Wednesday, July 11, 2007

PRU12: RAMALAN TOK NUJUM (8)

Apakah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) akan menjadi isu pada PRU12? Soalan ini dikemukakan kepada teman saya dari Johor, Dr Gunawan dan beliau menjawab "tidak sama sekali". Bagi Dr Gunawan, seorang pengkaji sastera dan politik di negara ini, isu itu terpencil dan mungkin hanya dimainkan di Gelang Patah saja. Itupun jika isu itu belum reda dan difahami rakyat.

Ini menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana WPI dimainkan secara meluas dalam media baru sehingga kini termasuk dalam blog wartawan veteran, AKJ dan Rocky, sekadar menyebut beberapa nama.

Malah isu ini menjadi bahan yang menarik untuk melepaskan geram dan melontarkan peluru besi kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang. Dakwaan demi dakwaan yang acapkali diutarakan dalam media baru ini ialah WPI tidak akan menguntungkan Malaysia terutama bangsa Melayu. Benarkah begitu? Jika betul, ia satu malapetaka kepada negara ini.

Apabila ditanya mengapa WPI bukan satu isu sedangkan ia dimainkan secara meluas oleh media baru, Dr Gunawan seterusnya mengatakan bahawa WPI mungkin satu isu ketika diumumkan dulu tetapi sekarang ia sudah reda berikutan pelbagai gerakan untuk memberi penerangan termasuk kepada pemimpin BN dan rakyat jelata khasnya penduduk Johor. Hasil daripada penjelasan yang bertubi-tubi itu, rakyat kini faham dan mula menyakini WPI adalah projek yang bertujuan membawa pembangunan kepada Johor khasnya dan negara, amnya.

Saya terus mengasak Dr Gunawan dengan soalan mengapakah pada peringkat awal seolah-olah digambarkan ada penentangan terhadap WPI terutama rakyat Johor. Malah, sebuah cawangan UMNO di Kulai turut menjemput mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi ceramah yang turut menyentuh WPI. Apakah ada "kekurangan" dalam usaha memberi penjelasan sehinggakan WPI digambarkan ada penentangan oleh "orang Johor"?

Dr Gunawan tidak boleh menjawab soalan mengenai kekurangan penerangan atau publisiti itu kerana menurutnya, diluar bidang pengetahuannya tetapi bersetuju bahawa "manusia akan menentang sesuatu yang digambarkan seolah-olah mengancam mereka". Tetapi apabila ia diterangkan dengan jelas, maka manusia akan mula memahaminya dan memberi sokongan padu kepada usaha yang dilakukan oleh kerajaan. Apakah kenyataan beliau tepat dan boleh diterimapakai?

Baru-baru ini, Rocky dalam blognya menyatakan bahawa sebuah lagi projek seperti WPI akan dilancarkan di bahagian utara. Apakah ini yang dikatakan Projek Pembangunan Wilayah yang disebutkan oleh Paklah dalam pembentangan RMK9 yang lalu?

Mungkin syarikat perhubungan awam yang ditugaskan boleh mula menggerakkan kakitangan mereka untuk memberitahu mengenai objektif penubuhan projek seumpama itu di utara iaitu di Pulau Pinang agar rakyat memahaminya. Seperti kata Dr Gunawan, jika rakyat tidak memahami matlamat projek itu diadakan, sudah pasti mereka akan menentang dan terus menentang, apatah lagi ia mengancam hak mereka.

No comments: