Ketika ini, pelbagai gelaran diberikan kepada penulis blog atau bloggers. Daripada penembak curi, goblok sehinggalah kepada gelaran monyet. Sebagai penulis blog, ingin saya kongsikan bersama beberapa kategori blog yang terdapat di Malaysia terutama untuk pengetahuan mereka yang baru mahu mendekati bloggers atau tidak tahu menahu mengenai blog dan bloggers. Maklumat ini boleh digunakan oleh pengkaji blog, pembangkang, kerajaan atau golongan akademik. Mungkin juga CIA, FBI dan M16? Perrrgggh. Ia juga maklumat berguna untuk pelajar komunikasi yang ingin membuat tesis ijazah, sarjana atau doktor falsafah. Ini sekadar pandangan daripada pengamatan sejak Februari lalu.
Penulis blog ini boleh dikategorikan kepada beberapa kategori utama berdasarkan latarbelakang, isu yang diutarakan dan pendekatan penulisan mereka. Senarai penulis blog Malaysia boleh dilihat dalam SOPO Directory. Kategorinya ialah:
1. Blog ahli politik. Blog ini diusahakan pemimpin parti kerajaan dan pembangkang yang banyak mengutarakan pandangan mereka dari perspektif sebagai ahli politik. Bagi pembangkang, secara tidak langsung mereka akan mengkritik dasar atau program yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Sudah pasti kritikan itu berdasarkan kepentingan rakyat. Bagi kerajaan, blog-blog seperti ini diadakan untuk menghentam kerajaan dari semasa ke semasa. Antara penulis blog daripada pemimpin pembangkang ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Husam Musa dan Lim Kit Siang. Ada juga pemimpin UMNO yang mempunyai blog mereka sendiri seperti bekas Presiden BNBBC, Datuk Shahrir Samad. Selain itu,ada juga pemimpin kerajaan yang mengutarakan pandangan mereka dalam laman web khas mereka. Dalam laman web ini dimasukkan ucapan pemimpin kerajaan ini untuk tatapan pembaca.
2. Blog news portal. Blog ini menyiarkan berita-berita terkini sama ada yang dihasilkan oleh pasukan editorial pengendali blog atau pun surat pembaca. Antaranya ialah MalaysiaKini, MalaysiaToday, MalaysiaAktif, AgendaDaily, KMU dan KLPos. Blog Malaysiakini diusahakan oleh bekas wartawan, Steven Gan manakala MalaysiaToday oleh Raja Petra Kamaruddin(RPK) manakala MalaysiaAktif diusahakan oleh kumpulan yang ingin mengutarakan isu terkini yang turut menghentam kerajaan dan parti BN. AgendaDaily diusahakan oleh bekas wartawan Utusan Malaysia, Rosli Ismail dan dibantu oleh Datuk Badrulhisham Aziz dan Hanafiah Man. KMU diusahakan oleh kumpulan yang menyokong UMNO dan KLPos oleh Helmi Mohd. RPK juga mengambil artikel yang ditulis oleh penulis blog lain untuk disiarkan dalam MT. Begitu juga KLPos. AgendaDaily pula mempunyai senarai kolumnis seperti Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Ruhanie Ahmad.
3. Blog wartawan. Blog ini diusahakan oleh wartawan veteran seperti AKJ, Ron, Datuk Ahmad A Talib, Datuk Rejal Arbee, Ahiruddin Attan, Datuk Paduka Marina Mahathir dan Nuraina A Samad. Ada blog ini menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia seperti blog AKJ yang dikenali sebagai The Scribe. Ada juga wartawan yang masih bertugas di media arus perdana yang mengusahakan blog seperti Fauziah Ismail. Ahiruddin yang popular dengan gelaran Rocky lebih banyak menumpukan isu berkaitan media terutama NSTP selain isu semasa seperti Wilayah Pembangunan Iskandar dan bloggers tempatan.
4. Blog online diary. Penulis blog ini banyak menulis bahan-bahan yang membabitkan diri mereka yang boleh dijadikan teladan dan sempadan kepada pembaca mereka. Adakalanya blog ini ditulis secara telus terutama mereka yang menghadapi penyakit seperti kanser payu dara. Penulis blog, Dalilah Tamrin umpamanya berkongsi pengalamannya dengan pembaca mengenai penyakit kanser payu dara yang dihadapinya. Penulis blog, Pi Bani dan Daphne Ling pula menumpukan tulisan kepada usaha mereka untuk membantu golongan yang memerlukan seperti golongan yang mempunyai anak kurang upaya atau penyakit kronik. Ramai yang terbabit dalam blog online diary ini ialah golongan remaja yang menggunakan perkhidmatan percuma blogging seperti friendster dan myspace. Mereka juga menggunakan blog untuk berinteraksi antara satu sama lain untuk membincangkan pelbagai isu semasa remaja.
5. Blog penulis tempatan di luar negara. Ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara membuat blog mereka sendiri untuk mengemukakan pandangan mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Mereka memberi perspektif sendiri berdasarkan pengamalan mereka di luar negara dan membuat perbandingan mengenai dasar-dasar tertentu yang dihasilkan oleh kerajaan. Antara penulis blog yang berada di luar negara ialah M Bakri Musa, Dr Azly Rahman (yang disaman oleh UUM berikutan penulisannya), Susan Loone, Zaharah Othman menerusi blognya, Kak Teh dan bekas wartawan TV3, Tengku Elida Bustaman yang kini berada di Jakarta. Selain itu, ada juga penulis blog rakyat Malaysia di Korea, Berlin, London dan Jepun.
6. Blog pemerhati politik. Blog itu ditulis oleh kumpulan yang sama ada menganggotai parti politik tetapi memberi pelbagai komen mengenai politik yang turut membidas parti mereka sendiri. Ada juga kumpulan pemimpin NGO yang memberi pandangan mereka mengenai sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan memberi impak kepada rakyat keseluruhannya. Ada juga penulis blog ini terdiri daripada bekas golongan akademik yang pernah berkhidmat dalam kerajaan. Mereka mengemukakan pandangan mengikut pengalaman mereka dalam kerajaan atau swasta. Ada juga penulis politik yang mengusahakan blog mereka bagi memberi pandangan mengenai perkembangan terbaru pemimpin dan parti politik tempatan. Antaranya Sayuti Omar dan Datuk Kamal Amir.
7. Blog penulis yang menggunakan nama samaran. Blog ini diusahakan oleh kumpulan yang mahu merahsiakan identiti mereka bagi memudahkan mereka memberi komen yang "pedas" atau sensitif untuk tatapan pembaca. Ada juga penulis blog yang menggunakan nama samaran tetapi diketahui ramai seperti Sang Kelambai yang dikendalikan oleh Zaharin Mohd Yassin, ahli UMNO yang dipecat. Ada juga ahli UMNO yang mengendalikan blog membuat kritikan tajam kepada pemerintahan kerajaan sekarang seperti penulis blog yang dikenali sebagai Bigdog. Penulis ini banyak mengritik kepemimpinan Perdana Menteri sekarang tetapi memuji pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah beliau menulis mengenai ulangtahun dua insiden membabitkan Tun iaitu kepulangan Tun daripada luar negara dan insiden sembur pemedih mata di Kota Bahru.
8. Blog golongan popular atau artis. Antara penulis blog yang dikategorikan dalam kumpulan ini ialah seperti pengarah Yasmin Ahmad dan Patrick Teoh. Yasmin menggunakan blognya untuk memaparkan hasil karyanya sama ada yang sudah, sedang dan yang akan datang. Ini membolehkan peminatnya mengetahui apakah projek terbaru yang dilaksanakannya di samping penyertaaan Yasmin di pertandingan peringkat antarabangsa. Patrick Teoh, seorang juruhebah dan pelakon teater pula menggunakan blognya untuk menyuarakan pandangan mengenai isu-isu semasa membabitkan masyarakat keseluruhannya. Adakalanya Patrick Teoh memberi pujian terhadap agensi kerajaan yang memberikan khidmat terbaik seperti Jabatan Pendaftaran.
9. Blog kabus. Blog biskut merry atau blog hangat-hangat tahi ayam ini diwujudkan oleh golongan yang berminat untuk membuat blog tetapi malas untuk menyediakan bahan setiap hari. Tidak hairanlah kita dapati blog itu adakalanya "tersadai" sehingga berhari-hari atau berminggu-minggu malah ada juga ditinggalkan berbulan-bulan atau bertahun. Blog yang diusahakan oleh bekas editor TV3, Suhaimi Sulaiman sudah "ditinggalkan" hampir dua bulan. Mungkin kerana kesibukan tugasnya di sebuah syarikat televisyen satelit berbanding menjalankan perniagaan sebelum ini. Ramai yang merindui tulisan Suhaimi.
Tuesday, July 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment