Tuesday, July 31, 2007

TIADA DUIT, ELOK DUDUK KAMPUNG (6)

.....sambung semalam. Saya amat mengkagumi individu yang umurnya mencecah 80 tahun. Bagi saya umur sebegini adalah x-gratia (mengambil kata-kata SN Datuk A Samad Said) kerana ada beberapa rakan wartawan yang meninggal sebelum mencecah 50 tahun. Saya juga amat mengkagumi individu berusia 80 tahun yang segak berjalan tanpa memerlukan tongkat. Mereka boleh sembahyang seperti individu berumur 40 tahun. Tidak perlu duduk di kerusi seperti mereka yang pernah melakukan pembedahan atau menghadapi masalah berdiri lama. Pemergian awal ini ada kaitan dengan "stress" atau tekanan hidup.

8. Stress atau tekanan. Di kampung, saya yakin kurangnya tekanan atau stress. Ini menyebabkan penduduk kampung boleh hidup lama. Ada yang melebihi 100 tahun seperti di Kedah dan Terengganu. Ini kerana mereka hidup dalam suasana yang aman sentosa. Mereka menghirup udara nyaman dan minum air bersih. Di bandar, walaupun dapat air menerusi paip, ia belum tentu bersih. Tidak percaya, cuba tadah menggunakan gelas. Anda akan menyaksikan air paip itu berwarna kuning atau cokelat. Tidak hairan penjual alat penapis air kini meraih untung besar berikutan masalah air paip kotor. Malah ada alat penapis seperti Diamond yang menjual separuh harga untuk menarik lebih ramai pembeli. Bagi mereka, untung sikit tetapi ramai pembeli adalah strategi yang baik mendapat keuntungan. Tidak hairanlah di taman-taman perumahan kini kelihatan alat penapis yang dipasang di hadapan rumah. Kalau tiada alat penapis, maka penghuninya tidak ada wang atau tidak menghiraukan air paip kotor. Mungkin juga minum air mineral yang dibotolkan. Air zamzam? Di bandar, penduduknya sudah pasti menghadapi tekanan di tempat kerja malah di rumah. Apakan tidaknya pelbagai persaingan di pejabat selain masalah kesesakan menuju ke pejabat dan rumah. Ini akan membebankan otak pemandu. Bayangkan, perjalanan membabitkan 500 kilometer di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur kadangkala memakan masa hingga setengah jam. Di kampung, dari Masjid Tanah ke bandar Melaka, yang jauhnya kira-kira 20 kilometer boleh sampai hanya dalam tempoh 20 minit. Harga barang yang meningkat juga menyebabkan penduduk bandar boleh mengalami tekanan kerana terpaksa mengeluarkan belanja lebih. Gaji naik, tetapi nilainya sama seperti dulu kerana harga barang naik. Di kampung, tidak perlu bimbang kerana ada barangan yang tidak perlu dibeli. Antaranya sayur-sayuran, cili, tebu, pisang, rambutan atau manggis yang ditanam di sekeliling rumah. Di bandar, hendak pakai daun pisang pun terpaksa beli di pasar. Sara hidup yang tinggi di bandar juga menyebabkan penghuninya sentiasa tertekan kerana kekurangan wang. Apatah lagi golongan yang suka berjudi dan main nombor ekor. Saya ada kawan yang duit tidak pernah cukup kerana suka main nombor ekor. Setiap hari, beliau belanja RM5 beli nombor kerana berangan nak menjadi jutawan. Beliau terpengaruh dengan berita mengenai kemunculan ramai jutawan baru. Tak payahlah berjudi kerana ini dilarang oleh agama. Simpanlah RM5 itu kerana sebulan jadi RM150. Tak payah buang duit.

....akan merapu lagi....

No comments: