Saturday, July 14, 2007

MEMASTIKAN BERSIH ADALAH IBADAH

Sejak awal pagi semalam, badan saya lemah. Ini kerana mengalami cirit birit dan rasa tidak sihat badan. Tiada muntah tetapi hanya kepala pening. Mata pun terasa panas. Cirit birit kerana menikmati makanan tidak bersih di kantin. Tidak perlu sebut nama kantin. Tidak payahlah makan lagi di situ. Sudah berjumpa doktor dan memberi pelbagai jenis ubat. Baru sekarang mampu untuk menulis. Ada juga hikmah bagi memahami masalah keracunan makanan yang kerap berlaku sekarang. Betapa siksa dan menderitanya dengan perut memulas-mulas dan kepala pening.

Terbaru membabitkan 30 pelajar di SRK Tanah Liat dan 19 penghuni asrama Sekolah Menengah Pokok Sena, Alor Star yang mengadu cirit birit dan muntah. Sembilan belas penghuni asrama menghadapi keracunan makanan selepas menikmati makan malam di asrama, malam sebelumnya. Apakah masalah keracunan makanan ini akan terus berlaku? Apakah tiada pemantauan oleh pihak berkuasa yang boleh menghalang berlakunya masalah ini saban bulan atau saban minggu? Kesihan kepada pelajar yang menjadi mangsa.

Dalam bahasa mudah, keracunan makanan ini disebabkan kuman atau bakteria.

Oleh itu, penyedia makanan di kantin atau asrama perlu mememberi keutamaan kepada kebersihan diri dan kakitangannya. Mereka perlu bersih dan bukannya kelihatan bersih. Pakaian yang digunakan mesti bersih dan bukannya pakaian semalam yang penuh dengan kekotoran. Pengusaha kantin atau penyedia makanan di asrama perlu memastikan kakitangan mereka bersih dan mengamalkan tahap kebersihan yang terbaik.

Kedua ialah memberi tumpuan kepada "kebersihan" dalam penyediaan makanan. Ia seharusnya bermula daripada bahan mentah seperti ikan, sayur-sayuran atau daging yang akan digunakan. Bahan mentah itu perlu yang terbaik dan bukanlah yang murah dan tidak bermutu. Jangan hanya memikirkan keuntungan sehingga melupakan mutu makanan yang disediakan. Mereka perlu ingat bahawa mereka hendak memberi makan kepada orang lain. Jika makanan itu tidak baik, ia boleh mendatangkan mudarat dan penyakit.

Ketiga ialah memastikan peralatan yang digunakan benar-benar bersih dan suci. Mereka harus memastikan ia bersih dan jangan mengambil sikap sambil lewa kerana "orang lain" tidak mengetahuinya. Akibatnya, apabila berlaku keracunan makanan, sudah terlambat untuk menyesal kerana kejadian telah berlaku. Penyedia makanan perlu memastikan kuali, periuk dan semua peralatan itu bersih dan suci. Ini adalah sebahagian daripada tugas mereka dan bukannya hanya seronok untuk meraih keuntungan semata-mata.

Seterusnya, mereka perlu memastikan dewan makan itu sentiasa bersih dan bukannya tempat bersukaria sang lipas dan tikus. Ini penting bagi memastikan tempat makan itu tidak dipenuhi dengan pelbagai jenis kuman daripada tikus dan lipas. Tugasan membersihkan dewan makan setiap kali selesai makan pagi, tengahari atau malam perlu dititikberatkan kerana jika ada bahan makanan yang tertinggal, ia sudah pasti menarik perhatian lipas dan tikus.

Memastikan kebersihan adalah ibadah. Laksanakanlah. Bagi pihak berkuasa, selalulah turun padang untuk memastikan kantin dan dewan makan asrama bersih dan penyedia makanan menjaga kebersihan sepanjang masa.

Ikutilah laporan Bernama mengenai [ keracunan makanan ] di negara ini.

No comments: