Friday, July 6, 2007

SETINGGAN OH SETINGGAN!

Usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menghapuskan setinggan di negeri itu adalah tindakan terpuji. Apa yang dilakukan ialah membina rumah atau pangsapuri kos rendah dan memindahkan setinggan ini ke rumah baru berkenaan. Kawasan setinggan itu kemudiannya dibangunkan menjadi taman perumahan atau lot kedai.

Namun satu perkara yang perlu difikirkan oleh kerajaan negeri ialah usaha untuk mendidik masyarakat setinggan agar menyiapkan diri mereka dengan penempatan baru itu. Persiapan itu termasuklah dari segi persediaan mental, sikap menjaga kebersihan, bersopan-santun, praktikal, tidak mementingkan diri, menghindari vandalisme, bergaul dan bermasyarakat.

Ini penting untuk memastikan tempat baru itu menjadi penempatan yang bersih dan harmoni. Jika usaha itu tidak dititikberatkan maka "kejadian dan peristiwa menarik" di beberapa penempatan pangsapuri baru di Puchong yang diberitahu oleh teman, menceritakan sikap dan amalan tidak senonoh penduduk setinggan.

Sikap dan amalan tidak senonoh itu termasuklah:

1. Membuang sampah merata-rata. Penduduk yang tinggal ditingkat atas membaling sampah ke bawah. Penduduk di tingkat sepuluh menghantar sampah mereka ke tingkat lapan dan adakalanya di hadapan pintu penduduk lain. Tempat sampah terlalu kotor sehingga penuh dengan lalat dan anjing liar mencari makan. Ada juga yang membuang sofa atau peralatan elektrik seperti mesin basuh di tempat membuang sampah. Sepatutnya mereka perlu membuang sendiri ke tempat yang lebih sesuai.

2. Kera Sumbang. Tidak bergaul dengan orang lain. Malah ketika bertembung di lif atau kedai sekalipun tidak bertanya khabar atau bertegur sapa. Ada juga yang menunjukkan "kesombongan" mereka dan berjalan hidung ke atas. Bagi golongan ini mereka akan tunduk apabila musim hujan takut hidung dipenuhi air.

3. Vandalisme. Banyak peralatan di tempat permainan hilang atau tercabut. Ada juga pihak yang membuat tulisan daripada colour spray yang memalukan. Ada juga yang merosakkan telefon awam sehingga sukar bagi penduduk untuk membuat panggilan. Ada juga yang mencakar di dinding pangsapuri sehingga mencacatkan keindahan penempatan baru itu.

4. Membawa motosikal dalam lif. Oleh kerana bimbang motosikalnya dicuri, maka ramai penduduk yang membawa motosikal mereka ke depan rumah menggunakan lif. Jika mereka tinggal di tingkat lapan, maka berusahalah mereka membawanya sehingga ke tingkat lapan. Perrrgghh. Apa ni? Nasib baik tidak membawa kereta atau lori. Cubalah bawa jentolak dalam lif.

5. Tidak beradab. Oleh kerana mementingkan diri sendiri maka ada yang tidak menghiraukan orang tua, kanak-kanak atau ibu mengandung ketika menaiki lif. Yang kuat terus menyerbu dan masuk ke dalam lif tanpa rasa bersalah. Ada juga yang menunggang motosikal di pavement menuju ke lif sehinggakan hampir melanggar penduduk yang keluar daripada lif.

6. Sewakan rumah kepada pekerja asing. Ada pihak yang menyewa rumah mereka kepada pekerja asing. Ini menimbulkan persoalan kerana bagaimana mereka boleh mendapat rumah sedangkan mereka tidak memerlukannya? Kebiasaannya rumah kos rendah itu diberikan kepada golongan yang memerlukan rumah. Jika mereka boleh menyewakannya kepada orang lain ini menunjukkan mereka sudah mempunyai tempat tinggal. Berilah peluang kepada orang lain.

7. Kejadian tidak diingini. Ada dilaporkan kejadian tidak diingini berlaku tetapi tidak dibuat laporan polis kerana malu atau tidak mahu diheboh-hebohkan. Sebenarnya, tindakan merahsiakan atau berdiam diri tidak sihat kerana orang yang tidak berhati perut itu akan terus melakukannya terutama kepada kanak-kanak. Tolonglah laporkan kepada pihak polis. Penduduk juga perlu mewujudkan pasukan keselamatan sendiri untuk membanteras semua gejala yang tidak sihat.

No comments: