Thursday, July 26, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (28)

Hujan lebat di Bukit Putra. Diikuti ribut kencang. Seolah-olah alam menangis dengan penangkapan Radja. Alam juga marah dengan tindakan ganas manusia. Masyarakat beruk kini meratapi dengan kehilangan Radja. Mereka kehilangan raja beruk. Mengapa manusia menangkap Radja? Mengapa perlu mereka membawa Radja ke tempat lain? Adakah Radja boleh hidup tanpa rakan-rakan dan alam sekeliling semulajadi?

Biola sejak semalam menangis. Apatah lagi memandang gambar Radja di dada akhbar. Hari ini, Biola datang lagi dan bertanya khabar mengenai Radja kepadaku. Aku minta dia bersabar dan cuba lupakan Radja. Biola tidak berdaya melupakan Radja. Baginya, Radja ialah seorang raja beruk yang baik. Tiada apa yang dilakukan menyebabkan manusia perlu menangkapnya. "Mengapa manusia perlu membuat kajian?" tanya Biola kepadaku. Aku terdiam. Tidak tahu untuk menjawab. "Yelah seperti Sirimau bagitahu semalam. Radja begitu istimewa. Satu dalam seribu. Tentu manusia ingin mengkajinya." kataku apabila Biola terus mendesak. Dia terdiam dan berlalu pergi.

Aku setuju dengan Biola. Radja adalah seekor beruk yang baik. Dia suka memberi nasihat dan memberi teguran. Banyak teguran yang telah membantu menyedarkan masyarakat beruk di Bukit Putra. Tidak hairanlah ramai beruk yang menangis apabila mendengar penangkapan Radja. Radja juga tidak gelojoh seperti beruk lain. Ketika bapa menyerahkan anak dara mereka untuk dijadikan teman, Radja hanya memilih beruk betina yang suka kepadanya saja. Yang tidak suka kepadanya diserahkan kembali kepada ibu bapa mereka. Apa gunanya tidur bersama dalam paksaan. Tindakan itu ibarat seperti merogol beruk betina. Ramai beruk yang menghormati pendirian Radja itu.

Radja dihormati dan disanjungi apabila dia sudah besar. Ketika dia masih bayi, bapanya membuang ke dalam gua di atas bukit. Radja yang putih amat berlainan dengan beruk lain. Ibunya menangis-nangis meminta agar Radja tidak dibuang. Tetapi bapanya tetap berkeras untuk menghantarnya ke dalam gua.

Bagi bapa Radja, kehadiran anak beruk putih itu satu petanda sial kepada keluarga mereka. Kerana berlainan, Radja dianggap pembawa sial. Boleh mendatangkan malapetaka. Pendekatan bapanya seperti sikap manusia lama yang membunuh anak perempuan dengan menanamnya hidup-hidup. Kerana putih, Radja perlu dibuang jauh-jauh. Radja bernasib baik tidak dibunuh bapanya.

Nyawa Radja panjang. Dia diselamatkan oleh seekor beruk tua yang membelanya sehingga besar. Beruk tua itu mati beberapa bulan lalu. Radja amat menyayangi beruk tua itu. Kasihnya kepada beruk tua itu melebihi ibu bapa yang membuangnya.

Radja mengasingkan diri selama dua minggu selepas kematian beruk tua itu. Beruk tua itu mati kerana masalah jantung tidak berfungsi. Puas diubat oleh Tok Dukun Pandei tetapi alam lebih menyayanginya. Beruk tua itu mati pada hari Jumaat. Bagi manusia,hari itu raja kepada segala hari. Mungkin beruk tua itu mendapat berkat dari alam.

No comments: