Monday, March 3, 2008

SHAHRIZAT YAKIN MENANG

Datuk Shahrizat Jalil antara pemimpin Melayu dalam Kabinet Pak Lah yang berlatarbelakang undang-undang selain Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tidak hairanlah selain berusaha memberikan pelbagai bantuan kepada pengundinya di Lembah Pantai terutama ketika banjir dan ditimpa malapetaka, beliau berusaha memperkemaskan segala perundangan membabitkan wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya. Beliau turun padang dan memberikan sokongan kepada pihak berkuasa mencari kanak-kanak yang hilang dengan mengadakan sidang akhbar bersama.

Walaupun, usaha mencari itu gagal menemui kanak-kanak berkenaan, hakikatnya ia memberi kesedaran kepada ibu-bapa di seluruh negara untuk menjaga anak-anak mereka dengan selamat. Kini, ibu-bapa menyedari menghantar anak mereka membeli barang-barang di pasar malam atau pasar mini berseorangan adalah langkah yang silap. Sikap malas, mengundang nahas. Sikap tidak endah, membawa padah.

Datuk Shahrizat juga sentiasa meminta majikan menyediakan tempat bekerja yang baik untuk golongan wanita selain menggalakkan penyediaan ruang untuk kanak-kanak di tempat bekerja ibu agar mudah mereka bekerja membantu keluarga. Beliau juga menggalakkan golongan wanita untuk sentiasa menjaga kesihatan demi keluarga dan membuat pemeriksaan awal terhadap pelbagai kemungkinan serangan penyakit seperti barah payu dara dan hepatitis B.

Dalam laporan Malaysiakini, Datuk Shahrizat yang berhadapan dengan Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai, yakin pengundi akan terus memberi sokongan kepadanya dalam PRU12 ini. Keyakinan itu, sudah pasti berdasarkan kegigihannya untuk sentiasa memperjuangkan nasib wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya di negara ini.

No comments: