Nampaknya Raja News Portal, Raja Petra Kamaruddin (RPK) amat marah dengan tindakan sesetengah pihak yang berusaha untuk mengacau blognya MalaysiaToday. Dalam [ artikel ] terbarunya, RPK meluahkan kemarahannya bahawa ada usaha terancang untuk "merobek" news portal dengan penghantaran komen yang antaranya berbaur lucah. Ada yang memberikan pelbagai nama kepada pemimpin UMNO dan pembangkang. Akibatnya RPK terpaksa membuangkan komen-komen berkenaan seperti juga yang dilakukan terhadap golongan yang menghentam pembangkang terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
RPK juga kini menghalang IP yang kerap menghantar mesej yang membuat pelbagai tuduhan kepadanya termasuk dakwaan "Raja Petra dibayar oleh Anwar untuk menghentam UMNO" atau "MalaysiaToday yang suka membuat bohong dan mereka-reka cerita ".
Bagi RPK, tindakan kumpulan siber ini bertitiktolak daripada arahan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mewujudkan penulis siber yang diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Norza Zakaria.
Baginya apa yang dilakukan oleh golongan ini tidak melambangkan "kematangan" penulis itu. Malah beliau melabelkan mereka sebagai "jaguh kampung" yang tidak memahami dunia siber dengan melakukan perbuatan yang kekampungan iaitu menghantar komen yang mengarut dan memalukan. Ada yang menghantar komen yang sama sebanyak 500 kali. Perrrghhh. RPK mencabar kumpulan penulis siber ini melawan tulisannya dengan fact and figure bagi menyakinkan kepada pembaca bahawa beliau salah dan hanya membuat fitnah.
Sebenarnya itulah cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh UMNO atau penulis siber yang dibayar gaji. Bukan menghantar komen mencarut dan mengarut.
Mereka perlu berani untuk menjawab segala dakwaan dan tuduhan yang dikemukakan. Ibarat orang menuduh kita yang bukan-bukan, maka menjadi tugas kita untuk memperbetulkannya. Hantarlah pada bila-bila masa saja dan bukannya menunggu selepas jam 11 malam seperti dakwaan RPK. Sudah pasti ia satu tugas besar dan mencabar kerana RPK mempunyai bukti-bukti termasuk surat akuan berkanun oleh mereka yang memberikan maklumat seperti dalam apa yang disebutnya sebagai pembongkaran wujudnya kumpulan kongsigelap Cina menguasai PDRM.
Dalam hal ini, menjadi tugas penulis siber UMNO yang disebut oleh RPK dibayar lebih RM2,000 membuat penyelidikan dan kajian terhadap apa yang dipaparkan oleh MalaysiaToday dan menjawabnya secara berhemah. Dalam ertikata lain menjawab seperti anak jantan. Fakta dibalas dengan fakta. Angka dibalas dengan angka.
Lupakan saja tulisan yang berbaur fitnah dan tuduhan melulu tetapi tumpukan kepada tulisan yang mengemukakan bukti termasuk akuan berkanun. Jika ini dilakukan maka usaha untuk memaparkan apa yang didakwa oleh MalaysiaToday, MalaysiaKini, KlPos atau blog-blog lain terhadap kerajaan boleh diperbetulkan. Janganlah terus membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah seperti menghantar komen yang mengarut bagi memaparkan apa yang ditulis oleh RPK itu karut dan merupakan satu pembohongan.
Yang lebih memalukan ialah dalam zaman moden ini, RPK sudah tentu mengetahui IP-IP yang digunakan untuk menghentamnya kerana beliau sudah bergiat dalam dunia siber ini sejak 1990an lagi termasuk mengendalikan blog membebaskan DSAI, yang dikatakan dianiayai oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Peranglah sebagai anak jantan.
Sunday, July 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment