Tuesday, December 11, 2007

DMDI DI BUMI LANCANG KUNING (1)

SEMINAR DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM DI RIAU, INDONESIA (9-11 DISEMBER 2007)

Seminar DMDi diadakan setiap tahun sejak 2000 untuk mengumpulkan pemimpin dan masyarakat dari dunia etnik Melayu dan dunia Islam untuk membicarakan mengenai pelbagai aspek kepentingan bersama terutama sosial budaya dan ekonomi di samping mewujudkan jaringan atau networking di antara pemimpin masyarakat etnik Melayu dan dunia Islam.

Masyarakat Melayu bukanlah masyarakat yang ada di Semenanjung Malaysia yang dinamakan Tanah Melayu tetapi semua kumpulan etnik sama yang terdapat di Asia Tenggara, Pasifik dan juga Lautan Hindia hingga ke Madagaskar.

Selama 450 tahun etnik Melayu di Asia Tenggara dijajah secara langsung. Tidak ada perlawanan secara terancang oleh etnik Melayu untuk membebaskan wilayah dan bangsa mereka sehinggalah bangsa Barat diusir oleh Jepun dalam Perang Pasifik.

Setelah selesai Perang Pasifik dengan Jepun dikalahkan maka barulah ada usaha oleh etnik Melayu untuk membebaskan wilayah mereka, namun keadaannya bangsa Melayu telah terpisah antara satu sama lain sehingga memerlukan kekuatan untuk kembali maju bersama walaupun dalam negara berlainan.

Oleh itu, usaha menghimpunkan pemimpin dan masyarakat Melayu Islam seluruh dunia seperti yang dilakukan oleh DMDI diharapkan dapat menghasilkan rumusan yang boleh dijadikan panduan berguna oleh semua warga bangsa Melayu dan Islam seluruh dunia untuk membawa perubahan yang lebih baik di negara masing-masing.

Dalam rangka membina dan mempereratkan lagi hubungan secara terus menerus di antara bangsa Melayu di dunia, telah diadakan pelbagai kegiatan secara bergilir di beberapa tempat di dunia ini. Untuk kali ini, ia diadakan di Riau, Indonesia yang sekaligus berlangsungnya usaha mengukuhkan pengurusan Sektretariat DMDI Provinsi Riau.


(Ketibaan Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam disambut oleh Gabenur Riau, Datuk Setia Amanah H Muhammad Rusli Zainal yang juga Naib Presiden DMDI)


(DS Ali dan DSA Rusli mendengar penerangan daripada Datuk Dr A Latiff Bakar, Pengerusi Biro Budaya DMDI)



(Kedua-dua pemimpin bersalam dengan peserta DMDI)

No comments: