SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI
BERCAKAP BOHONG LAMA-LAMA MAKAN DIRI
Ketika menyampaikan ceramah Media dan Pilihanraya di Universiti Malaya, Selasa lalu, saya mengingatkan wartawan dan mahasiswa kewartawanan yang menjadi peserta agar bersikap profesional ketika menjalankan tugas. Untuk menjadi wartawan yang baik mereka perlu memegang dua prinsip ulung iaitu CEPAT dan BETUL. Ini perkara asas untuk menjadi wartawan cemerlang.
Walaupun mereka bertugas dalam akhbar kerajaan atau pembangkang, mereka perlu memegang dua prinsip ulung ini.
Cepat bermaksud memastikan bahan yang disediakan sentiasa terbaru dan tidak "basi". Ini penting sekali kepada wartawan media elektronik, radio dan news portal seperti Agenda Daily dan Malaysiakini yang perlu menyediakan bahan bermutu dan terbaru. Tidak boleh juga menciplak bahan orang tetapi boleh dibuat rujukan.
Betul pula bermakna laporan itu tepat dan benar. Tiada pembohongan. Tiada putar memutar seperti yang mungkin dilakukan oleh doktor putar atau spin doctor. Dalam zaman serba moden ini, berhentikanlah kegiatan "putar-memutar" ini kerana pembaca mempunyai medium lain untuk mencari fakta sebenarnya. Umpamanya, jika mereka membaca media perdana, mereka juga boleh membaca news portal. Begitu jugalah sebaliknya. Kini ditambah lagi dengan blog persendirian yang antaranya ditulis oleh wartawan veteran dan tersohor yang sentiasa memastikan kredibiliti atau nama baik mereka terpelihara. Kalau mereka menipu, ia akan memakan diri.
Oleh itu, saya amat terkejut dengan berita dalam Malaysiakini yang memetik sumber bahawa pekerja radio Minnal FM dibuang kerana perhimpunan haram. Bagi saya, terbabit dalam perhimpunan haram adalah sama seperti melanggar peraturan polis dan pihak majikan boleh memberi surat tunjuk sebab dan membuang pekerja itu apatah lagi pekerja sementara. Namun, apa yang ingin saya ingin utarakan ialah kebenaran laporan yang disiarkan itu. Ini yang membuat saya terkejut kerana daripada laporan rasmi pekerja itu ditamatkan kontraknya terlebih dahulu sebelum terbabit dalam perhimpunan haram. Mereka ditamatkan kontrak bukan dibuang kerana perhimpunan haram. Janganlah mengambil kesempatan daripada keadaan semasa. Ini yang saya sering katakan "menangguk di air keroh" atau orang yang mengambil kesempatan. Sedap, memang sedap ditulis dan dibaca tetapi fikirkan juga bahana yang boleh menimpa.
Saya sedih laporan seperti ini seolah-olah mengambarkan ada wartawan di negara ini mengambil sikap sambil lewa daripada prinsip betul dan tepat. Mungkin mereka tidak mendapat latihan yang mencukupi atau tidak diajar mengenai etika kewartawanan. Oleh itu, majikan perlu memastikan wartawan membuat laporan yang betul dan tepat. Apatah lagi ia membabitkan soal agama dan kaum. Dalam kes ini, apa yang ingin ditunjukkan oleh wartawan itu ialah tindakan RTM membuang dua pekerja itu seolah-olah ada kaitan dengan perhimpunan haram. Janganlah buat begitu. Tidak baik.
Kita janganlah berbohong kerana satu hari ia akan memakan diri.
Saya akan menyiarkan laporan yang betul setelah mendapatnya.
Thursday, December 6, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment