Monday, December 24, 2007

SELAMAT MENYAMBUT KRISMAS

KEPENTINGAN NEGARA MESTI DIUTAMAKAN UNTUK TERUS MAJU

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Rakyat mesti mengutamakan kepentingan negara agar Malaysia terus makmur menerusi keamanan dan kestabilan pada tahun-tahun mendatang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

"Dalam kita mara ke depan, kita semua harus yakin bahawa Malaysia sebenarnya lebih hebat dari gabungan bahagian-bahagiannya.

"Oleh itu, kita mesti terlebih dulu meletakkan kepentingan negara dari mana-mana tuntutan sempit yang lain," kata Perdana Menteri dalam perutusan Krismasnya kepada semua rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh pejabatnya di sini.

Beliau berkata keamanan yang telah wujud di negara pada kebanyakan tempoh 50 tahun kemerdekaan adalah hasil kerja keras dan rasa tanggungjawab yang kental rakyat Malaysia.

"Dalam beberapa bulan lepas, pandangan sempit dan perasaan tidak toleran yang ditonjolkan oleh sekumpulan kecil telah menguji keyakinan kita terhadap satu sama lain.

"Oleh itu, ketika merayakan Krismas hari ini, saya gembira mendapati rakyat Malaysia dari pelbagai anutan agama meneruskan tradisi perkongsian dan keprihatinan -- tradisi yang telah kita amalkan beberapa tahun ini".

"Sekalipun wujud pelbagai retorik, agama-agama besar dunia, yang diamalkan di Malaysia, sama-sama berkongsi kepercayaan sejagat. Tidak ada yang lebih ketara dari kekuatan kasih sayang dan timbang rasa.

"Sesungguhnya, kita telah melihat dalam beberapa tahun ini bagaimana kasih sayang dan timbang rasa membantu kita menghapuskan hambatan perkauman dan memahami kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik dan terpinggir," kata beliau.

Beliau menggesa rakyat membantu mereka yang terpaksa menyambut musim perayaan ketika menghadapi kesulitan besar, seperti mangsa banjir.

"Akhirnya, saya mengambil peluang ini mengucapkan kepada rakan-rakan Malaysia saya penganut Kristian, Selamat Menyambut Krismas," katanya.

No comments: