Friday, July 27, 2007

ISU BLOGGER : BERANI KERANA BENAR

Selain Malaysiakini, MalaysiaToday ada satu lagi laman web terbaru menggunakan nama Malaysia iaitu MalaysiaAktif. Mungkin ada lagi, namun ini yang saya temui baru-baru ini.

Ketika melayari laman itu saya terbaca mengenai pandangan beberapa blogger dalam Seminar Kebangsaan Media dan Teknologi : Bloggers - Isu Cabaran, anjuran Centre for Media and Information Warfare Studies, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Hotel Concorde, Shah Alam pada 24 Julai 2007.

Dalam artikel yang dipaparkan oleh MalaysiaAktif dinyatakan bahawa penulis blog mestilah bertanggungjawab, termasuk menapis komen-komen yang dihantar ke laman blog mereka. Salah seorang peserta yang membangkitkan perkara tersebut ialah Mahaguru 58 (mahaguru58.blogspot.com), penulis blog agama (Islam).Katanya, beliau sangat kesal kerana beberapa tulisan beliau yang dipetik oleh laman MalaysiaToday telah mendapat komen yang tidak wajar disiarkan kerana menghina Islam.

Jelasnya, jika komen-komen itu dihantar kepada blognya sudah tentu akan ditapis terlebih dulu sama ada layak atau tidak untuk disiarkan. Disebabkan komen-komen tersebut dibuat kepada laman lain yang memetik tulisannya, beliau tidak mampu berbuat apa-apa. Menurutnya, komen yang melulu dan boleh menimbulkan perasaan marah penganut sesebuah agama hendaklah disekat oleh pengendali laman web dan blog.

Pandangan beliau dipersetujui panel pembincang sesi pagi – Datuk A Kadir Jasin (kadirjasin.blogspot.com), Steven Gan (Pengarang Malaysiakini), Prof Madya Zaharom Nain (Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM) dan Prof Madya Dr. Adnan Hussein (Pusat Pengajian Komunikasi USM) – yang dipengerusikan Prof Madya Dr. Faridah Ibrahim, Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM.

Seminar penulis blog yang julung kali diadakan di Malaysia itu dihadiri kira-kira 100 peserta daripada UiTM, jabatan kerajaan dan kalangan penulis blog. Antara mereka ialah Tian Chua, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat yang menyiarkan gambar palsu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Abdul Razak dan Altantuya dalam blognya baru-baru ini.

AKJ, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) menceritakan kenapa beliau menjadi penulis blog. Katanya, selepas bersara daripada NST beliau terus menulis dan menghantarnya kepada NST dan Berita Harian, tapi lama-kelamaan tidak disiarkan kerana dianggap politically incorrect (salah dari segi politik).Lalu beliau menulis dengan Utusan Malaysia, tapi akhirnya akhbar itu juga enggan menyiarkan tulisannya. Menurut AKJ lagi, walaupun tanpa bayaran, kerja menulis blog lebih seronok daripada menulis untuk akhbar kerana ada kebebasan walaupun ia memerlukan penulis selalu menghadap komputer dan mencuri waktu lapangnya. Beliau juga berpendapat, buat ketika ini penulisan blog di Malaysia tidak akan mewakili semua pihak atau bersifat orang tengah. Ertinya, blog akan memihak sama ada kepada pembangkang atau parti-parti yang memerintah.

Steven Gan pula berkata, kehadiran media baru (media siber) tidak menyajikan pilihan yang lebih baik, tetapi sekadar memberikan pilihan yang lebih banyak.Salah seorang peserta lalu bertanya, kenapa Malaysiakini tidak menjadi pilihan yang lebih baik dengan memberikan keadilan kepada semua pihak, bukan puak pembangkang sahaja.Gan menjawab, beliau pada mulanya cuba berbuat begitu tapi pihak UMNO sendiri telah melarang ahli-ahlinya daripada bercakap dengan Malaysiakini.Beliau juga mendakwa, pihak polis memberikan tekanan kepada Malaysiakini yang cuba menegakkan kebebasan bersuara.

Sesi perbincangan petang yang dipengerusikan Prof. Madya Adnan Hashim (UiTM) disertai Zaharin Yasin (blog Sang kelembai), Prof Madya Dr. Mustafa Kamal Anuar (Pusat Pengajian Komunikasi USM) dan Dr Rahmat Razali (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM).Ahirudin Attan (blog Rocky’s Bru) menurut laporan MalaysiaAktif dijadualkan menyertai sesi petang, tapi wajahnya sampai habis tidak kelihatan tanpa diketahui sebab-sebabnya.

Zaharin, bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang dipecat tidak lama dulu daripada pertubuhan politik itu berkata, penulis blog di Malaysia hanya menimbulkan ancaman politik, bukan ancaman keselamatan. Beliau turut menggariskan tiga langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penulis-penulis blog daripada menjadi ancaman kepada kerajaan. Katanya, Malaysia perlu mempunyai satu pangkalan blog untuk semua penulis blog di negara ini bagi menyekat blog yang tidak boleh dikawal kerana didaftar di luar negara. Beliau juga mencadangkan kerajaan `mengamankan’ penulis-penulis blog dengan mengadakan pertemuan dengan mereka supaya kedua-dua pihak dapat berdialog.Pada pandangan Zaharin, menekan dan menakut-nakutkan mereka tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya jika kerajaan tidak bersetuju dengan sesuatu perkara yang penulis blog bangkitkan, kerajaan hendaklah menangkis dengan memberikan penjelasan yang sebenar dan berhujah dengan betul.

Dr Rahmat pula memberikan takrif baru terhadap media siber atau media alternatif. Katanya, jika surat khabar dikategorikan sebagai fourth estate atau pihak berkuasa keempat di Amerika Syarikat, media siber adalah fifth estate.Menurutnya, kewujudan media siber memberi makna yang lebih besar kepada demokrasi kerana ia memberikan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.

(Nota: Saya rasa seminar seperti ini amat berguna untuk memberi ruang kepada blogger dan orang ramai terutama masyarakat akademik saling mengenali antara satu sama lain. Kerajaan dan rakyat negara ini perlu memahami apa yang blogger lakukan. Tak kenal maka tak cinta. Kenalilah blogger, anda akan mencintai mereka.)

2 comments:

Suara Perindu said...

Sdr Tiger,

Satu ulasan dan panduan yang menarik untuk bloggers. Saya harap bloggers yang terkenal akan menapis dulu komen2 yang diterima. caranya mudah. Pergi kat setting. Jadi kita boleh buang komen carut-marut dan yang tak sesuai. Publish hanya yang bersopan sahaja.

ibrahim yahaya said...

Sdr Nordin,

Sokong seratus peratus. Yang kritik secara membina saya siarkan termasuk tegur saya.