Saturday, July 14, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (9)


(PRU12 akan mendapat liputan meluas dalam televisyen)

Tok Nujum Pas, Sheih Kickdefella meramalkan PRU12 akan diadakan pada Ogos ini, bukan Mei tahun depan. Alasan beliau yang diutarakan dalam [ blognya ] ialah BN merasakan adalah sesuai diadakan pada Ogos dengan satu perayaan besar-besaran akan diadakan untuk "menghiburkan" rakyat negara ini. Apabila terhibur maka pengundi akan memilih BN seperti yang mereka lakukan sejak merdeka lagi. Malah ketika itu, mood pengundi masih baik lagi berbanding selepas Hari Raya di mana poket dikatakan akan kosong dan kepala menjadi miong. Mungkin ramalan Sheih betul.

Salah satu faktor yang menentukan pilihanraya ialah waktu atau tarikhnya. Ia penting bagi mewujudkan "mood ceria" untuk tidak sakit hati kepada kerajaan. Apabila hati senang dan ceria mereka sudah pasti akan memilih parti kerajaan iaitu BN. Jika tersalah pilih waktu atau tarikh, akibatnya undi boleh beralih kepada pihak yang tidak menjadi sasaran iaitu pembangkang.

Sejak merdeka lagi, semua faktor yang negatif akan mendatangkan kesan kepada parti kerajaan. Waima malapetaka yang diturunkan oleh tuhan juga akan disalahkan kepada kerajaan. Ini termasuk banjir besar di Shah Alam, Selangor, Johor dan di Kuala Lumpur.

Bagi sesetengah pihak, kesalahan berlakunya malapetaka ini seperti banjir terletak di tangan kerajaan kerana merekalah yang sepatutnya memastikan banjir tidak berlaku di mana-mana saja di negara ini. Ini termasuk juga kawasan di tepi sungai atau laut. Jika kerajaan memberi alasan bahawa malapetaka itu ditentukan oleh tuhan, maka sudah tentu sesetengah pihak akan menempelak jawapan itu sebagai satu pembohongan.

Mengapa kerajaan tidak dapat membendung peristiwa banjir? Mengapa setelah dibina smart tunnel banjir terus berlaku di Kuala Lumpur? Apakah pembinaan smart tunnel satu pembaziran kerana banjir tetap berlaku?

Sehubungan itu, kerajaan harus memastikan bahawa pada Ogos, banjir atau malapetaka alam tidak muncul jika mereka mahu menang. Jika banjir berlaku pada PRU12, sudah pasti mereka sukar memperolehi undi kerana pengundi berada dalam "mood tidak ceria". Parti pembangkang sudah pasti "bermandi air" jika banjir berlaku untuk "menghentam" kerajaan kerana kelalaian mereka untuk memastikan terusan didalamkan atau membina lebih banyak "smart tunnel". Namun, jika berlaku ribut yang menerbangkan zink atau atap rumah, maka BN akan mempunyai "kelebihan" kerana bantuan segera boleh dihulurkan di setiap tempat. Ini kerana BN mempunyai sumber kewangan dan jentera pengagihan yang cukup.

Begitu juga jika keadaan ekonomi merundum, kerajaan juga dipersalahkan. Bagi masyarakat Cina yang mengalami kerugian akibat ekonomi merundum atau masalah ekonomi yang kronik, mereka akan menyalahkan kerajaan.

Perhatikan apa yang berlaku dalam PRU 1995 selepas berlakunya kemelesetan ekonomi. Begitu juga pada PRU 1999. Pada 1995, DAP menang besar iaitu mendapat 24 kerusi Parlimen kerana pengundi Cina amat marah terhadap kerajaan akibat kesan kemelesetan ekonomi yang mereka hadapi. Begitu juga 1999 yang turut ditambah dengan kemarahan orang Melayu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat dan diketepikan. DSAI memulakan reformasi yang menyaksikan banyak harta awam dimusnahkan dan dibakar oleh ahli reformasi yang mencatatkan sejarah hitam negara.

Apakah kedudukan ekonomi yang baik sekarang akan berterusan sehingga Ogos? Jika ini berlaku sudah pasti BN akan mempunyai kelebihan kerana sudah pasti pengundi Cina akan memberikan undi kepada BN. Pembangkang seperti DAP sudah pasti hilang modal untuk memainkan isu ekonomi jika kedudukan ekonomi yang baik sekarang berpanjangan.

Yang pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang bertanggungjawab untuk menentukan tarikh pilihanraya akan memastikan negara sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum. Beliau mempunyai masa sehingga awal 2009 untuk mengadakan pilihanraya umum dan boleh memilih tarikh yang sesuai untuk memastikan semua pengundi boleh mengambil bahagian. Kalah menang sudah pasti ditentukan oleh cara pengundi menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini dalam memastikan rakyat hidup dengan baik dan harmoni.

No comments: