Pada pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO Disember ini, saya ingin melihat lebih ramai panglima dan hulubalang Melayu menawarkan diri untuk bertanding agar parti ini terus relevan dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu pada 50 tahun akan datang.
Kita tidak mahu MT dikuasai oleh "tukang angguk" atau "tukang geleng" yang entah apa-apa tetapi diseimbangkan dengan mereka yang mengangguk dengan dasar yang membela bangsa Melayu tetapi menggeleng terhadap strategi yang memusnahkan orang Melayu. Dasar menaikkan rakan saja, walaupun mereka mentah dan bodoh perlu dibanteras.
Jika sesuatu dasar itu merugikan keseluruhan bangsa Melayu waima pemimpin tertinggi sekalipun perlu diketepikan demi maruah bangsa. Jika seseorang pemimpin itu tidak lagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu, waima yang tampan atau cerdik sekalipun perlu diketepikan demi martabat bangsa di tanahair mereka sendiri. Jika pemimpin itu hanya memilih orang yang baik dengannya saja dan membunuh pemimpin lain, perlu juga ditunjukkan jalan keluar agar bangsa Melayu tidak kucar-kacir pada masa akan datang.
Kita jangan terkeliru dan taksub dengan pemimpin tampan dan cerdik tetapi mempunyai pemikiran bercelaru atau adakalanya menjadi pak turut. Kita jangan terlena dengan pemimpin yang pandai berkata-kata tetapi mempunyai jatidiri yang lembik, lemah, rakus dan hanya tahu memenuhi "tembolok" sendiri. Bayangkan, satu senario di mana PRU12 baru saja selesai tetapi 'pemenang pilihanraya' ini sudah memandu kereta mewah baru, daripada hasil wang yang tidak tahu datang dari mana.
Kita mahu pemimpin Melayu mampu membuat keputusannya sendiri yang sudah tentu untuk kepentingan bangsa, bukan peribadi, isteri, keluarga atau rakan taulan. Kita mahu pemimpin Melayu yang belajar tinggi melangit tetapi mempunyai roh Melayu yang tidak akan dijual demi seguni wang daripada CIA, duit Arab, Eropah atau Turki. Melayu mesti memperjuangkan nasib Melayu, bukan mengikut telunjuk orang lain.
PRU12 menyaksikan orang Melayu yang kebingungan sanggup melakukan apa saja demi untuk memastikan mereka terus dapat menyara keluarga. Kelangsungan hidup perlu dipikul oleh diri sendiri tatkala orang lain tidak mempedulikan lagi.
Ketika Melayu susah, janganlah lagi menyusahkan mereka. Surau yang berdekatan rumah, tidak perlu dirobohkan semata-mata untuk "menggalakkan" mereka ke masjid yang memerlukan mereka mengisi minyak motor setiap hari untuk ke masjid. Biarlah mereka bersembahyang di surau berdekatan dengan hanya berjalan kaki dan menyimpan duit minyak motor ke masjid untuk belanja anak ke sekolah.
Orang atas memanglah tidak perasan penderitaan dan kesulitan ini kerana yang bawah terlalu ramai untuk dirasai. Tetapi sekali-sekala cubalah duduk di bawah. Pasti kita akan sedar dan muhasabah diri.
Sunday, March 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Assalamualaikum,
Tuan,
Saya sangat tertarik dengan artikel tuan kali ini. Kandungan amat tepat dengan situasi dan keperluan UMNO sekarang. Saya harap semua ahli UMNO dan pemimpin2membaca artikel tuan.
Sdr Anon,
Bangsa Melayu perlu sedar bahawa jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi oleh mereka sekarang ialah memperbetulkan diri sendiri.
Dalam memperbetulkan diri sendiri sudah tentulah kita mesti berani untuk berbuat tindakan drastik demi kepentingan bangsa Melayu sehingga kiamat. Bukan 50 atau 100 tahun lagi, tetapi sehingga ada bulan dan matahari.
Ahli dan pemimpin UMNO perlu memikirkan maruah dan martabat bangsa Melayu kini, akan datang dan selama-lamanya.
Dalam membuat sebarang tindakan ia juga janganlah ibarat, "marahkan seekor nyamuk, kelambu dibakar". Jangan menyesal selepas tiada kelambu lagi dan nyamuk lain akan menyerang bertubi-tubi.
Salam Tuan Tiger,
Betul cakap tuan. Tak perlu nak robohkan surau untuk paksa orang pergi masjid. Memang lebih afdhal pergi sembahyang di masjid daripada surau. Masalahnya masjid jauh sangat. Rumah saya ke masjid 6km, pergi balik sudah 12km. Lainla macam di negara arab, contoh la Yaman, masjid merata rata.
Orang sekarang sangat fikirkan duit. NO MONEY NO TALK, NO MONEY NO 'HONEY'. Tak ada duit, mereka jadi tak berapa waras, khususnya dalam mengundi, sampai parti yang kita fikir mustahil nak menang pun boleh bentuk kerajaan.
Kalau dah hidup susah, berapa puluh koridor dilancarkan pun macam tak ada apa2. Ini sebab koridor rumah mereka pun buruk macam dulu jugak.
Harap para pemimpin jadi lebih realistik. Kalau tak, saya bimbang UMNO hanya tinggal gambar di muzium 2020 kelak.
Skuad Peninjau
Post a Comment