Sunday, July 1, 2007

RSVP : JANGAN BUAT ORANG SUSAH

Ini cerita mengenai seorang yang bergelar tetapi masih mempunyai mentaliti "main serbu" dalam satu majlis perkahwinan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Oleh kerana beliau tidak menjawab surat jemputan kahwin yang dihantar kepadanya, penganjur menganggap beliau tidak hadir. Tiada RSVP, maka tiadalah tempat duduk. Ini kerana majlis itu diadakan di sebuah hotel terkemuka yang sudah pasti mempunyai peraturan yang perlu diikuti. Sebagai contoh, jika kita mahu pihak hotel menyediakan makanan untuk 500 orang, maka disediakanlah makanan untuk jumlah berkenaan. Namun, pihak hotel menyediakan makanan lebih sedikit jika ramai manusia mentaliti serbu tiba-tiba muncul untuk memeriahkan majlis.

Namun, malangnya orang yang bermentaliti serbu ini seorang yang bergelar. Atas sedikit daripada Datuk di mana perlu ditempatkan di kalangan yang sesuai dan bukan boleh diletakkan bersembarangan, apatah lagi di meja belakang. Oleh kerana orang bergelar itu main serbu dan tidak membuat RSVP maka terkulat-kulatlah penyambut tetamu dalam menentukan tempat duduknya. Jika ditempatkan di meja belakang, tentulah tidak sesuai dan mungkin orang bergelar itu akan malu dan pulang saja.

Hendak ditempatkan di meja utama, banyak pula masalahnya kerana semua meja sudah dipenuhi dengan tetamu yang datang awal. Akhirnya mereka terpaksalah menggunakan pencak silat mereka untuk mengatasi masalah orang yang bermentaliti serbu itu. Malam itu banyaklah pendekatan PR (public relations atau pujuk rayu) yang perlu dibuat untuk meminta orang yang membuat RSVP (sungguh kesihan kepada mereka) memberi laluan kepada orang bergelar yang bermentaliti serbu.

Apakah pengajaran yang boleh dipelajari daripada peristiwa itu?

Jawapannya ialah tolonglah jawab surat jemputan yang diberikan untuk memudahkan pihak penganjur mengatur bilangan tetamu yang hadir dengan baik dan teratur. Jika orang bergelar sudah pasti mempunyai setiausaha yang akan dapat membantu mereka untuk memberikan jawapan. Rajin-rajinlah menjawab sama ada datang atau sebaliknya, agar menyenangkan hidup orang lain.

4 comments:

Fauziah Ismail said...

Salam Tiger
The RSVP culture does not exists here because we Malaysians are accommodating in nature. And we sometimes go overboard with our "tak apa" attitude.

ibrahim yahaya said...

Sdr Fauziah,

Salam kembali.

Tabiat dan perangai lama perlu ditukar dengan budaya baru yang bertanggungjawab.

Ketika ini, majis perkahwinan yang diadakan di kampung sekalipun sudah menggunakan khidmat catering makanan dan jika tidak menjawab surat jemputan atau RSVP, maka tetamu yang buat RSVP tetapi datang kemudian pasti tidak akan dapat makan.

Ini kerana "bahagiannya" sudah "dinikmati" oleh manusia yang bermentaliti serbu itu. Tuan rumah sudah pasti tidak menghalang manusia seperti ini daripada makan. Tetapi dia menyusahkan orang lain.

Dulu lain, tuan rumah masak nasi dan lauk kawah, banyaklah makanan lebih yang boleh dibawa balik.

Anonymous said...

Salam Datuk,mungkin org yang termasuk dlm golongan 'Serbu' ini beranggapan ''Takkanlah tak cukup makanan utk sku sorang je?''.Jadi kalau 50 org bersikap sedemikian,alamat tak cukuplah makanan dan akhirnya tuan rumah akan dianggap tidak menyediakan makanan dgn cukup.Wassalam

ibrahim yahaya said...

Sdr Azad,

Sebenarnya, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menjawab surat jemputan yang diterimanya.

Jika mahu hadir ke majlis itu, segeralah jawab. Begitu juga sebaliknya. Yang penting jawab.

Tidak menjadi kesalahan untuk tidak hadir ke sesuatu majlis jika mempunyai hal yang lain, tetapi satu kesalahan besar jika tidak menjawab sama ada hadir atau sebaliknya. Ini penting bagi memudahkan penganjur menyusun program mereka termasuk tempahan kerusi, meja dan makanan.

Selain itu, jika mereka tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, menjadi tanggungjawab untuk memberitahunya bagi membolehkan penganjur menyusun semula persiapan. Tidak hadir kerana sebab tertentu yang tidak boleh dielakkan, bukannya tidak hadir semata-mata "malas" untuk pergi.