Monday, April 30, 2007

TOK ALI : PERPADUAN KUNCI KEMAKMURAN



(Timbalan Ketua Editor TV9, Lokman Hamidi, merakamkan gambar Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditemuramah oleh krew TV9 pada hari pengundian Pilihanraya Kecil Ijok 28 April lalu. Turut kelihatan ialah Naib Ketua Pemuda, Sdr Khairy Jamaluddin)




(Datuk Seri Mohd Ali Rustam menunjukkan email yang diterima kepada penulis di Rumah Melaka di Kampung Jaya Setia, Ijok)

Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara aman dan stabil ialah kerana perpaduan kaum. Ia adalah kunci kepada kemakmuran negara ini. Perpaduan yang kukuh adalah formula terbaik untuk mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi. Tanpa perpaduan maka akan berlakulah syak wasangka yang membawa kepada malapetaka di negara ini.

Semua rakyat di negara ini perlu memastikan perpaduan terus kukuh dan subur walau apapun terjadi bagi memastikan Malaysia ini sentiasa selamat. Rakyat Malaysia wajib mempertahankan perpaduan itu.

Datuk Seri Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka menjelaskan banyak perkara yang dilakukan di Melaka mendapat sokongan daripada semua bangsa. Mereka mengetahui apa yang dilakukannya demi untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

WALIKOTA DI IDEATIGER

Permulaan penulisan novel. Bacalah Walikota dalam [ ideatiger ]. Selamat membaca.

HIKAYAT JINNAH BROK (16)

Sejak bertemu Ijok, hatiku tidak tenteram. Siang malam, wajahnya terbayang dalam fikiranku. Ia mengganggu tugasku sebagai wakil beruk. Tiban, kawan baikku perasaan dengan perubahan sikap ini. Dia mengingatkan aku agar segera kembali ke alam nyata. Jangan suka mengelamun. Jangan abaikan tugas sebagai wakil beruk.

Namun, dia tidak tahu apa yang aku lalui. Penangan asmara.

Kau ni nampak lain macam sejak sebulan lalu, Tiban menegurku. Tiada apa-apa. Cuma aku ni sentiasa memikirkan usaha memberikan khidmat terbaik kepada pengundiku. Tapi yang aku perasaan ni, bukan masalah kerja, masalah angau kamu. Kamu tengah bercinta ke? Tiban bagaikan ahli nujum mengetahui apa yang ada di dalam hatiku. Aku menjadi serba salah. Hendak diberitahu malu. Hendak disimpan pula nanti siapa yang akan menolongku untuk melamar Ijok. Ah...fikiranku melayang-layang lagi mengenangkan Ijok. Ijok..oh...Ijok..

Malam tu, aku bermimpi mengenai Ijok. Kami berkahwin dan pergi berbulan madu. Di sebuah pulau yang indah. Ijok meluahkan perasannya terhadapku. Sebenarnya, dia telah lama memerhatiku. Sejak aku menang dalam pemilihan perwakilan beruk, dia menaruh hati denganku. Pandangan pertama ketika aku dijulang selepas menjadi wakil beruk membuat Ijok terus terpikat. Tetapi dia malu untuk memberi isyarat. Aku pula...tidak perasan semua itu. Memang bengapnya aku ini. Malam kemenangan itu, ramai beruk lain di situ. Mataku bertentang mata Ijok, tetapi ketika itu tiada apa yang aku rasa. Tetapi ketika bertemu dalam perjalanan pulang dengan Tok G, semacam satu perasaan menusuk kalbu. Ijok terus menjadi igauanku.

Bangun...bangun..cepat-cepat kamu kena pergi jumpa Tok G pagi ini, ibu mengejutku. Aku bingkas dan bersiap sedia. Namun, aku tersenyum mengenangkan mimpi malam tadi. Apakah mimpi itu akan menjadi kenyataan? Apakah Ijok akan menerimaku? Apakah Ijok tidak mempunyai beruk jantan lain di hatinya? Adakah aku harus berterus-terang mengenai perasaanku kepada Ijok? Semua ini terus bermain-main dalam fikiranku.

Ah..dah sampaipun kamu. Aku terus duduk. Tok G meminta anaknya, Enas, membawa makanan dan minuman untukku. Enas sempat menjeling manja kepadaku.

Kubang, sebenarnya kita kena teruskan agenda pembangunan untuk masyarakat beruk. Ini yang kita janjikan dalam pemilihan lalu. Aku tidak mahu masyarakat beruk menagih janji itu nanti, Tok G memulakan perbualan. Tok..jangan bimbang, aku telah memulakan usaha pembangunan di kawasan aku. Banyak program untuk mendidik masyarakat beruk telah dijalankan. Setakat ini sambutan adalah baik. Mereka juga amat berterima kasih kepada Tok G kerana menunaikan janji.

Tok G mengangguk. Seakan puas hati dengan apa yang aku luahkan nanti. Dia seorang pemimpin yang bertanggungjawab. Dia memastikan apa yang dijanjikan kepada pengundi ditunaikan. Dia tidak mahu Tok Dol dan kuncu-kuncunya menghasut beruk di Bukit Putra untuk mengadakan reformasi terhadap pemerintahannya.

Bagi Tok G, memenangi pemilihan dalam perwakilan beruk adalah satu kejayaan. Namun yang lebih penting ialah menunaikan janji selepas memenangi perwakilan. Dia tidak mahu oleh kerana segelintir wakil beruk yang membuat pasal, maka kepemimpinannya ditolak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sudah tentu dalam pemilihan yang akan datang, kumpulannya akan ditolak jika wakil beruk tidak melaksanakan pembangunan. Tambahan pula, usaha aktif Tawar untuk memburuk-burukkan dia amat dirasai. Pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Tawar, termasuk makan suap.

Tawar ini adalah seekor beruk yang tidak tahu mengenang budi. Seperti Badan Bertompok, dia kini aktif memburuk-burukkan Tok G. Sedangkan satu ketika dulu, Tok G banyak memberi habuan kepadanya. Memang sikap beruk yang tidak mengenang budi. Diberikan pisang, sebaliknya tuba yang diberikan balik. Tawar kini mengelilingi Bukit Putra memberi ceramah memburukkan nama Tok G. Ini sebagai persiapan pemilihan perwakilan akan datang. Tawar mewakili Kumpulan Tok Dol.

Tawar bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin agung di Bukit Putra. Ketika bersama dengan kumpulan Tok G dulu, dia beria-ia benar untuk menjadi pemimpin utama. Namun Tok G, sebagai pemimpin, mengetahui niat dan hasrat Tawar. Dia meminta Tawar untuk meninggalkan kumpulan kerana sikapnya suka memburuk-burukkan pemimpin lain dalam Kumpulan Tok G. Malah, perangai buruknya juga tidak digemar oleh Tok G. Tawar suka berpeleseran dengan pelbagai beruk betina. Imej ini sudah tentu tidak sesuai dengan Kumpulan Tok G. Klimaksnya ialah apabila Tawar memperkosa beruk jantan yang belum cukup umur. Selepas mengetahui perkara itu, Tok G terus menghalau Tawar daripada kumpulannya. Kini, Tawar bersama dengan Kumpulan Tok Dol.

Sunday, April 29, 2007

I-MANN : LANCARKAN PEREDARAN DARAH



Ada masalah peredaran darah dan tenaga kelelakian?

Hubungi Ibrahim Yahaya 019-2125521 untuk mendapatkan I-MANN.

HIKAYAT JINNAH BROK (15)

Hari ini, Batang Berjuntai mati. Sepuluh hari selepas aku dan Tok G melawatnya. Penyakit beruk bersarangnya sudah melarat. Tidak boleh diubati. Beliau sendiri yang mencari pasal. Meniduri ramai beruk betina yang datang kotor. Terkena penyakit itulah balasannya. Diharapkan akan menjadi ingatan kepada beruk lain di Bukit Putra.

Sebenarnya, Batang Berjuntai ini seekor beruk yang pandai. Menurut Tok G kedua-dua kepalanya pandai. Satu yang atas dan satu di bawah. Tetapi dia banyak menggunakan kepala di bawah. Akibatnya, dia tidak berfikir ketika melakukan perkara yang terkutuk itu. Kerana mengejar kepuasan, badan menjadi korban. Kerana mengikut nafsu, badan akhirnya menjadi kaku.

Sebelum dia terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, Batang Berjuntai sebenarnya adalah antara beruk yang banyak membantu membangunkan Bukit Putra. Dia mengajar beruk lain menanam pokok yang boleh mengeluarkan hasil yang boleh dimakan. Kepandaiannya itu membolehkan penduduk Bukit Putra mampu menikmati bekalan makanan yang mencukupi. Manusia juga mengambil kesempatan dengan mengambil buah-buahan di Bukit Putra ketika musim rambutan, manggis dan durian.

Kepandaiannya itu berjaya memikat ramai beruk betina lain. Mereka sering menggodanya dan oleh kerana tidak tahan digoda, maka Batang Berjuntai menjadi mangsa keadaan.
Oleh kerana dipuja, Batang Berjuntai hidup mewah. Bapa beruk sanggup memberikan anak dara mereka kepada dia. Dia juga mendapat bekalan makanan yang lumayan. Ini turut menguntungkan beberapa penyokong kuatnya. Antaranya Gomok, yang turut dihinggapi penyakit beruk bersarang. Gomok mati sebulan lalu.

Berita kematian Batang Berjuntai cepat tersebar. Ramai yang berkunjung kerumahnya. Antaranya ialah beruk-beruk betina yang pernah menjadi teman tidurnya. Tok G mengarahkan Rambut Panjang membakar mayat Batang Berjuntai untuk menggelakkan penyakit merebak. Ini yang dilakukan terhadap mayat Gomok. Abu daripada mayat itu dibuang dalam Sungai Puchong yang memang sudah kotor oleh manusia durjana. Manusia membuang segala jenis bahan-bahan toksid ke dalam sungai itu. Yang peliknya, pihak berkuasa seolah-olah menutup sebelah mata. Akibatnya, sungai yang satu ketika dahulu tempat bermandi-manda beruk Bukit Putra, kini mengalir lesu.

Dalam perjalanan pulang daripada membuang abu mayat Batang Berjuntai, Tok G sempat bertanya mengenai masa untuk aku mengakhiri zaman bujangku. Aku tidak boleh menjawabnya. Dulu, aku memang ada hati dengan Bedah Menyala. Tetapi dia sudah berkahwin dengan Kumor Buih. Kini,tiada sesiapa yang dapat menawan hatiku.

Dalam perjalanan itu, kami tersempak dengan Ijok, beruk betina muda yang menawan. Hatiku berdebar-debar. Ijok sempat menjeling aku. Matanya yang bundar itu menusuk kalbuku. Kulitnya putih melepak, memang idamanku. Bau rambutnya yang panjang mengurai itu membuat aku khayal. Adakah Ijok akan menjadi bakal teman hidupku?

Saturday, April 28, 2007

STF FIVERS 77 REUNION - 30 TAHUN SELEPAS ITU....



Saya pernah ke STF ketika di tingkatan enam. Ketika itulah mata bertentang mata.Perrrgggh.

Mereka bertemu. Gembira, sedih, syahdu dan mengimbau kenangan lalu. Baca kisah reunion STF Batch77 dalam [ blog ini ].

Thursday, April 26, 2007

RAMLI SIMBOK KERJA KERAS



Ketua Pemuda Umno Puchong, Ramli Simbok, adalah antara golongan pemuda yang bekerja keras untuk memastikan calon BN, K Parthiban, menang dalam Pilihanraya Kecil Ijok pada 28 April ini. Baginya, segala tuduhan dan tohmahan pembangkang perlu diperbetulkan dan maklumat itu perlu disampaikan kepada penduduk setempat terutama pengundi. Membuat tuduhan atau tohmahan memang mudah tetapi kesan jangkapanjang perlulah dilihat terutama kepada generasi muda di Ijok. Adakalanya tuduhan yang tidak betul boleh menyebabkan sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku.

Menceritakan pengalaman bapa saudaranya yang taksub dengan parti pembangkang. Satu hari selepas menghadiri majlis ceramah UMNO, bapa saudaranya beberapa kali bertanya kepadanya: "Memang begini ke ceramah UMNO?" Mengapa pak? "Aku tengok tiada maki hamun dan caci-cerca" Macam inilah selama kita berkempen dan beri ceramah. "Ini berbeza dengan ceramah yang diberikan oleh kita orang" Beberapa minggu selepas kejadian itu, bapa saudaranya menyertai UMNO. Bapa saudaranya bergerak aktif dalam parti.

CSI 6 : MAHFUZ, WAKIL RAKYAT DAN RACUN....


(Kereta yang membawa Datuk Seri Hadi Awang dikerumuni orang ramai. Gambar oleh RPR IMAGE).

Orang kuat PAS, Mahfuz Omar, bimbang orang ramai akan meracun wakil rakyat mereka demi untuk memperolehi pembangunan. Dalam ceramah Pilihanraya Kecil Ijok malam Selasa lalu, beliau mendakwa pembangunan di negara ini hanya tiba apabila wakil rakyat meninggal dunia. Apakah betul dakwaan semua pembangunan di negara ini tiba selepas kematian wakil rakyat? Apakah meracun wakil rakyat satu-satunya jalan untuk mendapat pembangunan?

Beliau mungkin menggunakan isu itu untuk menarik minat pendengar. Tetapi pemilihan isi ucapan membabitkan "meracun wakil rakyat" tidak sesuai apatah lagi keluar dari mulut pemimpin tertinggi Pas. Kalau beginilah isi ucapan kempen pembangkang, tidak hairanlah mereka akan terus di belakang Barisan Nasional dalam pilihanraya.

Ucapan Datuk Seri Hadi Awang pada malam itu lebih berhemah dan tidak mengaitkan mengenai pembunuhan atau meracun wakil rakyat. Namun, isinya cerita lama yang mendakwa kerajaan sekarang penuh dengan skandal rasuah dan keadaan negara ini kini huru-hara. Baginya, Tan Sri Khalid adalah hadiah bagi penduduk Ijok.

TOK HASHIM, INSAN ISTIMEWA


(Dato' Haji Hashim Mohamad. Gambar oleh RPR Image)

Pertemuan pertama pada Disember 2006. Seorang yang peramah dan banyak memberi nasihat. Antaranya ialah panduan menjaga kesihatan dan resipi kejayaan dalam perniagaan. Insan berumur hampir 70 tahun mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang perniagaan dan politik. Ikuti kejayaan Tok Hashim dalam blog ini.

Wednesday, April 25, 2007

BACALAH KERUAK.COM

Rakan wartawan di Berita Harian, Lichong Angkui menghantar sms.

"Sdr Tiger, sila layari www.keruak.com dan tolong promosikan dalam Dunia Tiger."

seterusnya....

"Saya bersama Dtk Salleh Keruak sejak 1 September lalu dan mengendalikan laman web itu."

Tentu boleh ba.

Selamat maju jaya, Lichong.

CSI 5 : KEPUTUSAN IJOK SERIBU MAKNA

Kedua-dua pihak mahu menang dalam Pilihanraya Kecil Ijok pada 28 April ini. Kemenangan itu akan menunjukkan pelbagai petunjuk atau petanda kepada dua parti yang bertanding - Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi BN, ia mahu mengekalkan rekod kemenangan di Ijok yang dimenangi pada Pilihanraya Umum 2004. Kemenangan kali ini sudah tentu akan membolehkan BN meneruskan agenda pembangunan mereka di Ijok menerusi wakil rakyat, K Parthiban. Sudah tentu BN akan memastikan segala rancangan pembangunan di Ijok akan dilaksanakan segera kerana Pilihanraya Umum menjelang tiba iaitu sama ada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. Sebarang kegagalan mempercepatkan usaha membangunkan Ijok akan mengundang padah.

BN, yang kali ini diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dibantu oleh Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo perlu menang untuk membuktikan rakyat masih menyokong mereka. Walaupun, BN menang di Batu Talam dan Machap, namun pilihanraya kecil Ijok adalah pelengkap kepada kemenangan sebelum ini yang secara kebetulan kali ini mengetengahkan calon MIC. Calon Umno dan MCA, sebelum ini berjaya mengetepikan pencabar mereka.

Kemenangan di pihak BN juga akan membolehkan mereka memaparkan kepada rakyat di seluruh negara bahawa tohmahan dan tuduhan pembangkang dalam kempen di Ijok terhadap mereka tidak diterima oleh pengundi Ijok. Ini amat baik untuk imej BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tidak hairanlah jentera pilihanraya kecil BN di Ijok bekerja keras untuk memastikan pengundi memilih mereka dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang terutama oleh pemimpin PKR yang digembalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR ( sebelum ini Parti Keadilan Nasional sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia) yang kalah dalam pilihanraya umum lalu mempertaruhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon mereka. Mereka mengharapkan TS Khalid yang berasal dari Jeram dapat memikat pengundi Ijok untuk menjadi wakil mereka di DUN Selangor.

Oleh itu, tidak hairanlah semua pemimpin tertinggi pembangkang termasuk Datuk Seri Hadi Awang berkempen yang kebanyakan intipatinya mahu penduduk Ijok memberi petunjuk kepada BN. Mereka mendakwa kerajaan sekarang mengamalkan rasuah dan pelbagai tindakan kerajaan sekarang menyusah dan memeritkan rakyat.

Mereka juga menggunakan isu Altantuya untuk mempengaruhi pengundi Ijok mengenai sifat pemimpin kerajaan sekarang yang dilabelkan mereka sebagai pengamal rasuah dan sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri. Serangan peribadi ini terpaksa dijawab oleh pemimpin BN terutama Datuk Seri Najib yang menafikan segala dakwaan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar.

PKR juga mengemukakan isu bangsa calon BN bagi menggambarkan wakil MIC itu tidak mampu membela nasib Melayu di kawasan Ijok. Ada juga kedengaran suara-suara sumbang berlandaskan agama seperti sama ada untuk memilih masjid atau kuil. PKR juga menggambarkan TS Khalid sebagai seorang tokoh yang mampu membawa perubahan kepada nasib penduduk setempat. Bagi PKR, pembangunan perlu tetapi rakyat perlu memilih TS Khalid sebagai wakil rakyat mereka.

BN dan PKR banyak memberi tumpuan kepada kawasan pengundi Melayu, yang merangkumi lebih 50 peratus. Kedua-dua parti mempamerkan "kelebihan" masing-masing seperti bersih, membela rakyat, membawa pembangunan, keadaan ekonomi baik, suara rakyat terkini, kerajaan stabil dan rekod cemerlang, untuk mempengaruhi pengundi untuk menyokong mereka. Kawasan ramai pengundi Melayu itu ialah Bukit Badong, Kampung Ijuk, Simpang Ijok dan Jaya Setia. Kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu ialah Berjuntai Bestari (dulu Batang Berjuntai), Tuan Mee, Pekan Ijok dan Sungai Darah.

Sudah tentu, pengundi Ijok yang bijak akan menilai semua bahan ceramah BN dan PKR termasuk agenda pembangunan yang ditawarkan oleh BN. Mereka akan memilih parti yang mampu memberikan apa yang mereka perlukan ketika ini.

Apakah 12,272 pengundi berdaftar merangkumi 51.8 peratus Melayu, 27.7 peratus India dan 20.6 peratus Cina mahu pembangunan dan kestabilan politik serta ekonomi? Atau mereka memilih wakil pembangkang semata-mata untuk merealisasikan permintaan pemimpin tertinggi pembangkang.

Monday, April 23, 2007

CSI 4 : SEMALAM DI IJOK




Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, dan orang nombor dua JASA, selepas majlis penerangan dengan pegawai-pegawai JASA di Pekan Ijok. Gambar oleh RPR IMAGE.



Orang kuat TV9, Lokman Hamidi, turun padang mendengar ceramah di Ijok. Sebelum itu, Lokman yang juga seorang [ blogger ] hadir pada hari [ penamaan calon ] pada 19 April lalu. Gambar oleh RPR IMAGE.

HIKAYAT JINNAH BROK (14)

Susu Jatuh datang menemui aku. Dia kata rumahnya sudah dimakan anai-anai. Dia perlu tukar pokok lain. Takut pokok yang dijadikan rumah itu tumbang. Anai-anai menyerang rumahnya kerana pemotong rumput Bangladesh sering mengumpul rumput yang dipotong di pangkal pokok. Kemudian dibakar rumput berkenaan. Itulah yang menjadi kegemaran anai-anai. Berlambak banyaknya. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Susu Jatuh.

Aku memintanya berpindah ke sebuah pokok beberapa batang daripada rumahnya. Itupun setelah mendapat kelulusan Tok G. Di bawah pemerintahan Tok G, segala masalah beruk diberi perhatian dan diselesaikan secepat mungkin. Tiada dolak-dalik lagi. Yang mana boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, perlu diselesaikan. Beruk yang memerlukan bantuan perlu mendapat pembelaan.

Susu Jatuh ini adalah antara beruk yang mendapat faedah daripada lori susu terbalik berdekatan gaung di Bukit Putra. Ada beberapa nama lagi yang ketika itu kecil tetapi diberikan susu lembu dalam tin yang banyak berlambak di dalam gaung. Oleh kerana manusia malas untuk mengutipnya di dalam gaung, emak-emak beruk yang ketika itu menyusukan anak mereka bertindak bijak mengambilnya. Anak beruk lain yang mendapat faedah ketika itu diberikan nama yang berkaitan dengan susu. Antaranya Susu Lembik. Susu Putih, Susu Tembam dan Susu Sulung. Nama susu ini amat popular satu ketika dulu dan ia mengingatkan kepada kejadian lori susu terbalik itu. Namun, ada juga anak beruk yang cedera terkena tin susu yang menyebabkan mulut terkoyak dan hidung terhiris. Antaranya ialah Mulut Koyak dan Hidung Pecah.

Satu lagi kejadian lori terbalik membabitkan lori tangki IndahWater yang terbalik di bawah bukit timur. Seminggu, beruk-beruk di Bukit Putra "muntah-muntah" dan loya akibat penangan lori najis terbalik. Yang tidak sedapnya manusia durjana itu tidak membuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah bau itu. Bagi mereka, binatang yang tinggal di Bukit Putra itu tidak penting dan biarlah bau busuk itu menyerang mereka. Akibat lori najis terbalik itu, banyaklah pokok pisang tumbuh dengan subur di kawasan berkenaan. Ini menjadi rezeki kepada pencari dan penjual daun pisang.

Setelah Susu Jatuh beredar, aku dikunjungi oleh Jinnah dan anaknya, Jibam. Ibu tunggal itu mahu meminta rumah baru kerana rumahnya sering dilanda banjir. Aku memberitahunya untuk mengambil sebuah pokok berdekatan rumah Susu Jatuh. Jinnah amat gembira mendengar berita itu. Dia terus beredar bersama Jibam untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru.

Aku mampu berbuat demikian kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa sebagai wakil beruk. Sebenarnya, banyak wakil beruk yang tidak menjalankan tugas mereka. Mereka lalai dan asyik mengumpul kekayaan. Mereka lupa tanggungjawab sebenar. Ada antaranya yang meminta upah beberapa tandan pisang untuk bantuan yang diberikan.

Ada juga wakil beruk yang mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka untuk menekan beruk lain. Mereka bertindak seperti raja dengan mengambil secara paksa anak dara beruk. Mereka turut melepaskan nafsu dengan emak anak dara berkenaan. Bagi golongan beruk begini, nasib mereka menjadi malang selepas itu. Mereka bukan saja tidak terpilih sebagai wakil beruk tetapi juga diketepikan oleh masyarakat beruk. Nama mereka sering menjadi cercaan kerana tindakan tidak berperikehaiwanan terhadap beruk lain.

Malam ini, aku dan Tok G akan melawat Batang Berjuntai yang terkena penyakit beruk bersarang. Penyakit ini diperolehi kerana kegemaran Batang Berjuntai meniduri ramai beruk betina yang dalam keadaan kotor. Setakat ini, mereka yang terkena penyakit beruk bersarang ini ibarat menunggu masa untuk mati. Ini kerana tiada ubat bagi penyakit berkenaan.

Batang Berjuntai mendapat balasannya kerana tindakan buas ketika muda. Perkara yang tidak elok jangan diamalkan kerana adakalanya nikmat seminit menyebabkan sengsara sehari. Ingat-ingatlah beruk yang mahu melakukan persetubuhan haram dengan pelbagai pasangan yang tidak tahu kesucian mereka.

Sunday, April 22, 2007

AZMAN TINGGALKAN KITA...AL-FATIHAH

Saya mengenali Azman Ahmad, wartawan New Straits Times (NST), sebagai seorang individu yang periang dan peramah.

Azman, 45, meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah, pada 11.55 pagi semalam, kerana penyakit buah pinggang.

Bacalah berita [ Metro Ahad ] mengenai kematian Azman. Al-fatihah.

BASUH TELUR...BARU KETUKKK

Zek dari Masjid Tanah, Melaka sudah berhenti makan roti telur.

Ini kerana gara-gara melihat mamak memecahkan telur ke atas tepung roti.

Apa yang dilihatnya ialah ketika mamak mengetuk telur itu, semua "kekotoran" di sekeliling kulit telur menerjah ke atas tepung. Ini termasuk najis ayam di telur berkenaan.

Sepatutnya mamak membasuh telur sebelum mengetuknya ke atas tepung roti.

Tolong perhatikan perkara itu apabila anda memesan roti telur. Hidup sihat.

HIKAYAT JINNAH BROK (13)


(Bukit Putra, menjelang malam. Gambar oleh RPR IMAGE)

Kalau hendak suarakan rasa tidak puas hati, semua beruk boleh berbuat demikian. Aku tidak puas hati. Jinnah pun mengenai nasib rumahnya. Tok G juga tak puas hati. Tetapi rasa tidak puas hati itu sentiasa disimpan dengan baik. Diluahkan di gelanggang yang betul. Diluahkan dengan secara terhormat. Bukan menjerit dan melolong.

Berlainan dengan Badan Bertompok. Dulu dia berada dalam kumpulan Tok G. Tetapi kerana rasa tidak puas hati, dia berpaling tadah. Menyebelahi Tok Dol.

Kini, Badan Bertompok mencaci Tok G mengikut suka hatinya. Dituduh Tok G seorang beruk jantan tua yang tidak senonoh. Tok G kaki betina. Tok G suka pegang badan beruk betina yang putih melepak. Tok G merampas isteri beruk lain.

BB juga menuduh Tok G merampas harta banyak beruk lain. Banyak mengumpul harta untuk diri sendiri. Membantu anaknya untuk mendapat lebih banyak harta di Bukit Putra. Memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kroninya. Mengamalkan makan suap. Membenarkan makan suap berleluasa di Bukit Putra.

Sebenarnya, BB tidak puas hati kerana kalah dalam pertandingan jawatan dalam Kumpulan Tok G. Lebih parah lagi, nama beliau tidak disenaraikan dalam pemilihan perwakilan beruk yang baru lepas. Oleh itu, beliau bertindak bertanding mewakili pembangkang menentang aku daripada Kumpulan Tok G.

Setelah berubah kem, BB juga berkata pemerintahan Tok Dol amat baik dan tersusun. Sekarang, Tok Dol adalah pemimpin idamannya. Sedangkan pada masa dahulu, dia sering membidas Tok Dol yang disifatkan sebagai hantu jerangkong. Menyedut darah beruk lain. Dia menuduh Tok Dol suka menggoda isteri dan anak dara beruk lain. Tok Dol juga dituduh menghidapi penyakit beruk bersarang, yang disebabkan terlalu banyak melakukan persetubuhan dengan pasangan berlainan. Tok Dol juga dikatakan akan mati tidak lama lagi.

BB juga pernah ditawarkan untuk menjadi beruk kanan Tok G. Tetapi kerana satu insiden di mana ia cuba memperkosa anak Liah Manja, maka Tok G mengetepikannya. Itulah jadinya, apabila tidak dapat mengawal nafsu. Namun, Bedah Menyala dapat diselamatkan daripada kerakusan BB.

Bedah Menyala amat disukai oleh beruk-beruk jantan di Bukit Putra. Aku pun ada hati dengannya. Yang menyebabkan beruk lain tertarik ialah kedua-duanya suka bercerita mengenai cerita lucah. Liah Manja juga suka bercerita apa yang berlaku dalam kelambu dia. Tidak malu langsung cerita mengenai kegiatan seksnya. Liah Manja sering bercerita kepada orang lain "kegiatan seksnya" dengan beruk jantan. Digelarnya suami satu, suami dua, suami tiga dan seterusnya. Dia menceritakannya hingga ke detik-detik yang menghairahkan. Terlopong beruk-beruk jantan mendengarnya. Bedah Menyala yang sering berada di sebelah ibunya, tersenyum sipu dan kadangkala melepaskan jelingan manja kepada beruk jantan.

Kini Bedah Menyala sudah menjadi hak Kumor Buih yang duduk di sebelah timur. Kedua-dua mereka bertemu di batu besar berhampiran dengan lebuhraya yang dibina oleh manusia. Mereka bermadu kasih di atas batu berkenaan hampir setiap minggu. Kebetulan berdekatan dengan kubur besar masyarakat beruk. Sudah cinta, sebelah kubur pun tidak menjadi masalah.

CSI 3 : PEMBANGUNAN VS WAKIL PEMBANGKANG


(Pelbagai maklumat diperolehi daripada ceramah. Gambar oleh RPR IMAGE)

Malam tadi, melawat Ijok. Poster merata-rata. Biru dan biru laut.

Pelbagai gambar, calon dan pemimpin parti.

Anak-anak muda sibuk bekerja memasang poster dan gambar selepas tengah malam. Gigih dan bersemangat. Duit pun masuk setelah penat bekerja.

Antara isu yang dibangkitkan dalam ceramah dan "cakap-cakap" di Ijok ialah:

1. Mengapa pembangunan datang sekarang?
2. Khalid Ibrahim bertanding kerana kecewa.
3. Najib dan kes Altantuya.
4. Kami kenal siapa Anwar Ibrahim.
5. Nak pilih masjid ke atau nak pilih kuil.
6. Partiban tak boleh wakil orang Melayu.
7. Khalid dah jual rumah untuk biayai kempen.
8. Khir Toyo kena kerja keras untuk menang.
9. Anwar Ibrahim cakap tak serupa bikin.
10. BN tabur duit untuk menang.
11. Jalan tar taktik BN dalam pilihanraya kecil.
12. Jangan jadi tong kosong. Bising saja, tapi tiada hasil.
13. Melayu tolong India. India tolong Melayu. Konsep BN.
14. Khalid kecewa tidak dapat pinjaman beli saham.
15. Khalid perlu jadi wakil pembangkang di DUN Selangor.
16. Rezeki mencurah-curah di Ijok.
17. Capati, semua orang boleh makan.
18. Najib: Saya akan jawab semua tuduhan.
19. PKR minta Najib jawab kes komisyen.
20. Khir Toyo muda, Partiban pun muda. Generasi baru pemimpin BN.
21. Ijok mahu wakil rakyat muda, berwibawa.
22. Sudah dapat nikmat, jangan cerca kerajaan.
22. Dulu kerja dengan kerajaan, kini tentang kerana kecewa.
23. BN konsep kongsi kuasa terbaik di dunia.

Akan pergi lagi ke Ijok untuk senaraikan isu yang dibincangkan.

Friday, April 20, 2007

LIDAH SUCI MARUAH MURNI

Tazkirah sebelum Jumaat mengingatkan jemaah mengenai lidah.

Setiap pagi, semua anggota tubuh manusia akan meminta lidah supaya berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Ini kerana setiap perkara yang dilafazkan oleh lidah memerlukan pembabitan anggota tubuh yang lain. Ini termasuk tangan, kaki, mata, telinga dan otak. Pembabitan mereka itu adakalanya TERPAKSA dibuat gara-gara tindakan lidah membuat janji.

Umpamanya, jika lidah berjanji untuk pergi ke sesuatu tempat sedangkan anggota badan yang lain sudah letih, maka berlakulah "pemaksaan" kepada tubuh badan manusia. Adakalanya, mata sudah mahu lelap dan otak juga sudah letih. Tetapi kerana takutkan janji tidak ditunaikan, maka terpaksalah anggota lain melakukannya.

Oleh sebab keceluparan lidahlah, anggota tubuh lain tercedera. Malah ada yang menyebabkan kematian.

Umpamanya, dalam pergaduhan selepas kemalangan kenderaan, maka berlakulah tindakan caci mencaci. Apabila sesuatu pihak tidak tahan dengan cacian itu, maka tangan mereka pun singgah di mata lawannya. Tindakan mencaci oleh lidah menyebabkan mata menjadi lebam.

Kerana lidah juga manusia akan disumbatkan ke neraka jahanam. Memfitnah dan berbohong.

Jagalah lidah. Jangan mencerca orang lain. Jagalah maruah diri.

HIKAYAT JINNAH BROK (12)

Aku hampir menarik diri dalam pemilihan lalu. Hampir patah semangat. Tidak tahan dengan cacian yang dilemparkan kepada keluargaku. Bapak diberikan pelbagai gelaran. Perompaklah. Penyapu Bersihlah. Pelantak Terhormat. Ini semata-mata kerana tindakannya untuk mengutip buah jering di Bukit Putra. Tuduhan dilemparkan oleh golongan yang bertanding melawan aku.

Apa yang dilakukan oleh bapak sangat murni. Mengutip buah jering dan membahagi-bahagikan kepada beruk yang lain. Beliau tidak pernah makan seekor. Tidak pernah menjadi perompak atau penyapu bersih. Kepakarannya memanjat sehingga ke hujung dahan membolehkan beliau mampu mengutip habis buah jering. Malah usaha murni itu mendapat penghormatan daripada Tok G. Nama bapak sering disebut-sebut oleh Tok G dalam banyak pertemuan sebelum ini.Tok G menyifatkan bapak seekor beruk yang baik hati. Beruk yang tidak tamak haloba.

Bapak yang dapat merasai perasaan aku, sentiasa memberi semangat baru. Kubang...jangan difikirkan sangat apa beruk lain kata. Janganlah kata-kata nista itu melemahkan semangat untuk membantu beruk lain. Teruskan perjuanganmu. Teruskan usahamu.

Bapak sentiasa berpesan, kita ini, jika emas akan tetap menjadi emas walaupun dicampakkan ke mana saja. Emas yang dicampakkan ke dalam lumpur, tetap emas juga. Apabila ditemui dan dibasuh bersih, ia tetap emas yang akan bersinar apabila dilimpahi cahaya matahari. Kamu bukan kayu yang akan reput apabila dicampakkan ke dalam air atau lumpur. Jadilah emas. Jadilah intan. Jangan fikirkan apa yang golongan berfikiran cetek itu katakan. Lama-lama mereka akan letih juga. Beruk tidak akan percaya kepada si Pembohong.

Tapi bapak. Mereka telah melampui batas. Mereka mencaci dan mencerca keluarga kita. Mereka membuat tuduhan mengikut suka hati mereka. Mereka kan pemimpin. Jika pemimpin itu membuat tuduhan pasti semua beruk akan percaya. Jika pemimpin itu sering membuat tuduhan di merata-rata tempat sudah tentu beruk akan termakan cakapnya.

Kubang...tuhan tidak memandang pemimpin yang bercakap bohong. Pemimpin yang bercakap bohong sudah tentu akan disumbatkan ke dalam api. Mereka perlu memastikan tutur kata mereka betul dan benar. Apa tujuan sekalipun perkataan yang diluahkan mestilah dalam batas-batas kesopanan adab kita. Janganlah kerana hendak menang pemilihan, mereka boleh membuat sesuka hati. Mencaci dan mencerca. Menuduh yang tidak baik.Golongan seperti ini, tidak akan ke mana. Lambat-laun, masyarakat beruk akan mengetahui sikap sebenar beruk seperti ini.

Semangat yang diberikan oleh bapak itu mendorong aku untuk berjuang habis-habisan.

Aku tidak menggunakan taktik kotor seperti yang dilakukan oleh lawanku. Aku menerangkan mereka apa yang boleh aku lakukan untuk masyarakat beruk. Aku berjanji untuk memastikan beruk di kawasan aku akan sentiasa selamat dan harmoni. Pelbagai rancangan disusun untuk membantu mereka. Antaranya ialah mengajar mereka cara untuk memperbaiki kehidupan. Bukan hanya menunggu "rezeki mendatang". Perlu berusaha dan terus berusaha. Tuhan akan tetap membantu beruk yang berusaha.

Strategi yang aku gunakan berjaya.

Lawanku yang menggunakan taktik kotor iaitu mencaci dan mencerca ditolak dengan jumlah majoriti yang tinggi. Ketika keputusan diumumkan, lawanku, Badan Bertompok, tidak ada. Ketidakhadirannya membuktikan beliau sudah tahu akan kalah. Beliau tahu taktik kotornya tidak menjadi kali ini. Beruk menolaknya kali ini. Diharapkan selama-lamanya. Pembohong dan pengotor.

CSI 2 : PENAMAAN CALON

Rakan sekerja ketika di TV3, Lokman Hamidi telah pergi ke Ijok pada hari penamaan calon. Pelbagai pengalaman yang diperolehinya termasuk "tumpang toi" dengan kemudahan "laluan laju" pemimpin negara.

Ikuti [ cerita Lokman ] dalam laman blognya.

CERITA SENSASI IJOK (CSI 1 )

Tak pergi Ijok ke?

Itulah soalan yang sering dikemukakan kepada saya sejak awal minggu lalu.

Belum lagi. Saya tengah berehat ni (berhenti daripada membuat laporan untuk media ketika ini, baik swasta atau kerajaan), tetapi satu hari mungkin pergi juga.

Bilakah hari itu? Tidak tahu. Tetapi rakan-rakan media (tentu sajalah) sudah pergi awal lagi dan berkampung di sana.

Khabarnya, Ijok semakin panas dengan ceramah daripada kedua-dua parti yang bertanding. Pelbagai janji dan kenyataan dibuat di Ijok. Adat pemilihan.

Namun, yang sedihnya, ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan medan Ijok sebagai tempat untuk membuat pelbagai tuduhan dan cacian. Adat pemilihan juga ke?

Thursday, April 19, 2007

REZEKI TERSIMPAN PERLU DICARI....

Mengapa orang kaya digalakkan menderma dan bersedekah? Selain pembersihan rezeki, ia juga untuk membolehkan golongan susah turut merasai nikmat kemakmuran negara.

Tidak mahu membincangkan punca mereka susah. Mungkin disebabkan pelbagai faktor. Hanya mereka yang tahu. Namun yang penting ialah tindakan susulan orang kaya setelah mengecapi kesenangan. Setelah mendapat limpahan rezeki.

Adakah orang kaya makan seorang atau berkongsi?

Sebenarnya, setiap orang mempunyai rezeki tersimpan atau tersembunyi. Menderma atau bersedekah adalah satu KUNCI untuk membuka KOTAK rezeki yang tersimpan. Ini selalu dikatakan orang jika kita banyak memberi, kita akan ditambahkan rezeki.

Bagi yang tidak mahu berkongsi, maka rezeki itu akan berada di tahap itu saja. Tidak berkembang dan mungkin tiada lagi.

Oleh itu, derma atau sedekah itulah kunci kepada rezeki KITA yang tersimpan atau tersembunyi. Ia mungkin di atas langit atau di dalam bumi. Tidak percaya, cubalah gunakan kunci itu selalu. Tidak kira kecil atau besar. Sudah tentu menjumpai lebih banyak kotak rezeki.

HIKAYAT JINNAH BROK (11)

Hari ini, Bukit Putra kehilangan seekor anak watan. Baik hati dan banyak membantu beruk lain. Tidak kedekut dan sentiasa bersedekah. Peramah dan suka merendah diri. Aku sedih, bukan kerana kehilangan seekor bapa tetapi seekor beruk yang jujur dan bertanggungjawab. Segala ajaran bapaku, Jering Tinggi, akan aku amalkan sampai bila-bila masa. Akan aku perturunkan kepada anakku dan generasi seterusnya.

Bagiku, bapak adalah seekor beruk yang mulia. Walaupun kehidupannya sederhana tetapi dia sentiasa memastikan keluarganya bahagia. Makan minum anak-anak sentiasa dijaga. Tempat tinggal disediakan bagi membolehkan kami membesar dengan baik. Persekitaran hidup kami selesa dan harmoni. Tiada bahaya.

Setelah aku menang dalam pemilihan perwakilan yang lalu, pesanan bapak yang pertama ialah jaga nama baik keluarga kita. Baginya, menjadi wakil beruk adalah satu tugas penting dan murni. Ia memerlukan banyak pengorbanan. Ia perlu dilaksanakan dengan jujur dan amanah. Ini kerana pemilih meletakkan seluruh harapan, kepercayaan dan keyakinan kepada wakil mereka. Jika mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab, yang menderita ialah beruk yang diwakilinya.

Seterusnya, beliau berpesan agar aku menjadi wakil beruk yang terbaik di dunia. Jika tidakpun, yang terbaik di Bukit Putra. Terbaik dalam ertikata memberi perkhidmatan tanpa mengenal penat lelah. Berkhidmat tanpa membezakan pangkat keturunan. Memberi sumbangan untuk memajukan masyarakat beruk. Menyediakan rancangan terbaik untuk membawa masyarakat beruk ke tahap yang lebih baik dan bermaruah. Bukan sentiasa di takuk lama.

Baginya, wakil beruk yang korup dan tidak menjalankan tugas dengan baik, perlu disangkut di atas pokok jering tertinggi di Bukit Putra. Biarkan dia berpanas berhujan selama beberapa waktu untuk menyedarkan mereka mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul.

Ketika ingin memancing undi, pelbagai janji ditabur. Ketika meminta untuk dipilih, pelbagai kata manis dihambur. Selepas itu, tinggal janji. Sudah tentu, janji kepada pemilih adalah penting, tetapi harus ditunaikan. Jangan pulak cakap pandai tetapi hendak melaksanakannya tidak tahu. Tiada rancangan, sudah tentu tiada apa yang boleh dijalankan. Ketika berkempen, memburuk-burukkan beruk lain. Tetapi hakikatnya, diri sendiri bergelumang tahi. Kotor dan menjijikkan.

Ada juga wakil beruk, setelah menang pemilihan perwakilan, perangai terus berubah. Daripada seekor yang jujur dan amanah, menjadi perompak dan perampas hak Bukit Putra. Daripada seekor yang lemah lembut menjadi beruk berhidung tinggi dan rakus. Sikap begini sering ada dalam wakil-wakil beruk yang bertanding semata-mata untuk mendapatkan habuan. Masuk gelanggang untuk mengaut harta karun. Matanya bulat apabila mendapat habuan. Ini yang diamalkan oleh wakil beruk sebelum ini, seperti Kengkang Besar, Porot Boroi, Mata Senget dan Jamban Tonggek. Sebenarnya banyak lagi yang aku tahu. Habis harta Bukit Putra disapu mereka.

Jadilah seperti wakil beruk terdahulu yang berjuang, semata-mata untuk kepentingan beruk. Pemimpin dahulu mempunyai pelbagai sifat yang dimuliakan. Komited untuk mengangkat maruah masyarakat beruk dan sentiasa berjuang untuk kepentingan Bukit Putra. Kepentingan diri diletak tepi. Hak Bukit Putra dipertahankan sehingga titisan darah terakhir. Inilah dikatakan minda kelas pertama.

Pemimpin beruk yang terdahulu adalah kumpulan mereka yang menerokai Bukit Putra. Mereka bekerjasama dan berkerja keras untuk memastikan Bukit Putra menjadi tempat terbaik untuk beruk dan binatang lain. Pelbagai tanaman diusahakan, dengan menaburkan biji-biji buah dan membiakkan pokok-pokok. Banyak pokok hidup subur di Bukit Putra seperti pokok getah, pisang, jering, petai, kelapa sawit dan buah-buahan lain.

Di bawah bukit dipenuhi dengan rimbunan pokok pisang sehinggakan ia menjadi tarikan penjual daun pisang. Mereka datang beramai-ramai untuk mengambil daun pisang dan menjualnya kepada pemilik restoran daun pisang. Sumbangan wakil beruk sebelum ini banyak memberi faedah kepada semua pihak, beruk, binatang lain dan manusia.

Wednesday, April 18, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (10)

Ilmu yang diturunkan amat teratur dan jelas. Setiap beruk yang mengikuti penerangannya sejak sebulan lalu kini semakin pandai. Mereka mengenali tumbuh-tumbuhan di sekitar Bukit Putra yang boleh dijadikan ubat. Tahu jenis tumbuh-tumbuhan itu sebagai ubat untuk penyakit tertentu. Antaranya penyakit biasa dihadapi beruk iaitu gatal-gatal, sakit perut atau demam.

Tok Dukun Pandei tidak kedekut dengan ilmunya. Sejak berpuluh tahun lalu, beliau adalah pakar rujuk bagi beruk-beruk yang menghadapi masalah kesihatan. Mereka datang siang dan malam. Mengadu penyakit yang dihadapi. Beliau akan memberi ubat daripada pucuk herba dan air jampinya. Bayarannya tidak mahal. Beliau juga tidak meminta-minta. Terpulanglah kepada pesakit. Yang memberi sebiji pisang pun diterimanya. Apatah lagi jika memberi setandan. Bolehlah bertahan sehingga dua minggu.

Bagi aku, jika kadar bayaran mahal, maka pendek umurlah. Sebagai ibu tunggal, tiada siapa yang boleh membantu aku untuk menyara kehidupan. Kena kerja sendirilah. Meyara diri dan membesarkan Jibam. Itu sebabnya aku sering menyimpan makanan untuk hari-hari di mana aku tidak mampu untuk bergerak. Terutama ketika aku diserang penyakit semput. Adakalanya berlarutan beberapa hari. Jibam hanya mampu melihatnya saja.

Tok G sendiri yang mengarahkan Tok Dukun Pandei mengajar beruk-beruk lain yang berminat dalam ilmu itu. Bagi Tok G, ilmu itu perlu diperturunkan memandang usia dukun itu yang kini memasuki fasa senja. Walaupun Tok Dukun Pandei kuat berjalan tetapi matanya kabur dan sering dibantu oleh anaknya, Misai Melentik.

Tok G tahu Misai Melantik mampu menggantikan bapanya. Tetapi beliau mahu lebih dari itu. Mahu lebih ramai beruk mempunyai kemahiran berkenaan. Sudah tentu untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Dalam penerangannya itu, Tok Dukun Pandei menyebut bahawa banyak tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ubat di Bukit Putra hampir pupus. Ini angkara manusia yang sering bertandang mencari pelbagai jenis tumbuhan herba. Mereka sanggup meredah hutan untuk mencari pokok tongkat ali biasa dan hitam. Namun, tindakan mereka tidak bersopan dan rakus dengan mengambil banyak pokok di sesuatu kawasan tertentu. Sepatutnya mereka mengambil di beberapa kawasan berbeza untuk membolehkan pokok-pokok kecil membesar dan membiak. Janganlah pula menggondolkan kawasan itu. Ia juga tidak baik untuk mengawal keadaan tanah terutama ketika musim hujan.

Tok Dukun Pandei juga menyebut ada sebuah gua berdekatan dengan tiang telekomunikasi di atas bukit. Menurutnya, gua itu terlalu gelap dan sempit sehinggakan tiada manusia yang sanggup masuk ke dalamnya. Namun, beliau percaya apabila kawasan Bukit Putra diterokai seluruhnya, sudah pasti gua itu akan dimasukki.

Mengikut cerita Tok Dukun Pandei lagi, di dalam gua itulah dikatakan tinggal sekumpulan ular sawa yang sering menjadikan beruk sebagai habuan mereka. Ular-ular ini bergerak pada waktu malam. Oleh kerana mereka boleh menyusur pokok, maka beruk yang sedang tidur adalah mangsa yang paling diminati. Tidak hairanlah banyak cerita mengenai kehilangan anak, ibu, bapa atau anggota keluarga akibat tindakan licik ular sawa berkenaan.

HILANG LAPTOP...BOLEH HILANG HARGA DIRI?

Tidak kira, sama ada anda memikirkan ia berat atau menyusahkan... jangan tinggalkan laptop atau komputer riba di dalam kenderaan. Ini pesanan penting bagi yang belum tahu atau yang suka terlupa.

Penyangak kini mempunyai alat untuk mengesan laptop yang disimpan di dalam kenderaan. Tidak kira di mana anda menyimpannya.

Biarlah penat membawanya..ke sana ke mari...selagi di sisi, ia akan terus dimiliki.

Namun, jika anda berfikir bahawa dengan membungkus laptop atau menyorok di tempat amat tersembunyi, laptop anda akan selamat....

Jawapannya...ya...ia selamat. Akan selamat meninggalkan anda.

Selain nilai fizikalnya, anda akan rugi kerana laptop menyimpan banyak rahsia. Ada antaranya terlalu peribadi. Harga diri.

Jangan terkejut jika gambar bogel sendiri yang anda ambil dan disimpan dalam laptop akan ditonton oleh dunia.... gara-gara kehilangan laptop.

Dalam pada itu, sekadar bertanya, mengapa pula simpan gambar bogel sendiri dalam laptop? Bukankah satu tindakan...B.. dot dot dot dot....... Jangan cari nahas.

Tuesday, April 17, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (9)

Jibam sudah lama terlena. Penat agaknya bermain di bawah bukit tadi. Aku masih sukar melelapkan mata. Terkebil-kebil merenung bulan penuh. Membayangkan apa yang berada di bulan. Apakah ada beruk di bulan? Jika ada, adakah mereka lebih cerdik daripada beruk di Bumi?

Tergiang-giang kata-kata ibuku, Timah Tembam, ketika ia membelai rambutku tidak berapa lama dulu. Anakku...kita ni selepas mati akan hidup semula. Ada yang terus menjadi beruk atau haiwan lain. Ada juga yang menjadi manusia. Macam mana boleh jadi begitu? Yelah..kalau kita lihat ada beruk yang berperangai macam manusia. Suka membantu beruk lain. Baik hati. Peramah dan tidak menyombong. Ada pula manusia yang berperangai beruk. Selekeh dan tidak senonoh. Membuat kotor di merata tempat. Kencing di pokok. Buang air besar merata-rata. Meludah tidak bertempat.

Mengapa pula kejadian alam begitu mak? tanyaku. Itulah putaran hidup. Alam mahu kita menjadi pelbagai bentuk dan merasai kehidupan seperti itu. Jadi kalau beruk tu baik, boleh tak kita panggil dia manusia? Mengapa pula begitu...kalau beruk tu baik, kita panggil beruk yang baik. Begitu juga manusia. Kalau perangai dia macam syaitan maka kita panggil manusia berhati syaitan. Kejam. Dengki khianat. Adakalanya semua nak dibolotnya. Macam si Kengkang Besar tulah.

Ibuku mati kerana demam panas. Demam yang menyerangnya selama dua hari terus meragut nyawanya. Mayatnya diletakkan di kawasan berbatu besar berhampiran lebuhraya yang dibina oleh manusia. Tiga hari aku tidak makan merindui ibuku.

Ibu banyak membantu dalam membentuk aku menjadi beruk yang baik. Dia mahu aku hidup sederhana. Tidak mencuri dan merampas hak beruk lain. Ibu mahu aku sentiasa beradab. Tidak membuat sebarang tuduhan tanpa sebarang usul periksa. Jangan syak wasangka. Jangan jadi beruk digelar Mawas Jingga membuat tuduhan yang bukan-bukan. Tuduh orang mencuri dan merampas pisang beruk lain. Periksalah dulu sebelum membuat tuduhan melulu. Jangan mencerca dan menghina beruk lain.

Ibu juga berpesan, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Ini mengingatkan kejadian minggu lalu yang menyaksikan Jari Manis terbunuh dilanggar lori tanah. Beliau cuba menyelamatkan anak Ekson yang ingin mengambil makanan di atas jalan. Tindakannya membawa maut. Badan Jari Manis terpelanting di atas batu dan terus mati di situ. Anak Ekson terselamat. Aku yang melihat kejadian itu, tergamam. Amat sedih.

Aku sangat geram dengan pemandu lori tanah yang tidak berperikemanusiaan. Hendak diketuk-ketuk kepalanya. Bagiku, perangainya tak ubah seperti beruk. Memandu laju tanpa memperdulikan keselamatan manusia atau beruk. Oleh kerana Jari Manis seekor beruk, maka tiada tindakan diambil terhadap pemandu lori tanah itu. Mayat Jari terbujur kaku. Daging dan darah bertaburan. Tidak dipedulikan. Keadaan yang berbeza akan berlaku jika manusia durjana itu melanggar manusia lain. Sudah pasti lehernya akan dijerut di tali gantung.

Selain itu, aku juga meluat dengan sikap manusia yang pengotor. Membuang sampah sesuka hati. Oleh kerana mahu dalam kereta bersih, sampah dilontar keluar. Luar kereta ada tong sampah besar. Pelbagai bahan dibuang. Kotak rokok, plastik minuman, puntung rokok, tisu kotor dan banyak lagilah yang tidak boleh disebut semuanya. Sudah buat perangai tidak senonoh tu, muka selamba saja. Macam tiada apa-apa yang berlaku. Manusia Pengotor. Manusia tidak beradab. Manusia Pencemar Alam.

Manusia begini perlu meletakkan pelekat BERUK DALAM KERETA INI di cermin kereta mereka. Barulah orang faham mengapa mereka bertindak sedemikian. Inilah perbuatan manusia yang macam beruk. Akibat tindakan mereka yang tidak senonoh itu menyebabkan Jari Manis terbunuh.

Kokokan nyaring ayam hutan membuat aku terjaga. Hari sudah pagi. Hari baru kini bermula.

SURAT TERBUKA UNTUK EDDIE

Kehadapan yang dihormati Eddie @ Suhaimi Sulaiman.

Terlebih dahulu saya berdoa kepada Allah SWT agar Eddie sentiasa sihat walafiat dan mendapat perlindungan daripadaNYA sepanjang masa. Saya juga berdoa agar Eddie dilimpahi lebih banyak rezeki halal pada hari-hari mendatang.

Saya amat terharu (hairan pun ada) dan hampir menitiskan air mata (hampir ya...belum jatuh lagi)apabila mengetahui saudara mencalonkan saya untuk satu anugerah yang dipanggil Thinking Blogger Award.

Ini kerana pencalonan saudara itu adalah satu PENGIKTIRAFAN kepada sumbangan saya dalam dunia blogger sejak Februari lalu.

Sebagai orang baru, saya rasa belum layak untuk menerima anugerah berkenaan sehinggalah berjaya mencetuskan idea dan pandangan bernas dalam tahun-tahun akan datang.

Sehubungan itu, dengan rasa rendah diri, saya menolak pencalonan saudara untuk anugerah itu bagi memberi laluan kepada blogger yang telah banyak memberi sumbangan kepada pemikiran kreatif rakyat Malaysia.

Yang Benar,

Ibrahim Yahaya

DAPHNE LING...GADIS CINA BERHATI MULIA


(Aisya dan ibu. Gambar oleh TheStar Online)

MAKLUMAT TERKINI ADIK AISYA DARIPADA DAPHNE LING.

Encik Ibrahim,

Kutipan derma untuk Aisya telah mencapai RM 12 840. Kutipan ini tidak termasuk sumbangan lampin-pakai-buang, nestum, susu, dan glucose untuk Aisya selama setahun. Kami juga mendapat sumbangan untuk membeli mesin suction untuk membantu dalam masalah kahak Aisya, bernilai RM 1600.

Kalau Encik ingin mengetahui cerita yang sepenuhnya, lawatlah blog saya di www.daphneling.blogspot.com, atau blog Marina Mahathir di www.rantingsbymm.blogspot.com.

Terima kasih kerana menyokong kempen kami. Malangnya, saya baru perasan, dan tidak mengucapkan terima kasih kepada Encik dalam blog MarinaM.

Salam ikhlas,
Daphne Ling


----------------------------------------------------------------
UNTUK SDR DAPHNE LING,

(GADIS CINA BERHATI MULIA)

JANGAN RISAU
ORANG SASAU
SUKA MERACAU

JANGAN BIMBANG
ORANG OTAK TAK KEMBANG
KECIL MACAM KUMBANG

JANGAN PEDULI
ORANG MUKA KUALI
URAT OTAK BESAR TALI

JANGAN DENGAR SI TUNGGUL
DAPHNE JANGAN SUGUL
DAPHNE TETAP UNGGUL

1.45 petang.
Bangsar, Kuala Lumpur.


(nota: tulisan di atas berkaitan kenyataan tidak beradab Melayu Jati terhadap DAPHNE)

Monday, April 16, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (8)

Semalaman beruk di Bukit Putra tidak tidur. Mereka diserang oleh anjing-anjing liar. Beratus-ratus ekor. Entah darimana. Kami bernasib baik kerana anjing tidak boleh memanjat. Tetapi melihat muka mereka, amat menakutkan. Gigi taring yang tajam ditayang untuk menakut-nakutkan kami. Kuku di jari dicakar di pangkal pokok. Bunyinya amat menakutkan. Bagi kanak-kanak, ada yang menjerit-jerit dan terkencing-kencing. Malam tadi, ibarat satu malam malapetaka di Bukit Putra.

Serangan itu bermula selepas hujan berhenti dan matahari terbenam. Beratus-ratus anjing terus mengejar dan menyalak kuat. Mereka berlari pantas seperti dirasuk syaitan. Nasib baik, semua beruk sempat memanjat pokok. Beruk Bukit Putra harus berterima kasih kepada Rambut Panjang yang memberi amaran awal kepada semua beruk-beruk. Ini kerana Rambut Panjang mempunyai suara nyaring yang menyedarkan semua beruk untuk segera mencari perlindungan. Ketika itu, Rambut Panjang berada di bawah bukit tempat bermulanya anjing-anjing liar menyerang.

Kekalutan itu menyebabkan kebanyakan beruk memanjat pokok yang terdekat. Ada yang menumpang rumah rakan kerana tidak sempat pulang ke rumah. Untuk bergayut pun mereka takut. Manalah tahu, kalau jatuh ketika bergayut, sudah pasti nyawa melayang.

Kumpulan anjing liar ini diketuai oleh dua ekor anjing hitam. Mereka dibantu oleh timbalan-timbalan yang setia bertindak bila-bila masa. Anjing hitam memberi arahan agar kuncu-kuncunya menyerang beruk tanpa belas kasihan. Setiap beruk mesti dibunuh dengan kejam. Badan mereka dirobek-robek dan dicampakkan ke dalam gaung berdekatan Bukit Putra. Arahan seumpama itu sudah tentu menakutkan beruk.

Setelah semalaman mereka menyalak dan cuba mendapatkan kami, kumpulan anjing-anjing liar itu mula beredar apabila matahari mula terbit. Mereka pergi sekelip mata.

Inilah pertama kali kejadian seumpama itu berlaku. Sebelum ini, wujud pertengkaran kecil antara beberapa anjing dan beruk di kawasan bawah bukit kerana berebut bungkusan nasi yang ditinggalkan. Ia tidak membabitkan pergaduhan besar. Tetapi kali ini ia berbeza kerana membabitkan ratusan anjing liar. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan anjing-anjing liar itu bertindak demikian.

Menjelang tengahari, semua beruk di Bukit Putra berkumpul di rumah Tok G. Inilah pertemuan besar pertama sejak Tok G mengambilalih pentadbiran Bukit Putra.

Dalam pertemuan itu, Tok G melantik Rambut Panjang untuk mengetuai sepuluh kumpulan beruk-beruk jantan untuk mengawal Bukit Putra. Mereka dibahagikan mengikut kawasan pemilihan perwakilan. Mereka menggunakan bunyi tertentu untuk memberi pelbagai isyarat. Antaranya ialah kedatangan anjing-anjing liar dan kemungkinan bentuk serangan balas yang boleh dilakukan.

Beruk Bukit Putra kini lebih bersedia. Mereka menjadi kumpulan yang kuat dan tersusun. Beruk sedia bertindak menentang anjing-anjing liar. Mereka telah membuat beberapa perangkap di sekitar bukit termasuk menggali lubang dalam. Lubang itu diisikan dengan onak dan duri. Ada juga yang menggunakan buluh sebagai perangkap. Ini dibuat dengan melenturkan buluh dan apabila dipijak, buluh akan menerjah mangsa.

Selain itu, kumpulan pengawal telah menggunakan rotan yang banyak di kawasan bukit untuk membuat pagar di kawasan tertentu. Bagi beruk betina yang tidak berteman seperti aku, mereka digalakkan duduk beramai-ramai di kawasan berpagar.

Malam itu, kami menunggu dengan sabar. Tetapi anjing-anjing liar itu tidak kelihatan. Ini berlarutan sehingga sekarang. Namun, Tok G meminta kumpulan pengawal di bawah Rambut Panjang terus berwaspada untuk menjaga kepentingan beruk Bukit Putra.

Sunday, April 15, 2007

KESABARAN TANGGA KEJAYAAN

Nak jadi kaya bukan senang. Perlu berusaha. Tidak ada jalan mudah. Tanyalah orang sudah berjaya seperti TS Azman Hashim, TS Lim, TS Syed Bukhary atau Ananda Krishnan. Pasti mereka kerja kuat sebelum berjaya. Yang kaya tiba-tiba tu, mungkin nasib, habuan terpijak atau menerima harta keluarga. Bilangan mereka kecil.

Seorang pengusaha restoran yang berjaya di Perak bermula daripada menjual nasi campur di sebuah kedai kopi China. Beliau masak di rumah dan membawa makanan itu ke restoran. Ini kerana restoran itu tiada kemudahan memasak. Ketika orang lain sedang dilamun mimpi, beliau bangun ke pasar menaiki basikal. Adakalanya basah kuyup kerana hujan. Balik ke rumah terus memasak dan kemudiannya ke restoran. Ini dilakukan setiap hari tanpa mengenal penat, tanpa cuti rehat.

Bermula dari situlah, pengusaha wanita ini bekerja keras sehingga mampu menyewa restoran di tempat lain. Namun, tempat lama dikekalkan kerana ramai pelanggan. Beliau berjimat dan menyimpan wang. Setelah cukup wang, beliau mula membeli kedai dan membuat restoran yang terbaik di negeri itu.

Seorang pengusaha pelancongan yang berjaya di rantau ini juga bermula daripada bawah. Beliau sendiri memandu van dan memberikan penerangan kepada pelancong. Apabila ramai pelanggan, beliau terpaksa bekerja siang dan malam. Kegigihannya membolehkannya membuka rangkaian perkhidmatan pelancongan berjaya di rantau ini.

Seorang kontraktor besar bermula dengan pejabat kecil di kedai dua tingkat. Beliau membuat projek kecil-kecilan. Kini, beliau sudah melaksanakan pelbagai projek termasuk membina bangunan di merata tempat dan universiti. Kesungguhannya menjadi terbaik adalah tangga kejayaannya mendapat peluang melaksanakan pelbagai projek.

Banyak lagi cerita kejayaan seperti ini yang bermula daripada bawah.

Hakikat ini membuktikan tiada jalan mudah untuk berjaya. Ini termasuk bidang perniagaan. Bermulalah dari kecil. Perlu berusaha bersungguh. Sabar jika menghadapi dugaan. Sudah tentu dalam perniagaan ada halangan dan cabaran. Antaranya kekurangan modal atau bayaran lambat setelah perkhidmatan diberikan. Namun, jika ada perancangan tertentu sudah tentu ia dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

HIKAYAT JINNAH BROK (7)

Jinnah…Jinnah…cepatlaaa turun. Sirimau berada di pangkal pokok. Tercungap-cungap. Aku segera turun. Jibam mengikuti di belakang. Jinnah, budak yang hilang itu dah jumpa.Bila? Petang tadi. Syukur pada tuhan. Ini semua doa kita semualah tu. Aku ni sejak kau cerita dulu, selalu perhati-hatikan si Jibam itu. Dia ni kadang-kala senyap-senyap hilang. Takutttt aku jadi apa-apa kat dia. Kau dari mana Rimau. Aku ni, Tok Yem lepaskan untuk beberapa jam di sini.

Sirimau ini berasal dari Pulau Bali, Indonesia. Tok Yem 'mengambilnya' daripada seorang Kiyai di sana. Hanya Tok Yem yang boleh melihat Sirimau. Harimau jadian. Manusia lain tidak boleh kecuali yang berilmu. Haiwan boleh melihatnya. Kiyai dari Pulau Lombok menyerahkan Sirimau kepada Tok Yem untuk menjadi pengawal peribadinya. Jaga Tok Yem daripada anasir-anasir halus dan manusia jahat.

Tok Yem cerita... ada orang nak jual tanah kat belakang Putra Hait. Kampung Tengah. Besarke tanah tu? Kau nak beli ke? Laa…macam mana pula aku nak beli, aku ni beruk. Nak buat apa dengan tanah? Hai..manusia berlumba-lumba cari tanah, kau tak nak pulak. Ada manusia yang dapat tanah, terus jadi jutawan. Kata nak buat projek, tapi serahkan kat orang. Yang dah ada tanah pun tamak, nak tanah lagi. Dulu-dulu... aku dengar ada tanah kerajaan yang orang teroka. Kemudian jadi setinggan. untuk dapatkan tanah tu je. Ada juga kerja bagus tetapi duduk rumah setinggan untuk dapat tanah tu. Ada ye manusia jenis ini.

Cukuplah aku tinggal di Bukit Putra ni. Pemandangannya indah. Kalau malam, lagi cantik. Mengapa Tok Yem lepaskan kau waktu siang saja? Waktu malam tak boleh. Aku kena jaga rumah, terutama jika Tok Yem takde. Dulu, tempat ini, Tok Yem kata tempat jin bertendang. Apa tu? Yelah, tempat pelbagai jenis manusia halus tinggal. Sekarang ada lagi ke? Dah lari, sebab banyak wayar elektrik kat sini. Mereka takut elektrik. Betulke? Yeela..itu Tok Yem kata.

Tanah yang dijual itu banyak beruk ke? Tak tahu, tapi dia orang kata ladang kelapa. Pokok buah-buahan ada tak? Mengapa? Kamu nak pergi makan dulu ke? Takla..aku tanya je, jika Tok Yem beli tanah itu dan ada banyak rambutan, bolehlah aku tumpang sekaki. Tok Yem tak nak beli, dia nak cari orang yang ada duit untuk membelinya.

Aku bertemu Sirimau ni dalam suasana yang pelik. Aku selalu ke rumah Tok Yem ketika dia baru pindah ke Putra Hait. Di rumahnya, ada beberapa pokok herba yang boleh aku makan. Apabila ada pucuk baru, kami datang. Apabila Tok Yem dan keluarga keluar, aku dan beberapa beruk lain datang ke rumahnya. Tetapi beruk-beruk lain tak beradab. Adakalanya pasu bunga pun terbalik. Jadi Tok Yem syak ada beruk atau binatang lain datang ke rumahnya. Apabila dia ada Sirimau dari Bali tu, maka dia boleh melihat siapa punya angkara.

Satu hari, ketika kita orang sedang seronok makan pucuk baru pokok herba di rumah Tok Yem, kami disergah oleh Sirimau. Terperanjat beruk. Aku terjatuh ke dalam pasu berair. Tak sempat nak lari. Tetapi Sirimau tak buat apa-apapun. Dia terus mengangkatku daripada pasu itu. Sejak itu, kami jadi kawan baik. Aku membantunya menerangkan keadaan mengenai Bukit Putra dan Putra Hait.

Sirimau banyak bercerita mengenai apa yang didengar daripada Tok Yem. Cerita manusia baik budi, dengki khianat, kuat sedekah dan pelbagai lagi. Kadangkala mendengar ceritanya membuat mulutku terlopong.

Sejak itulah, aku mula mengenali sedikit demi sedikit mengenai perangai manusia. Manusia macam beruk juga.Jadi kalau ada manusia kena ejek macam beruk, mereka boleh kata macam manusia pula. Ada manusia lebih teruk daripada beruk. Lebih tak senonoh daripada monyet.

Saturday, April 14, 2007

DOA BUAT ADIK YIN




YA ALLAH SWT, TUHAN YANG MAHA ESA DAN MAHA MELINDUNGI, AKU BERMOHON PADAMU AGAR YIN DAPAT BERTEMU KELUARGANYA SEGERA.

Marilah kita sentiasa berdoa dan bersembahyang hajat agar YIN kembali kepada keluarganya segera.

Artikel [ Berita Harian ]mengenai sembahyang hajat berjemaah.

---------------------------------------------------------------------------
UPDATE 8.09 MALAM

ALHAMDULILLAH. ALLAH SWT MEMAKBULKAN DOA KITA SEMUA.


Yin DiTemui Di Sentul

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kanak-kanak yang hilang Mohammad Nazrin Shamsul Ghazali ataupun Yin ditemui selamat di Sentul petang ini, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC I Zulhasnan Najib Baharuddin.

ANAK DADDY DAH BESAR...



(Kalau nak cepat besar, selalulah makan)

SELAMAT HARI LAHIR

NOOR CYNTA CAMILIA

SEMOGA ALLAH SWT MEMELIHARAMU DUNIA DAN AKHIRAT.

APA ITU BLOG? SEMAKIN RIUH RENDAH

Sembang kawan di [ Agendadaily ] menerangkan kepada kita apa itu yang dikatakan blog.

HAMPARKAN SEJADAH MEMBANTU UMAT

Setiap Jumaat, beliau akan mengutip sejadah daripada lima bilik dirumahnya. Dibawa ke masjid. Lalu dihamparkan berdekatan tiang besar Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar. Ini untuk membolehkan orang bersembahyang di atasnya berbanding hanya berlantaikan simen.

Seterusnya, beliau akan naik ke masjid untuk sembahyang. Sejadah itu ditinggalkan untuk memudahkan orang terlambat ke masjid bersembahyang.

Usaha ini yang dilakukan sejak sekian lama turut dibantu oleh anaknya sekarang. Anaknya, kadangkala melipat dan membawa balik sejadah itu. Malah, beliau berpesan agar anaknya meneruskan tradisi menghamparkan sejadah itu untuk tahun-tahun seterusnya.

BETAPA MURNINYA JIWA MANUSIA INI.

Selama ini, orang ramai sudah pasti menyangka sejadah itu milik masjid. Allah SWT maha mengetahui. Kehidupannya baik seperti jiwanya.

Saya suka memanggilnya WALIKOTA.

Semoga ramai yang mengikuti jejak langkahnya.

HIKAYAT JINNAH BROK (6)

Mimpiku pelik malam tadi. Aku berada di sebuah rumah di Lorong Tempinis Kanan 3, Lucky Garden. Rumah tu gelap tetapi yang hairannya banyak beruk dan monyet tinggal di situ. Tiang dan papan yang dipasang memudahkan monyet memanjat rumah berkenaan.

Dalam mimpi itu, monyet bercerita bahawa manusia takut untuk tinggal di rumah berkenaan kerana kisah sebuah keluarga yang mati dibunuh di situ. Cerita monyet itu lagi, isteri penyewa rumah itu dibunuh dan mayatnya dipotong-potong. Sehingga sekarang rumah itu tertinggal begitu saja. Tiada seorang manusia yang berani tinggal di situ kerana setiap malam mereka diganggui oleh lembaga tertentu.

Sebelum ini, ada seorang pemandu lori tinggal di situ. Tetapi beliau juga takut kerana diganggu oleh lembaga hitam yang berkeliaran dalam rumah itu. Oleh kerana manusia takut hantu, maka monyet dan beruk mengambil alih rumah berkenaan. Ini kerana lembaga itu dikatakan sudah lari kerana mereka takut dengan beruk dan monyet. Manusia takut hantu. Hantu takut beruk. Terror lagi beruk.

Dalam mimpi itu, aku dan Jibam dibawa oleh monyet dan beruk di situ, memanjat pokok rambutan yang ditanam di bawah high tension wire di kawasan itu. Bayangkan di tengah-tengah Lucky Garden ada dusun buah-buahan. Maka kami berpesta beramai-ramai sehinggalah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memancutkan air ke arah kami. Ini disebabkan penduduk membuat aduan mengenai perangai monyet dan beruk kami.

Apa yang manusia tidak tahu bahawa monyet dan beruk itu tinggal di rumah "berhantu" berkenaan. Kalaulah mereka tahu mimpi ini, sudah tentu mereka akan datang mengelidah rumah berkenaan. Setakat ini, monyet dan beruk bebas untuk menjadikan rumah itu sebagai istana kediaman mereka.

Mak..mak..ni buah apa? Aku tersentak dengan soalan Jibam. Buah epal. Mana kamu dapat ni? Ada orang baling kat Jibam di bawah bukit tu. Dia bagi kau epal ke atau baling buah tu kepada kamu. Tak tahulah..tapi baling dan bagi itu sama je...kan Jibam dah dapat buah ini. Boleh makan ke? Boleh. Gigit perlahan-lahan. Ok..Mak. Jibam berlalu turun bermain di pangkal pokok.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami amat bertuah kerana ramai manusia yang memberi kita makan. Mereka menaburkan makanan seperti buah-buahan di tapak gerai yang sudah lama ditinggalkan. Sebelum ini, ada abang yang berniaga di situ tetapi beliau tidak lagi berjualan sejak tahun lalu. Maka tempat itu dijadikan tempat pemberian makanan kepada beruk-beruk Bukit Putra.

Mataku terus memerhati Jibam dari atas. Aku tidak mahu dia merayau-rayau yang boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan berlaku. Kadang-kala anak ini, kalau kita lepa sedikit mereka akan pergi jauh. Sirimau berkata, seorang kanak-kanak baru-baru ini hilang di sebuah kompleks membeli-belah. Aku boleh merasai bagaimana perasaan ibu bapa mereka dengan kehilangan anak tersayang. Aku berdoa mereka menemui kembali anak itu. Ramai yang membantu. Itulah semangat kekitaan.

Wakil beruk yang baru di kawasan aku, Kubang Besau, setakat ini memang bagus. Selepas menang, beliau terus menemui beruk-beruk di kawasannya untuk mengucapkan terima kasih dan bertanya khabar. Ramai beruk-beruk mengemukakan masalah mereka. Aku bercerita mengenai masalah banjir apabila hujan lebat. Beliau berjanji mahu menolong.

Harap-harap begitulah. Ini kerana kebiasaannya wakil beruk ini berkerja keras selepas menang pemilihan. Penyapu baru katakan. Tetapi selepas mendapat habuan daripada ketua mereka, beruk-beruk yang diwakili tidak dipedulikan. Tetapi aku yakin Kebau ini seorang wakil yang baik. Ini kerana bapanya, Jering Tinggi adalah seorang pakar memanjat pokok jering yang sering memberi buah jering yang lebih kepada beruk-beruk lain. Oleh kerana kepakarannya memanjat pokok jering itulah beliau mendapat nama.

Mak..mak ..saya dengar kedai dekat bukit kita di sebelah timur tu akan dibuka. Mana kamu tahu? Kawan-kawan cakap mak. Dia orang ajak pergi kat situ. Tak usah...jangan kamu mandai-mandai nak pergi kat situ. Situ banyak anjing liar tu. Oklah mak. Jibam turun semula dan bermain dengan rakan-rakannya termasuk anak Ekson.

Friday, April 13, 2007

KUSYI HIRDAN BUKAN ORANG BARU

Kusyi Hirdan baru menulis novel. Tetapi beliau adalah wartawan berpengalaman. Wanita pemalu tetapi ramah ini kini mula mewarnai dunia penulisan novel kanak-kanak. Ikuti penulisan Kusyi mengenai [ rakan ]dalam blognya.

PENGALAMAN CHEREE MENDEBARKAN......

Nama CHEREE amat unik. Apa lagi melihat orangnya. Namun, yang lebih menarik ialah tugasan yang dilalui sepanjang lebih 20 tahun.

Kebanyakan anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri mengenalinya. Ini kerana beliau sering mengikuti mereka. Tugasnya nampak mudah tetapi adakalanya berbahaya. Beliau pernah ditahan di Afrika oleh Pasukan Tentera sebuah negara dan hanya dibebaskan selepas mendapat kebenaran seorang jenderal.

Ikuti pengalaman CHEREE dalam blog ini.

BERAPA TIANG LAMPU DI KUALA LUMPUR?

Pemandangan pagi ini di Bangsar agak berlainan. Sekumpulan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membersihkan semua tiang (lampu, telefon), papan tanda, kotak TNB dan papan kenyataan daripada kertas "tampalan" pihak tertentu.

Pembersihan ini terpaksa dilakukan kerana tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengotorkan Bandaraya. Bayangkan mereka terpaksa membersihkan semua tiang, papan tanda dan kenyataan daripada "kecacatan" itu. Sudah tentu di seluruh KL.

Antara mereka yang membuat tampalan itu ialah:
1. Golongan peminjam wang segera
2. Perkhidmatan pembetulan paip
3. Perkhidmatan pemasangan elektrik
4. Rumah/Kedai untuk disewa atau beli
5. Perkhidmatan mengurut badan, urat dan "barangan" tertentu.
6. Perkhidmatan mencari jodoh
7. Binatang kesayangan yang hilang
8. Khidmat tambah pendapatan.
9. Ubahsuai rumah

Adalah dicadangkan agar DBKL membuat penyiasatan teliti dan mencari mereka ini ke akar umbi untuk "membayar" kekotoran yang dilakukan daripada membazirkan duit untuk mengambil kakitangan tertentu. Kenakan denda yang berat. Nombor telefon tertera di kertas itu. DBKL juga perlu menyediakan tempat yang dibenarkan untuk menampal kenyataan berkenaan seperti di Seven Eleven dan stesen minyak.

Ada lapan kakitangan yang memakai kemeja T bertulisan "Unit Kecemasan DBKL" dan "Unit Operasi Khas DBKL" serta kemeja T biasa yang digerakkan untuk tujuan itu. Tidakkah "kecacatan" ini boleh diselesaikan dengan cara tersusun dan lebih bijak?

HIKAYAT JINNAH BROK (5)

Tok Dolmat Telinga Capang amat marah. Kumpulannya kalah dalam pemilihan wakil beruk semalam. Kemarahan itu amat jelas. Telinganya yang capang itu kelihatan bergerak-gerak. Matanya merah menyala umpama biji saga. Orang di sekelilingnya amat kecut. Ini termasuk Khenot yang kalah teruk bagi kawasan bawah bukit selatan. Beliau dikalahkan oleh Kubang Kebau, anak Jering Tinggi.

Dalam pemilihan kali ini, perwakilan beruk dikuasai oleh kumpulan yang diketuai oleh Tok Gigi Jarang. Ini termasuk orang nombor duanya, Tok Boroi Besau. Tok Dol menggunakan lambang bukit manakala Tok G memakai lambang pokok kelapa sawit.

Di kem Tok G diadakan kenduri doa selamat. Jinnah dan Jibam ada disitu. Mereka menikmati makanan enak seperti pelbagai jenis pisang, tembikai susu, isi kelapa, air kelapa muda dan biji getah.

Bukan main bedal si Jibam. Macam beruk tidak pernah makan. Jinnah mententeramkan anaknya. Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh. Nanti tercekik. Jalan. Siapa nak jaga mak? Baik mak, jawab Jibam perlahan. Tetapi gerak langkah hanya terhenti seketika. Jibam terus makan, tanpa melihat kiri kanan. Jinnah hanya boleh menggelengkan kepala saja. Tidak terdaya hendak menegur selalu.

Pemilihan wakil beruk diadakan setiap 100 kali hujan. Ini bermakna selepas hujan seratus kali, maka diadakan pemilihan beruk di Bukit Putra. Ada sepuluh perwakilan iaitu bawah bukit utara, selatan, timur dan barat. Atas bukit utara, selatan, timur dan barat. Dua lagi kawasan ialah menara telekomunikasi dan kawasan bawah high tension wire (htw). Kumpulan yang menang boleh membuat peraturan sesuka hati mereka sehinggalah pemilihan akan datang. Hanya dua kumpulan terbabit.

Kebetulan kumpulan Tok Dol memegang pemerintahan Bukit Putra lebih lama sikit kali ini kerana musim kemarau yang berpanjangan. Maka pelbagai dasar dilaksanakan oleh Tok Dol sehingga menyebabkan ramai beruk yang tidak suka. Antaranya meminta semua beruk menyumbangkan tiga biji pisang setiap minggu kepada dana kumpulan. Sebelum ini, Kumpulan Tok G, hanya meminta beruk menyumbangkan sebiji pisang saja.

Kumpulan Tok Dol, dikatakan memenangi pemilihan sebelum ini dengan memberikan buah rashu kepada beruk-beruk yang layak mengundi dalam pemilihan. Mereka menguasai lapan daripada sepuluh kerusi. Namun, kali ini taktik Kumpulan Tok Dol tidak diterima lagi kerana pelbagai dasar dan perubahan yang dilakukan amat memeritkan kebanyakan beruk-beruk di Bukit Putra termasuk Jinnah.

Klimaksnya ialah apabila Kumpulan Tok Dol memaksa semua beruk membuang air kecil dan besar di bawah pokok ketika waktu malam. Tindakan itu amat dimarahi oleh beruk-beruk kerana peraturan baru itu tidak memikirkan keselamatan beruk. Kumpulan Tok Dol melaksanakan peraturan itu berikutan kejadian Tok Dol terkena air kencing Kembang Baru ketika mengutip biji getah di bawah pokok Kembang. Mengutip biji getah adalah pengakuan Tok Dol ketika kejadian itu berlaku. Itu yang menyebabkan beliau memaksa peraturan itu dibuat serta-merta.

Namun, bagi beruk-beruk Bukit Putra, tindakan itu tidak wajar. Bagi mereka, takkan kerana terkena air kencing Kembang akibat Tok Dol merayau di waktu malam, menyebabkan peraturan itu dibuat. Ini boleh mengakibatkan nyawa beruk-beruk Bukit Putra melayang ditelan ular sawa atau binatang buas. Tetapi ramai yang mengesyaki Tok Dol membuat "perkara lain" di bawah pokok Kembang Baru.

Apapun, Kumpulan Tok G memenangi tujuh daripada sepuluh perwakilan kali ini. Tok G mewakili kawasan bawah bukit timur. Tok Dol yang mewakili kawasan menara telekomunikasi memenangi pemilihan bersama dua beruk yang mewakili atas bukit utara dan atas bukit timur.

Jinnah dan Jibam sudah sampai ke rumah mereka. Terasa senak perut kerana terlalu kenyang. Jika dulu, beliau terpaksa turun ke pangkal pokok untuk menyahut panggilan alam tetapi kini tidak perlu lagi. Dari atas pokoknya, sambil tersenyum, beliau membuat "kerja itu", setidak-tidaknya sehinggalah pemilihan yang akan datang.

Thursday, April 12, 2007

PERBUALAN 6 : SALAH DAN KELAKAR

Perbualan tiga serangkai - Abang, kakak dan adik

Abang : Nice drawing kakak..
Kakak : Thank you abang
Adik : Wahh...kakak... you are good drawer
Abang : Which table adik? Not drawer...Good artist laa..

Perbualan masa interview di sebuah syarikat akhbar.

HR Officer : What are you doing right now?
Candidate : Nothing.
Tiger : Is your mother working?
Candidate : Yes. She is a cooker.
Tiger : What is the brand?
Candidate : Hotel (selamba je jawab, tak perasan soalan cepumas)
Tiger : ? ? ? ??
HR Officer : Next...

HIKAYAT JINNAH BROK (4)

Syukur pada tuhan. Jika tidak jumpa Jibam, aku tidak tahu apa akan jadi dengan nasibku. Ketika aku jumpa anakku, dia sedang tidur nyenyak di bawah bukit. Kekenyangan. Makan nasi yang ditinggalkan oleh pemotong rumput Bangladesh.

Seulas nasi pun tak tinggal. Mungkin dia dengar pesanan aku supaya jangan makan bersepah. Jangan tinggalkan seulas nasi. Rezeki kena jaga. Nasi bukan senang dicari. Itupun mengharapkan tinggalan orang. Kali terakhir kami anak beranak makan nasi ialah bulan lalu. Itupun pekerja Rika Corner memberi kita orang makan. Tidak berani pergi ke situ kerana banyak anjing liar bekeliaran. Aku tidak faham mengapa pihak berkuasa membiarkan anjing liar berkeliaran. Nak tunggu anjing gigit manusia ke barulah hendak bertindak. Kalau tak percaya datanglah ke Putra Hait.

Ooi Jinnah turunlah... aku kat bawah sini. Melihat ke bawah. Sirimau. Aku dan Jibam bergegas turun. Apa kau buat disini? Aku dilepaskan oleh Tok Yem sekejap. Tengahari nanti dia ambil aku balik kat sini. Kau nak pergi mana? Nak melawat kamulah. Bertanya khabar. Terima Kasihlah. Aku ada bawakan kau nasi sikit, Tok Yem yang bagi. Oklah...nanti aku makan dengan Jibam.

Jinnah kau pernah dengar buah rashu tak? Mengapa? Semalam Tok Yem bersembang dengan isterinya, Joyah mengatakan sekarang ni ramai orang jual buah rashu. Buah rashu tu apa? Tok Yem kata buah rashu tu sedap tetapi memudaratkan. Pasai apa? Sebab kalau makan, dia akan jadi darah daging dan boleh buat hidup kita tidak menentu. Oleh itu, janganlah makan. Eh...eh kamu ni, buah sedap dimakan tentulah manusia cari. Kalau dah memudaratkan mengapa makan? Manusia ni tak kira, dia nak hidup sedap sekarang. Orang bagi buah rashu dia bedal. Orang bagi buah duitkopi pun dia makan.

Sirimau ni sekali sekala dilepaskan oleh Tok Yem untuk merasakan kehidupan hutan di Bukit Putra. Banyak tempat di Bukit Putra ni yang dia dah pergi. Apabila dia datang semua beruk-beruk lari. Kecuali aku. Beruk-beruk tu tak tahu Sirimau ni tak makan daging. Dia makan buah khurma dan ikan mentah. Tok Yem selalu bagi dia makan tu untuk mengelakkan dia gemar makan daging.

Mengapa badan kamu naik sekarang? Dulu aku kurus, orang tanya..Sakit ke? Merana ke? Lalu aku makan banyak-banyak bagi gemuk balik. Kau kena jaga kesihatan. Kalau sakit susah....tapi tak pe kau ada Tok Yem. Kalau aku sakit, mati berukle..siapa yang nak tolong. Sekarang susah ni, tak siapa yang datang nak tolong. Mereka buat tak tahu je. Masa aku lawa dulu, semua menghedeng kat aku. Dunia macam tu la Jinnah.

Kau tak bawa Jibam jumpa bapa dia? Tak tahulah yang mana satu. Mengapa? Yang aku tahu Romo Ekor Panjang tu kan bapa Jibam. Dia tak nak mengaku. Dia kata dia bukan sorang saja yang dapat. Aku bagi tahu dia bahawa dia saja yang aku bagi, tapi dia tak percaya. Jadi apa yang kau nak buat? Tak tahulah Rimau, Jibam pun tak kisah.

Mak..mak..mari kita makan. Aku tersentak. Sirimau sudah lama pergi. Jibam ajak makan nasi yang diberikan oleh Rimau tadi. Marilah kita makan. Kami berdua makan dengan seronoknya. Nasi berlaukkan ikan haruan masak pedas. Terbeliak biji mata Jibam setelah makan lauk pedas itu. Tapi dia tetap makan. Makanan yang digemarinya ialah cempedak goreng yang sering dilemparkan oleh pekerja binaan Indonesia.

Hari tu, nasib baik Jibam tak kena tempeleng oleh Tok Kemot Misai Tebal. Puncanya Jibam main di bawah pokok Tok Kemot. Dia ni panas baran. Semua orang nak ditempelengnya. Janda Tok Kemot sering bagitau perangainya. Kes dia tempeleng anak Kunyah belum selesai lagi. Sekarang ini sedang dibicarakan oleh Tok Dol dengan beberapa ketua-ketua adat. Silap-silap.. Tok Kemot kena kali ini. Walaupun dia banyak pisang kat kawasannya tetapi kali ini dia pasti kena punya. Dia ingat senang-senang nak tempeleng anak orang. Walau apapun sebabnya, dia kena ikut peraturan Bukit Putra. Bukan undang-undang rimba, siapa kuat dia perintah.

Umur Tok Kemot ni panjang. Dia hampir terbunuh ditanduk babi hutan. Tetapi nyawanya liat. Sempat dia mengelak. Yang mati ialah Jono Jari Panjang. Ketika itu, mereka sedang sibuk mencari pisang di kawasan bawah bukit timur. Jono ni ialah pengkritik kuat Tok Dolmat Telinga Capang. Kalau dia bercakap buruk pasal Tok Dol, sampai ayam berkokok pun dia tak habis. Lepas Jono mati sekarang, tidak ramai yang berani mengutuk Tok Dol. Tok Kemot pun tak berani walaupun dulu dia sering mengata Tok Dol. Dunia....dunia...

JANGAN CEPAT BERUBAH...


(Gambar Hiasan)

Minum pagi dengan kawan di Pelita, Bangsar. Antara topik yang dibincangkan ialah perubahan diri. Beliau sering diingatkan oleh bosnya agar jangan cepat berubah. Berubah itu meliputi aspek perangai, keadaan fizikal dan harta benda seperti rumah dan kereta. Ini tidak membabitkan perubahan dari segi pemikiran yang positif.

Perubahan yang drastik itu memberi kesan negatif. Walaupun, mereka mampu sekalipun, janganlah pula tidak sabar-sabar untuk berubah sehingga menimbulkan syak wasangka.

Umpamanya, baru-baru ini dia bercadang untuk menukarkan keretanya kepada yang lebih selesa. Ini kerana keretanya sudah lebih sepuluh tahun. Oleh kerana mempunyai pekerjaan tetap dan gaji agak baik, maka sesuailah untuk menukar kereta. Itupun dengan bantuan pinjaman bank. Bukan duit terpijak atau turun dari langit.

Namun, apabila terfikir mengenai kenyataan bosnya agar "jangan cepat berubah", beliau tidak jadi membeli kereta mewah yang ingin dijual oleh rakan baik pada harga yang rendah daripada pasaran.

Hakikatnya, orang tidak tahu mengenai transaksi pembelian itu tetapi sudah pasti mempunyai prasangka bahawa beliau mendapat duit terpijak dan terus membeli kereta mewah.

Bagi saya, itulah pegangan yang tepat terutama sekali bagi orang yang baru naik pangkat atau dilantik menjadi ketua sesuatu jabatan. Oleh kerana perubahan yang drastik, sudah tentu pelbagai tuduhan akan dilemparkan.

Namun, saya rasa ramai juga yang tidak bersetuju dengan pegangan itu kerana mereka mempunyai pandangan lain iatu "jangan hiraukan apa orang kata". Dalam konteks ini, kita harus juga memikirkan "apa orang kata" jika ia memberi kesan kepada keluarga atau bos kita. Janganlah kerana cepat berubah maka secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada diri, keluarga dan ketua kita.

Wednesday, April 11, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (3)

Bunyi beruk memanjat seperti ketakutan. Terpancak di depanku. Jinnah cepat...cepat..Tok Dol nak jumpa kau. Mari kita pergi segera. Tok Dol tengah menunggu tu...

Aku bergegas turun bersama Khenot dan Jibam. Mungkin ada perkara penting yang Tok Dol atau nama penuhnya Dolmat Telinga Capang nak jumpa. Aku tumpang Jibam di rumah Ekson sebentar. Harap-harap Ekson dapat jaga Jibam dengan baik. Jika Jibam hilang, aku akan menjadi gila. Minta-minta tuhan jagalah Jibam.

Aku dan Khenot bergayutan untuk sampai ke pokok Tok Dol. Ketibaan kami disambut dengan mesra oleh keluarga Tok Dol.

Ahh...Jinnah, aku dengar kau ada masalah dengan rumah kamu. Apa dia? Tidak tok, rumah aku sering banjir jika hujat lebat. Apa yang boleh aku buat? Tok pindahkan aku ke pokok lain. Pindah tu boleh tetapi kau kena bayarlah tiga tandan pisang. Banyaknye...mana aku nak cari tok. Aku ni kan ibu tunggal dan miskin pula. Dalam dunia sekarang, miskin ke kaya ke ikut peraturan. Mana ada keistimewaan lagi. Semua orang kena sama. Mana boleh tok, orang lain dah kaya dan banyak dapat habuan. Aku ni ibu tunggal dan tidak dipedulikan orang. Jinnah...peraturan, tetap peraturan. Kamu kena ikut. Esok kamu cari tiga tandan pisang, nanti aku carikan kau pokok besar. Kau mahu tak? Aku cubalah tok.

Aku berlalu bersama Khenot. Dia tidak bercakap sepatah pun untuk membela aku. Apa jenis wakil beruk ni. Orang yang memilihnya pun tidak dibela. Nanti kau, apabila ada pemilihan wakil beruk nanti, aku tahulah apa yang hendak dilakukan.

Pertengahan jalan, Khenot dan aku berpecah kerana dia sudah sampai di rumahnya. Aku nampak isteri Khenot, Birbal tersenggih kepadaku. Tidak terdaya untuk membalas balik. Aku terus berlalu. Meninggalkan Khenot, Birbal dan anak mereka Jonggoh.

Dalam perjalanan balik, hatiku sentiasa memikirkan nasib yang menimpa sekarang. Mengapa nasibku jadi begini? Mengapa orang suka menganiayaiku? Apakah aku akan tinggal di pokok bawah bukit yang sentiasa menghadapi banjir? Apakah aku akan hidup melarat bersama Jibam? Tiada jawapan khusus untuk soalan-soalanku.

Setibanya di rumah Ekson, aku mencari Jibam.

Alangkah deritanya hatiku apabila Ekson bagi tahu Jibam sudah tiada. Menurut Ekson, puas dia cari sampai ke jalan raya tapi tak jumpa juga Jibam. Ekson kata mula-mula Jibam bermain dan kemudian tidur bersama anaknya. Lepas tu dia hilang.

Apa nak jadi ni? Anakku hilang. Siapa nak temankan aku hidup ni? Mengapa Ekson begitu kejam tak jaga anakku? Jibam di mana kamu? Kamu dilarikan orang bunian ke? Kamu mengikut beruk kaya ke? Kat mana aku nak mengadu ni? Tolonggglah aku.

RUMAH SATU PELABURAN EMOSIONAL


(Gambar Hiasan)

Ketika makan di Shah Alam tengah hari tadi, rakan bertanya, mengapa kita perlu membeli rumah? Saya jawab untuk diduduki dan membesarkan anak. Seterusnya, beliau menerangkan bahawa penduduk di Australia kebanyakan menyewa rumah mereka. Oleh itu, mereka bebas untuk berpindah apabila rumah yang diduduki tidak sesuai dengan jiwa. Mereka mungkin berpindah kerana teringin sebuah rumah di tepi pantai atau di atas gunung. Mereka berpindah kerana tidak sesuai dengan jiran sebelah atau hadapan.

Seorang penceramah pernah memberitahu bahawa rumah adalah satu "pelaburan emosional". Dalam ertikata lain rumah yang dibeli itulah tempat kita membesarkan anak dan mengharungi pelbagai peristiwa pahit manis. Tidak hairanlah, ada orang yang tidak mahu menjual rumah teres yang sederhana besar, sedangkan beliau mampu untuk membeli banglo. Ini kerana aspek "emosional" rumah itu sukar untuk dicari ganti.

Bagi sesetengah pihak, rumah yang "menyaksikan" pembesaran anak-anak mereka tidak akan dijual walaupun ditawarkan pada harga yang tinggi. Ini untuk membolehkan anak-anak mereka mengingati "tempat jatuh bangun", tempat mengalirkan air mata dan tempat dimanjakan oleh ibu bapa. Namun, apabila rumah itu diserahkan kepada salah seorang daripada mereka, sudah tentu nasib rumah berkenaan "tidak ketahuan".

Baru-baru ini, terbaca sebuah artikel di akhbar mengenai seorang bekas pemimpin tertinggi polis yang hanya tinggal di kawasan rumah teres walaupun mampu untuk membeli banglo. Alasan mereka ialah selesa tinggal di tempat itu termasuk jiran yang ramah mesra. Ini adalah faktor yang menyebabkan kita tinggal lama di sesuatu kawasan itu - JIRAN YANG BAIK HATI DAN BERBUDI BAHASA.

Tuesday, April 10, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (2)

Hari ini Jibam sakit perut. Makan makanan yang diberikan oleh orang ramai di bawah bukit. Aku dan Jibam seronok menerima makanan yang diberikan oleh orang Cina dan India. Bagi kedua-dua bangsa ini, monyet dan beruk adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Ada monkey god dan Ramayana.

Bagi orang Melayu, beruk digunakan untuk panjat pokok kelapa kebanyakan di Pantai Timur. Malah, di Terengganu ada sekolah untuk mengajar beruk memanjat kelapa. Semua ini aku dengar MANUSIA bercerita ketika lepak berdekatan dengan Restoran Mamak Bistro di Putra Hait.

Jibam makan dengan gelojoh. Orang lempar limau, dia makan. Orang bagi pisang, dia telan. Tapi yang menyebabkan Jibam sakit perut ialah makan burger, makanan segera yang amat digemari oleh manusia. Ada yang berpendapat makanan segera menyebabkan banyak penyakit kronik sekarang. Sampaikan nak mengharamkan iklan makanan segera di televisyen. Sampai begitu sekali. Jibam tak serasi dengan burger yang dipenuhi sos cili dan cuka. Bahan cuka menipiskan usus Jibam.

Aku bawa Jibam menemui Tok Dukun Pandei yang menggunakan akar kayu untuk mengurangkan kesakitan. Tok Dukun Pandei tidak mengenakan bayaran mahal, cukup sekadar sebiji pisang untuk makan malamnya. Setelah minum air jampi yang diberikan oleh Tok Dukun Pandei, keadaan Jibam beransur pulih. Jibam..oh...Jibam.

Sementara dah jumpa Tok Dukun Pandei (TDP), aku minta dia tolong tengok sakit gatal-gatal aku. Dia bagi akar kayu untuk digosok. TDP ini seorang yang jujur. Dia tidak pegang aku kalau tidak perlu. Yang peliknya, aku dengar cerita ada pulak manusia yang sanggup membiarkan dirinya diperkosa kerana percaya cakap dukun. Mereka termakan cakap dukun bahawa dengan mengadakan persetubuhan maka roh jahat akan keluar. Ada yang bebal bagi wang banyak-banyak kat dukun. Macamlah dukun tu tuhan. Apa punya manusia macam itu? Lebih baik jadi beruk.

Dalam perjalanan ke rumah TDP, aku nampak banyak lori yang membawa tanah untuk membuat jalan baru. Lori-lori itu membuat kotor merata-rata di jalan lama. Aku rasa penduduk Putra Hait tentu tak selesa dengan pergerakan lori-lori tanah itu.

Petang ini, aku nak jumpa Khenot untuk memberitahu masalah banjir yang melanda rumahku. Aku tidak tahan lagi dengan keadaan ini. Aku perlu rumah di tempat yang lebih tinggi. Khenot, wakil bawah bukit selalu gagal untuk melaksanakan tugas dan aku rasa pemilihan yang akan datang aku pilih orang lain. Nama Khenot ini diberikan kerana semua perkara beliau kata tak boleh buat. Bahasa orang putih bermaksud cannot. Macam mana nak jadi wakil beruk kalau semunya "khenot-khenot" belaka.

Jinnah, kau ada rumah ke? Ada. Naiklah Khenot. Ha tu pun kau. Apa masalah kamu? Masalah aku ialah rumahku sering dinaiki air apabila hujan lebat. Macam mana aku nak buat. Kau tolonglah cari pokok baru di atas bukit itu. Tak boleh. Tak Boleh. Nanti Tok Dol marah sebab kau tak layak duduk atas bukit. Kau golongan marhain. Macam mana nak campur golongan atasan. Ahhh..apa nak sibukkan golongan marhain atau atasan. Yang penting rumah aku tak banjir apabila hujan. Oklah, aku cuba tanya dengan Tok Dol.

Khenot berlalu pergi. Jibam sudah lama tidur. Sakitnya semakin berkurangan. Terima kasih TDP kerana membantu. Sejak aku menjanda, tak ramai beruk-beruk jantan datang mengendeng dekat aku. Mentang-mentang aku ni dah tua sikit, tiada yang mahu. Dulu, ketika aku muda terang tangtang, ramai beruk-beruk jantan termasuk yang bertombong besar di buntut terhegeh-hegeh dengan aku. Tapi kini semuanya sudah berlalu. Beruk-beruk jantan tu tak jengok pun aku. Masa aku sakit demam, mereka tak peduli langsung. Bagi mereka biarlah aku mampus, lagi bagus. Aku bersendirian dengan Jibam. Beliaulah satu-satu penglipur lara dan teman sejati aku.

Banyak rakan-rakan aku telah berhijrah ke tempat lain. Ada yang ke Puchong dan ada juga yang pergi ke hutan berhampiran Shah Alam. Tetapi di Shah Alam, banyak bukit dan digondolkan maka beruk takut nak pergi ke situ. Kalau manusia tak faham nasib beruk, maka lebih baik jadi beruk.

PJPD 3 : MINUM AIR SATU BALDI

Sakit pinggang yang sama berulang ketika mula bekerja di akhbar Berita Harian dan ketika itu diadakan pemilihan wakil Malaysia ke Camel Trophy di Australia. Pemilihan wakil negara diadakan di kawasan berbukit di Sungai Buluh. Wartawan cetak dan elektronik dijemput untuk membuat liputan event yang berlaku selama dua hari satu malam.

Sakit di sebelah kanan pinggang muncul semula ketika saya bermalam di khemah yang disediakan di Sungai Buloh. Yang peliknya, satu hari suntuk tidak merasa sakit tetapi ia mula memulas pada waktu maghrib sehinggalah ke pagi. Rasanya seperti ada orang menikam dengan pisau di dalam badan saya dan perut memulas-mulas untuk membuang air besar atau muntah. Bagaimanapun, apabila pergi ke tandas tiada apa yang berlaku namun kesakitan itu berterusan sehinggalah saya berjumpa doktor keesokan harinya.

Doktor di klinik swasta yang saya lawati menyatakan daripada symptom yang dinyatakan, saya mungkin ada penyakit batu karang. Beliau juga tidak menghantar saya ke hospital. Beliau menasihatkan saya minum air putih banyak-banyak. Saya pun diberikan cuti sakit selama tiga hari dan ketika berehat itulah saya minum air banyak-banyak dan sakit itu pula mula hilang. Perlu minum air satu baldi.

Ketika itulah, baru saya mengetahui bahawa penyakit yang dialami ketika di Sekolah Tinggi Melaka itu ialah batu karang yang disebut “sampuk” oleh tok dukun Masjid Tanah itu. Oleh kerana kurang minum air maka dapatlah penyakit batu karang. Dari sekolah hinggalah ke tempat kerja.

Doktor menasihatkan saya minum air banyak selepas itu dan ketika menjalani latihan Camel Trophy di Birmingham, England, saya terpaksa membawa air mineral sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke London. Ketika di London, ada air mineral di dalam beg kecil saya bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Bayangkan kalau sakit terpaksa masuk hospital di negeri orang. Perbelanjaannya sudah pasti menakutkan. Ketika itu secara perbandingan matawang ialah satu pound bersamaan RM4. Kalau sekarang yang sudah melambung menjadi satu pound bersamaan RM7, cuba bayangkan kadar bayaran hospital yang perlu ditanggung. Sudah tentu meyakitkan.

Apabila dipilih untuk menyertai Camel Trophy di Darwin, Australia, saya juga membawa air masak dari Malaysia yang menyebabkan saya ditahan selama sejam oleh Jabatan Imigresen Australia. Mereka ingin tahu apakah kandungan air yang dibawa. Agak melucukan juga. Tetapi itulah yang perlu dihadapi oleh pelawat ke Australia. Kerajaan negara itu tidak membenarkan sesiapa membawa makanan atau tanaman tanpa kebenaran. Alhamdulillah, semasa di Australia bersama-sama peserta Camel Trophy dari seluruh dunia, masalah sakit itu tidak timbul sehinggalah beberapa tahun selepas itu.

Bersambung…..

Monday, April 9, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (1)

Setiap kali pandang ke langit, hatiku gusar. Sebab jika langit gelap, hatiku sudah pasti tidak tentu arah. Ini kerana apabila langit gelap, ia pasti diikuti dengan hujan. Yang paling menakutkan ialah hujan lebat dengan tiupan angin kencang. Habis buluku basah dan semalaman kesejukan. Kadangkala demam sehingga beberapa hari.

Aku duduk di pokok yang paling rendah di Bukit Putra, yang terletak berhampiran Putra Hait. Setiap kali hujan turun, rumahku akan ditenggelami banjir. Bayangkan pada hari Ahad minggu lalu, sedang aku seronok tidur dengan anakku Jibam, kami dikejutkan dengan air yang naik secara mendadak. Nasib baik, kami dapat berpaut di dahan tertinggi sehinggalah air surut. Pagi Ahad yang sepatutnya menjadi hari untuk beristirehat bertukar menjadi hari penat lelah dan kesejukan.

Sejak menjadi ibu tunggal, aku dan Jibam terpaksa mencari pokok rendah di bawah bukit. Ini kerana beruk lain yang dikatakan ada "pangkat" dan "darjat" duduk di pokok yang lebih besar. Pokok yang kukuh dan sentiasa menerima tiupan angin-angin sepoi bahasa dari arah Shah Alam atau Puchong.

Beruk lain tidak membenarkan aku tinggal di pokok di atas Bukit Putra. Malah tempat idamanku iaitu di menara telekomunikasi pun mereka larang. Mereka hendak control semua. Aku tidak ada pilihan, melainkan tinggal di bawah bukit kerana kawasan sekeliling sudah dibangunkan oleh Semua Kitakebas Sdn Bhd. Syarikat itu telah membina rumah teres, flet dan rumah kedai.Itu aku tak marah, sebab mereka yang memiliki tanah. Aku hanya menumpang. Namun, apabila mereka buat rumah dan bangunan, maka berkeliaranlah beruk-beruk di Bukit Putra itu. Kehilangan punca....

Beberapa kali aku memberitahu wakil kawasan bawah bukit untuk mengemukakan masalah kami kepada orang di atas tetapi hingga sekarang tidak selesai. Apabila hujan, banjir akan berlaku dan rumahku akan menjadi mangsa. Jibam selalu merayu-rayu mengajak aku pindah ke Puchong, ada banyak ladang kelapa sawit. Tetapi aku tak mahu, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bergayut.

Kalau ikut hati, hendak aku beritahu kepada MANUSIA, yang "sebangsa" denganku mengenai apa yang mereka lakukan menyebabkan banjir berlaku kepada rumahku.

MANUSIA ni walaupun rupanya lebih cantik daripada beruk tetapi ada daripadanya perangai lebih teruk daripada beruk. Umpamanya, ketika makan, bunyi macam-macam yang keluar daripada mulut mereka. Cit, cat, cit, cat. Adakala bunyi macam kucing. Ibu bapa mereka tidak mengajar atau menegur cara untuk makan dengan tertib ke. Abang aku dulu akan lempang aku jika makan berbunyi. Dia kata makan macam kucing. Cit, cat, cit, cat. Satu lagi, kalau ada keramaian dan disediakan makanan percuma, maka mereka berebut-rebut mendapatkan makanan. Macam tak pernah makan. Itukan lebih teruk daripada perangai beruk.

Cerita aku ini dapat dibacakan oleh semua makhluk tuhan kerana bantuan sirimau yang sudah menjadi "blogger". Itupun bukan dia yang menaip tetapi mendapat bantuan manusia yang suka membela haiwan sebagai rakan mereka. Tetapi sirimau tu dapat juga jadi blogger yang kini kena sumpah seranah depan belakang. Tak tahulah, jika aku mula bercerita mengenai nasib beruk-beruk di Bukit Putra ini sudah tentu aku pula akan dilabelkan sebagai "blogger" yang ingin memburuk-burukkan semua orang.

Itu bukan niat aku. Apa yang penting, nasib beruk-beruk di Bukit Putra akan diketahui ramai dan seterusnya manusia akan mengambil usaha untuk membantu kami. Aku tidak mahu menjadi rakan-rakan yang terkurung dalam zoo di seluruh dunia yang menjadi bahan tontonan pelawat yang adakalanya kurang ajar dengan melempar batu atau kayu. Aku mahu jadi beruk yang bebas dan menikmati kehidupan yang sempurna. Walaupun bebas, segala tindakanku bersempadankan peraturan alam.