Thursday, April 5, 2007

DUNIA BLOGGER DALAM DUNIATIGER

Walaupun DUNIATIGER tidak ramai pengunjung, hakikatnya, saya bangga menjadi seorang blogger. Setidak-tidaknya, saya adalah antara rakyat Malaysia (terlewat sikit) yang terbabit dalam dunia blogging, yang kini menjadi perhatian ramai.

Seperti RPK, AKJ, AT, Jeff, Ron, Rocky, Nuraina, Marina, SS dan blogger lain, mereka mempunyai tujuan tersendiri untuk terbabit dalam dunia blogging. Yang utama, ia bersempadankan undang-undang dan adab sopan negara ini.

Oleh itu, saya rasa biarlah blogger terus menulis tanpa sebarang peraturan tertentu kecuali mereka yang melanggar undang-undang negara.

Seperti yang saya nyatakan pada peringkat awal, blog adalah medium yang MUDAH dan CEPAT.

Friday, February 23, 2007
SALAM SEJAHTERA

Salam sejahtera. Panjat kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi peluang untuk terus menulis dalam medium yang MUDAH dan CEPAT. Semoga dapat menyumbang kepada pembangunan negara tercinta. Tiada masalah dengan kritikan membina kerana ia sudah menjadi asam garam sebagai wartawan sejak lebih 20 tahun lalu. Terima kasih kepada ramai guru kewartawanan terutama AKJ dan CSH yang banyak memberi bimbingan dan panduan.


Saya juga yakin blogger di negara ini tidak akan berbohong kecuali mereka yang tidak takut dengan undang-undang negara. Saya pernah menulis sembilan sebab mengapa mereka tidak akan berbohong.

Sunday, March 11, 2007
MENGAPA BLOGGERS TAKLEH BOHONG

SEMBILAN SEBAB BLOGGERS TIDAK BOLEH MENIPU

1. NAMA SENDIRI. Blogger yang menggunakan nama sendiri tidak boleh menipu. (Namun, ini tidak bermakna mereka yang menggunakan nama samaran akan menipu). Jika menipu, ini akan menjejaskan nama baik mereka. Mereka mungkin boleh menipu sekali tetapi jika sering berbuat demikian, lama-kelamaan orang akan mengetahui tembelang mereka. Ramai blogger yang mengemukakan facts and figures untuk memperkuatkan hujjah dalam tulisan mereka.

2. GAMBAR TERPAMPANG. Ada blogger yang menggunakan nickname atau nama samaran, memaparkan gambar mereka. Sejak kes Rocky dan Jeff Ooi, ramai yang keluar daripada kepompong mereka dengan memperkenalkan diri sebenar. Identiti mereka mula diketahui. Namun, mereka masih menggunakan nickname kerana popular dengan nama berkenaan.

3. TERKENAL. Ada blogger yang terkenal dalam bidang masing-masing seperti bekas ahli Parlimen, ketua pengarang, pengarang, ahli korporat, wartawan dan ahli perniagaan. Mereka sudah pasti tidak akan memperjudikan integrity atau maruah dengan membuat berita palsu atau menyiarkan bahan bacaan yang tidak masuk akal. Melainkan mereka yang mempunyai agenda tersendiri dan sanggup menggadaikan maruah.

4. ANAK TOKOH. Ada blogger yang mempunyai ibu bapa terkenal. Sudah tentu mereka tidak akan memperjudikan nama baik ibu bapa mereka dengan menulis bahan-bahan palsu. Jika mereka berbuat demikian, ini akan memalukan ibu bapa mereka apatah lagi jika tokoh itu masih hidup dan disegani ramai.

5. CINTAKAN NEGARA. Semua blogger tidak kira di mana mereka berada, wanita atau lelaki, sudah pasti cintakan negara mereka sendiri. Kemana mereka hendak pergi kerana ini tanah tumpah darah mereka. Tujuan mereka menulis ialah untuk menegur atau ingin memperbetulkan apa yang difikirkan tidak berjalan dengan baik. Ini dibenarkan dalam negara yang mengamalkan ketelusan dan freedom of the press. Jika teguran itu tidak benar, pihak yang ditegur perlu membetulkannya dalam blog mereka yang membuat teguran.

6. PENGALAMAN. Ramai blogger yang menulis pengalaman dan pemerhatian mereka sendiri. Mereka tidak akan menulis bahan yang direka-reka terutama mengenai diri dan keluarga mereka. Umpamanya, jika emak mereka sihat takkanlah mereka akan menulis yang bukan-bukan untuk mendapat simpati.

7. KEWARTAWANAN. Wartawan yang menjadi blogger sudah pasti akan mengamalkan etika kewartawanan yang dipelajari di universiti. Antaranya tidak boleh menulis berita palsu atau mereka-reka bahan berita. Jika mereka membuat berita palsu, lama kelamaan pembaca akan tahu sama ada berita yang ditulis itu benar atau sebaliknya. Pelajar kewartawanan juga diberikan pendedahan dalam ilmu perundangan untuk memahami istilah-istilah seperti defamation, slander, plagiarism dan libel.

8. MAHKAMAH. Negara ini mempunyai undang-undang. Mereka yang merasakan diri mereka difitnah boleh menyaman golongan yang dirasakan membuat fitnah. Begitu juga mereka yang disaman boleh membela diri dengan membuktikan bahan yang ditulis itu adalah benar.

9.ISA. Kerajaan boleh menggunakan ISA untuk menangkap penulis yang boleh mengancam keselamatan negara menerusi penulisan mereka. Umpamanya, jika blogger menulis sesuatu isu yang mengapi-apikan sentimen antara kaum, mereka boleh dikenakan tindakan termasuk ISA. Begitu juga mereka yang menghina agama orang lain.

nota: mungkin ada lagi sebab lain...


Saya juga menurunkan beberapa faktor menyebabkan rakyat negara ini membabitkan diri dalam dunia blogging termasuk diri sendiri.

Monday, March 19, 2007
KITA ORANG BACA BLOG TAPI.....

Minum petang dengan beberapa orang rakan dari RTM di Restoran Syed,Lucky Garden hari ini. Macam-macam topik dibincangkan sehinggalah ke Dunia Tiger. "Apalah bos ni, dalam blog tulis mengenai handphone hilanglah..cakap dengan anaklah, bahasa kampunglah... tulislah perkara yang sensitif sikit..cuit sana cuit sini. Barulah best. Kita orang baca blog bos...tapi tak syoklah nak komen.." Pandangan yang ikhlas dan ada logiknya.

Bagi saya menjadi blogger ini membenarkan kita untuk memaparkan apa saja yang terfikir untuk dimuatkan dalam blog asalkan ia bersempadankan kepada undang-undang dan adab sopan di negara ini.

Ada blogger menulis pengalaman mereka dan ada juga mengutarakan isu gender. Ada pula yang membuat teguran kepada kerajaan. Ada blogger yang mempersoalkan tindakan menteri yang dianggap kurang bijak. Ada yang menulis mengenai politik. Tidak kurang juga yang menulis mengenai nasib golongan berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, ada pelbagai jenis dan ragam dalam penulisan blog. Ia tidak stereotype atau perlu mengikut prosedur dan manual tertentu. Tulislah mengikut selera sendiri.

Saya menulis mengikut apa yang terlintas di fikiran....yang boleh memberi nasihat, teguran, sindiran atau pedoman kepada pembaca. Saya juga melontarkan persoalan sosial dalam bentuk mudah difahami di samping mengutarakan pengalaman sebagai anggota masyarakat. Yang baik akan dipuji. Ada tulisan saya umpamanya mengenai kad kredit adalah jujur kerana tidak mahu lebih ramai rakyat Malaysia amnya dan Melayu khasnya menjadi muflis.

Bahan yang ditulis bermatlamat untuk dikongsi bersama untuk memperbaiki kehidupan kita. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.


Yang terakhir sekali ialah mengenai 11 juta orang di negara ini yang boleh membaca pelbagai blog, bukan saja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Friday, March 30, 2007
11 JUTA ORANG BOLEH AKSES INTERNET

Jika satu peratus daripada penduduk negara ini yang mempunyai akses internet membaca blog ini, maka jumlah pembaca akan menjadi 110,000 orang. Betul tak?

Ini kerana menurut [ Jeff Ooi ] ada lebih 11 juta orang, satu pertiga daripada penduduk negara ini, mempunyai akses kepada Internet. Selain itu, ada kira-kira 100 juta bloggers dalam dunia sekarang dan jumlahnya semakin meningkat.


Diharapkan lepas ini ramailah orang memahami mengenai dunia blogger dan blogging.

No comments: