Tuesday, December 4, 2007

BERSATU MEMPERTAHANKAN KEBENARAN

Akhirnya, PAS pun menyatakan pendiriannya terhadap Hindraf. Saya yakin kenyataan itu setelah mengambilkira "untung rugi" parti berkenaan terutama dalam mendapatkan sokongan rakyat. Sepatutnya, PAS menyatakan lebih awal lagi kerana ia membabitkan soal fitnah yang parti itu tahu bahawa ia satu dosa besar. Tetapi kumpulan sewel mana tahu dosa besar atau dosa kecil.

PAS juga perlu tahu bahawa memainkan sentimen perkauman amat berbahaya dan boleh mencetuskan kejadian tidak diingini. Percaya dan yakinlah. Itupun PAS tahu. Tetapi mengapa lambat sangat. Sepatutnya kenyataan ini dikeluarkan lebih awal lagi. Barulah rakyat akan menghormati PAS dan tidak prasangka berhubung kenyataan yang dibuat.

Sebagai parti politik Melayu, PAS perlu mengambil pendirian memperjuangkan kepentingan Melayu seperti yang dibuat oleh UMNO. Memperjuangkan Islam telah dilaksanakan oleh UMNO dan PAS hanya perlu menyuarakan apa yang boleh dilakukan lagi. Tetapi apabila orang lain menghina Melayu dan Islam, janganlah pula mengambil masa lama untuk membuat pendirian. Saya tahu PAS memang baik dengan pemimpin UMNO dan perlu sokong apa yang parti itu lakukan. Saya melihat sendiri pemimpin PAS dan UMNO bersalam, bersembang dan berjalan bersama ketika melihat mereka di dalam kapalterbang ke Alor Star Khamis lalu. Inilah menunjukkan Melayu dengan Melayu boleh bersatu untuk memperjuangkan kepentingan bangsa. Janganlah sebab lain, maruah Melayu sanggup dibiarkan dihina dan dicerca oleh orang lain. Jangan biarkan pemimpin UMNO berseorangan mempertahankan apa yang baik sudah dilakukan terhadap semua rakyat ini.

Memanglah kita tidak boleh mengharapkan orang Melayu lain, yang berkobar-kobar ketika berada di luar negara mengatakan orang luar boleh campur tangan dalam negara ini. Apa ni? Sudah hilang akal ke? Tengoklah pula apa dia kata jika dapat memerintah. Itupun kalau dapat. Mungkin tidak kot.
.

Dalam laporan Malaysiakini, PAS menganggap sebahagian tuntutan dan tuduhan Hindraf adalah melampau dan mengelirukan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menuntut agar kerajaan segera menubuhkan badan bebas untuk menyiasatnya. Beliau merujuk kepada dakwaan Hindraf dalam memorandumnya yang menuduh berlakunya "penghapusan kaum" serta dakwaan berhubung perobohan kuil Hindu di negara ini.

Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan rakyat di ibunegara untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Ia bagi menyokong saman yang difailkan oleh Hindraf terhadap kerajaan British yang menuntut gantirugi AS4 trilion kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh pada 1980-an dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata serta pancutan air kimia untuk meleraikan perhimpunan tersebut dan menghalang mereka daripada menghampiri bangunan suruhanjaya tersebut.

PAS tetap berpendirian bahawa semua pihak seharusnya diberikan hak dan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara sebagaimana yang dijamin dan diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Sesungguhnya kejadian diskriminasi kaum bukan hanya berlaku terhadap masyarakat India, malah turut berlaku di kalangan masyarakat Cina dan Melayu, khasnya yang menyokong parti-parti pembangkang," katanya dalam satu kenyataan..

"Malahan terbukti pimpinan dan ahli-ahli MIC tertentu memperolehi habuan yang lebih baik dari bangsa Melayu sendiri yang menyokong parti-parti pembangkang," katanya.
Di samping itu, katanya, PAS mempertahankan perlunya perpaduan kaum terus dikekalkan dalam negara ini.

"Sebarang isu yang dicetuskan untuk menghasut sentimen mana-mana kaum sama ada India, Melayu ataupun Cina hendaklah ditolak," katanya. Hadi juga menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan mainan pihak media yang didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, tujuan mereka adalah cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum bagi tujuan meraih undi rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang.
"Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pimpinan parti-parti pembangkang sebagaimana semasa "Operasi Lalang" tahun 1987 dahulu," katanya.

No comments: