Monday, July 16, 2007

NOVELIS BERTEMU ANGKASAWAN


(Novelis dan Angkasawan)

Baru-baru ini, novelis Norzailina Nordin berpeluang menyampaikan naskhah novelnya yang bertajuk IMPIAN TERINDAH kepada Dr Sheikh Muszaphar (DSM), salah seorang calon Angkasawan Negara yang terbabit dalam program International Space Station (ISS).

Ini kerana ketika proses menyiapkan novel Impian Terindah, Norzailina banyak membuat rujukan terutama mengenai dunia cakerawala. Salah seorang yang menjadi tempat untuk membuat rujukan ini adalah Dr Sheikh Muzaphar. Peluang yang ada ini, Norzailina tidak sia-siakan sebelum Angkasawan Negara ini berangkat semula ke Moscow untuk menjalani sesi latihan. Begitu banyak pertanyaan dilemparkan membuatkan Norzailina begitu seronok mendalami dunia cakerawala ini.

Seperti yang diceritakan oleh Norzailina, DSM begitu terharu kerana foto beliau bersama penulis turut dimuatkan di dalam novel itu. Beliau gembira dan berharap semoga novel itu mendapat sambutan hangat di samping berupaya menyuntik semangat di kalangan remaja serta pembaca supaya lebih berminat dengan penerokaan angkasa lepas.

DSM juga menghargai jasa baik pihak Alaf 21 Sdn Bhd yang turut sama memainkan peranan dalam menerbitkan novel futuristik sains fiksyen seumpama ini. Mudah-mudahan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Dr Sheikh Muszaphar dalam misi ke angkasa lepas menanamkan jatidiri di dalam diri setiap seorang daripada kita.

Sesiapa yang berminat boleh melayari www.drsheikhfc.com untuk maklumat lanjut berkaitan program DSM ke ISS dan seumpamanya. Dr Sheikh Muszaphar berkata beliau akan menghabiskan masa membaca novel Impian Terindah di dalam kapal terbang dalam perjalanan pulang ke Moscow.

No comments: