Thursday, December 27, 2007

BUKTIKAN SEGALA TUDUHAN

Semalam saya menulis mengenai "orang Gerakan" yang membelasah UMNO dan senada dengan kumpulan yang membuat pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu.

Apabila ingin ditemuramah oleh Malaysiakini baru-baru ini selepas menerima pelbagai kritikan terhadapnya, "orang Gerakan" tidak mahu bersuara kerana sudah ditegur oleh Presiden Partinya. Bagi bekas Ahli Parlimen, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz, beliau mahu orang gerakan itu membuktikan dakwaannya itu. Ikuti tulisan beliau.


Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy kini berhadapan dengan tindakan disiplin parti itu kerana mengkritik kerajaan dan UMNO secara keterlaluan dan membangkitkan dan membesarkan isu yang dianggap telah selesai.

Memang itulah yang sewajarnya diambil terhadap pemimpin dalaman Barisan Nasional (BN) yang bertindak ibarat ‘meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri”.

Persoalannya sekarang ialah S. Paranjothy tidak lagi membawa suara Gerakan atau BN, sebaliknya seirama dengan suara Hindraf yang mendakwa kaum India di negara ini telah disisihkan dan UMNO adalah musuh utama mereka.

Oleh kerana Paranjothy yakin dan percaya, malah mempertahankan kenyataannya itu dan dengan bangganya memberitahu beliau tidak merasa kesal terhadap sebarang tindakan yang dikenakan terhadapnya, eloklah beliau diberi kesempatan untuk membuktikan dakwaan-dakwaannya itu.

Pada ketika tidak ada orang rasional yang mahu mempercayai dakwaan Hindraf dan Paranjothy, beliau masih bertegas dengan pendiriannya itu.

Gerakan atau BN hendaklah membawa kes Paranjothy ini ke meja perundingan dan pengadilan dengan memberi kesempatan seluas-luasnya kepada beliau untuk menegakkan benang basahnya.

Di situ nanti, tentulah banyak perkara yang akan terurai. Jika benar, ada masyarakat India yang tersisih, kita boleh bertanya kepada Paranjothy sendiri, apakah yang beliau lakukan melalui Gerakan selama ini?

Sebagai parti pelbagai bangsa, tidakkah Gerakan juga terasa dan terpanggil untuk membela nasib masyarakat India di negara ini? Jika Paranjothy mengatakan masyarakatnya dipinggirkan, minta beliau beritahu di negeri mana, Selangor, Wilayah Persekutuan atau Pulau Pinang?

Apakah yang dimaksudkan sebagai dipinggirkan, adakah Hindraf dan Paranjothy mahukan semua masyarakat India di negara ini setaraf dengan Tan Sri Ananda Krishnan atau Datuk L. Krishnan sekurang-kurangnya?

Tidak ada sesiapa, hatta UMNO sendiri yang akan melarang mereka menjadi sekaya Ananda, tetapi hendaklah berusaha keras seperti beliau juga. Nak menjadi kaya seperti siapapun boleh.
Nak berkuasa macam Datuk Seri, S. Samy Vellu pun boleh. Cuma ada saluran yang perlu diikuti.

Jika masyarakat India di negara ini dirasakan tercicir atau terpinggir, kenapa UMNO yang menjadi sasaran. UMNO berjuang untuk keturunannya iaitu orang Melayu. Malah, perjuangannya juga belum mencapai ke tahap yang maksimum. Masih banyak orang Melayu yang merintih di tanahairnya sendiri.

Masih banyak orang Melayu yang tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri. Ada lagi anak-anak Melayu yang tidak tidak dapat melanjutkan pelajaran, bukan sahaja ke menara gading, tetapi juga ada yang terkandas di peringkat sekolah menengah.

Walaupun demikian, UMNO tidak menyalahkan parti lain sebagai penghalang kepada kelemahan dan kekurangan itu. MIC berjaya mengubah nasib masyarakat India yang dahulunya memenuhi ladang-ladang getah dan kelapa sawit tetapi kini memenuhi ruang mahkamah sebagai peguam dan pengamal undang-undang lain.

Tidak banyak Melayu di situ, tetapi UMNO tidak boleh mempersalahkan MIC ataupun Gerakan di atas kejayaan parti-parti itu memajukan masyarakat yang diwakilinya. Begitu jugahal di sebaliknya, Paranjothy atau Hindraf tidak boleh melabelkan UMNO sebagai musuh utama mereka.

Cuma, kadang-kadang kita terfikir juga, adakah pendirian Hindraf itu adalah pendirian sejati pertubuhan tidak berdaftar itu?

Melihat kepada ‘modus operandi’nya yang gemar berdemonstrasi dan disokong pula oleh pakar-pakar demonstrasi jalanan, kita yakin Hindraf hanyalah alat oleh pihak-pihak tertentu yang tidak mendapat tempat di hati rakyat melalui saluran yang diizinkan.

Golongan ini sengaja mencari jalan untuk memburuk-burukkan UMNO kerana merekalah yang menjadi musuh UMNO sebenarnya. Hindaraf dan Paranjothy, hanyalah alat .

Oleh itu, Paranjothy harus diadili dengan memberi peluang seluasnya untuk membuktikan dakwaannya itu. Kita yakin, beliau tidak mungkin dapat membuktikan apa-apa. Apabila beliau gagal membuktikannya, ketika itulah beliau sewajarnya diberikan pengajaran yang sekeras-kerasnya.

Malah, pengajaran itu kelak bukan sahaja bagi mendidik Paranjothy, tetapi juga sesiapa yang lain yang sealiran dengan penganjur demonstrasi jalanan yang kita benci kerana perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan kegiatan ekonomi, tetapi juga perpaduan dan keharmoian serta keselesaan umum.- AGENDA DAILY / 20/12/2007

No comments: