Thursday, December 6, 2007

SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI (2)

Dua berita mengenai "deejay" Minnal FM yang mendapat liputan media.

Satu daripada Bernama hari ini yang memetik kenyataan Menteri Penerangan dan satu lagi yang disiarkan di news portal, Malaysiakini, pada Selasa lalu yang memetik laporan sumber. Semoga ia menjelaskan kepada kita punca pekerja-pekerja itu diberhentikan. Sekadar untuk memperbetulkan dakwaan dan meredakan keadaan.

Untuk pengetahuan pembaca budiman, pekerja yang dikategorikan di bawah "artis berjadual" ialah pekerja yang diambil bekerja secara kontrak yang ditetapkan seperti setahun atau dua tahun. Saya juga pekerja kontrak dengan Kementerian Penerangan sebagai Perunding Media selama dua tahun bermula 2005. Selepas kontrak tamat pada Disember 2006, maka "pandai-pandailah" saya cari haluan sendiri.

Terpulanglah kepada kita sama ada hendak berehat di rumah, berniaga, bekerja dengan kerajaan atau swasta di tempat lain, membuat blog, memerhati orang lalu lalang di Restoran Mahbub, berpeleseran di KLCC, bertugas sebagai pengawal keselamatan, jual surat khabar, peneroka tanah haram, broker tanah, ejen insurans, ejen amanah saham, penjual nasi lemak, nelayan atau penoreh getah.

Malaysia ada menyediakan semua peluang itu. Tepuk dada, tanyalah selera.


*************************************************************************************

Kontrak Deejay Minnal FM Tidak Disambung Kerana Faktor Disiplin

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Keputusan tidak melanjutkan kontrak dua "deejay" radio bahasa Tamil, Minnal FM, disebabkan faktor disiplin serta prestasi kerja tidak memuaskan dan bukan kerana terlibat dengan perhimpunan Hindraf, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata pengurusan tertinggi RTM menerima laporan bahawa prestasi kerja kedua-dua petugas yang tergolong sebagai "artis berjadual" itu kurang memuaskan, selain ingkar perintah dan melanggar peraturan dan garis panduan kerja yang ditetapkan.

Zainuddin menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang semasa persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa tujuh "disc jockey" (DJ) stesen radio Minnal FM, termasuk dua anggota kontrak ditamatkan kontrak kerana terlibat dalam perhimpunan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) 25 November lalu.

"Sebenarnya, kontrak mereka (DJ) tidak disambung kerana mempunyai masalah disiplin serta prestasi kerja yang tidak memuaskan. Saya mendapat surat daripada pengawal stesen radio itu yang memaklumkan sebab-sebab mereka diberhentikan," katanya.

Zainuddin berkata ekoran keputusan tidak melanjutkan kontrak dua deejay itu, lima deejay Minnal FM yang lain menyatakan tidak puas hati dan menuduh pengawal radio itu membuat perakuan yang tidak berasas.

Susulan daripada itu, SMS telah disebarkan yang puncanya masih dalam siasatan polis, antaranya menuduh pengawal itu sebagai penderhaka bangsa dan meminta penerima SMS menyebarkannya kepada sekurang-kurang 10 orang lain, katanya.

Zainuddin berkata pengawal radio itu juga menerima ugutan bunuh dan perkara itu telah dilaporkan kepada polis.

"Tuduhan bahawa kerajaan tidak melanjutkan kontrak perkhidmatan mereka atas sebab penindasan terhadap kaum India adalah tidak berasas. Isu ini telah dieksploitasi oleh golongan tertentu atas tujuan memalukan kerajaan," katanya.

*************************************************************************************
Berita Malaysiakini.

Stesen radio digesa tarik balik penggantungan juruhebah
Dec 4, 07 7:38pm

Stesen radio Minnal FM digesa supaya menarik balik penggantungan tugas beberapa juruhebahnya yang didakwa terbabit dalam perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Pusat Pemantau Media Bagi Kewartawaan Independen (CIJ) dan Pakatan Penulis Media Independen (WAMI) berkata, mereka memandang berat bahawa pembabitan dalam perhimpunan tersebut telah dijadikan asas untuk menggantung tugas juruhebah terbabit.

“Tindakan yang diambil terhadap juruhebah tersebut hanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan tidak bertoleransi terhadap hak-hak demokrasi kakitangannya,” kata CIJ dan WAMI dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, tindakan penggantungan tugas itu menunjukkan bahawa FM Minnal menganggap pembabitan peribadi kakitangannya dalam perhimpunan awam sebagai satu kesalahan.

“CIJ dan WAMI ingin menegaskan bahawa kebebasan berhimpun adalah satu hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan juruhebah radio terbabit tidak seharusnya didiskriminasi kerana hubungan profesional mereka dengan pihak kerajaan.

“Kami menggesa Minnal FM supaya menggantung siasatan dan menarik balik dengan segera penggantungan tugas juruhebah terbabit,” katanya mereka lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, Pengarah stesen tersebut, M Raja Sekaran - ketika dihubungi CIJ untuk mendapatkan komen - enggan mengesah dan menjawab soalan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa tujuh juruhebah Minnal FM telah digantung tugas kerana didakwa terbabit dalam perhimpunan pada 25 November lalu dan kerana menyokong Hindraf.

Sumber-sumber berkata, beberapa juruhebah, sesetengahnya juruhebah popular, dipecat manakala yang lainnya digantung tugas sementara menunggu siasatan dijalankan.

Usaha untuk menghubungi Raja Sekaran tidak berhasil. Bagaimanapun, akhbar berbahasa Tamil - Makkal Osai - hari ini memetik juruhebah K Meenakumari sebagai mengesahkan penggantungan tugas tujuh juruhebah, termasuk dirinya.

Akhbar tersebut menamakan enam lagi juruhebah tersebut sebagai K Sillalee (kiri), V Jamuna (kanan), Mahendran Veluplay, Kavirajan Jagarajan, Vijayan Muruti dan Dhayalan Sharmugan.

“Kami telah dituduh menyertai perhimpunan Hindraf, itu tidak betul. Kami diarah supaya jangan masuk bilik penyiaran sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam laporan akhbar tersebut.

Menurutnya lagi, Minnal FM mengambil tindakan terhadap mereka berdasarkan kepada SMS yang mendakwa tujuh juruhebah tersebut menyokong Hindraf dan menyertai perhimpunan anjurannya.

Perhimpunan Hindraf itu telah menarik kira-kira 30,000 orang yang berarak ke Suruhanjaya Tinggi British di ibunegara untuk menyerahkan petisyen yang mendakwa kaum India telah dipinggirkan sejak dibawa masuk ke Malaya sebagai buruh.

Kerajaan mengecam perhimpunan tersebut yang menurutnya haram dan menafikan dakwaan bahawa masyarakat India di negara ini telah dipinggirkan.

No comments: