat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, baru-baru ini yang menyatakan bahawa PAS akan menjadi kuat di sesuatu kawasan jika UMNO dilihat sebagai lemah. Ini bermakna PAS sebenarnya tidak kuat tetapi disebabkan UMNO lemah, maka usaha PAS mempengaruhi pengundian rakyat akan berjaya. Ini yang berlaku pada PRU 1990 yang menyaksikan bermulanya PAS mengambilalih pemerintahan Kelantan. Sedangkan pada 1986, PAS menghadapi masalah dan kalah teruk di kebanyakan tempat berbanding DAP yang mendapat 24 kerusi Parlimen.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa perlu melihat nasihat dan saranan Datuk Seri Najib dengan lebih mendalam untuk memastikan UMNO berjaya menawan Kelantan. Kejayaan akan mencerminkan kewibawaan beliau sebaliknya jika UMNO kalah ia secara langsung menunjukkan pengurusan dan kepemimpinan beliau lemah dan perlu digantikan dengan orang lain.

Walaupun banyak cakap-cakap agar kepemimpinan UMNO Kelantan perlu ditukar segera untuk memastikan parti itu berjaya, namun bagi saya penukaran itu akan lebih "menghancurkan" UMNO di negeri Cik Siti Wan Kembang. Sebarang pertukaran pemimpin memerlukan masa yang panjang untuk "penyesuaian" di semua peringkat. Apa yang menakutkan ialah berlakunya perpecahan dan berpuak-puak sehingga melemahkan parti. Apa yang membimbangkan ialah terlalu ramai panglima perang yang mahu orang lain mengikut kata mereka seperti pada 1990. UMNO berpecah dan kedegilan Menteri Besar ketika itu untuk mendengar nasihat pemimpin tertinggi UMNO agar berundur membawa padah, bukan pada dirinya saja tetapi kepada UMNO di Kelantan.

Apa yang penting sekarang ialah terus bersatu padu dan memikirkan kaedah serta pendekatan terbaik untuk menawan Kelantan. Datuk Seri Annuar perlu mengumpul cerdik pandai negeri itu (walaupun sudah banyak kali dibuat) untuk membincangkan secara mendalam mengenai pendekatan terbaik untuk mempengaruhi pengundi pada pilihanraya akan datang. Resolusi perlu diberi perhatian bukan disimpan di bawah meja.

Pemilihan calon untuk kerusi DUN dan Parlimen juga perlu difikirkan masak-masak agar calon yang dikemukakan mampu untuk mengalahkan PAS. Bukan calon itu ditonjolkan kerana mereka adalah kawan rapat. Pengundi di Kelantan akan menolak calon yang lemah dan tidak disukai walaupun ia calon UMNO. Pemimpin yang sombong dan tidak menjalankan tugasnya perlu digugurkan bagi menjaga imej UMNO dan kepentingan rakyat.

Datuk Mustapa Mohamad, Datuk Romzi dan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fahmi Salleh, boleh memainkan peranan penting dalam membantu Datuk Seri Annuar terutamanya dalam mengembleng tenaga pemuda UMNO. Calon profesional dan Pemuda UMNO perlu juga dipertimbangkan untuk menyuntik muka-muka baru dalam pilihanraya akan datang.

UMNO boleh menawan Kelantan kerana PAS kini "berpecah" terutama di Kelantan dengan wujudnya dua golongan - ulama dan golongan profesional. Ada yang menyokong Datuk Nik Aziz dan ada juga yang memberi sokongan padu kepada Timbalan Presiden Pas, Haji Nasharuddin. Perpecahan ini diakui sendiri oleh DS Nik Aziz. Kedudukan Datuk Husam Musa dalam konflik dalaman PAS perlu diteliti bagi merencanakan pendekatan terbaik menawan Kelantan.

No comments: