Wednesday, April 18, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (10)

Ilmu yang diturunkan amat teratur dan jelas. Setiap beruk yang mengikuti penerangannya sejak sebulan lalu kini semakin pandai. Mereka mengenali tumbuh-tumbuhan di sekitar Bukit Putra yang boleh dijadikan ubat. Tahu jenis tumbuh-tumbuhan itu sebagai ubat untuk penyakit tertentu. Antaranya penyakit biasa dihadapi beruk iaitu gatal-gatal, sakit perut atau demam.

Tok Dukun Pandei tidak kedekut dengan ilmunya. Sejak berpuluh tahun lalu, beliau adalah pakar rujuk bagi beruk-beruk yang menghadapi masalah kesihatan. Mereka datang siang dan malam. Mengadu penyakit yang dihadapi. Beliau akan memberi ubat daripada pucuk herba dan air jampinya. Bayarannya tidak mahal. Beliau juga tidak meminta-minta. Terpulanglah kepada pesakit. Yang memberi sebiji pisang pun diterimanya. Apatah lagi jika memberi setandan. Bolehlah bertahan sehingga dua minggu.

Bagi aku, jika kadar bayaran mahal, maka pendek umurlah. Sebagai ibu tunggal, tiada siapa yang boleh membantu aku untuk menyara kehidupan. Kena kerja sendirilah. Meyara diri dan membesarkan Jibam. Itu sebabnya aku sering menyimpan makanan untuk hari-hari di mana aku tidak mampu untuk bergerak. Terutama ketika aku diserang penyakit semput. Adakalanya berlarutan beberapa hari. Jibam hanya mampu melihatnya saja.

Tok G sendiri yang mengarahkan Tok Dukun Pandei mengajar beruk-beruk lain yang berminat dalam ilmu itu. Bagi Tok G, ilmu itu perlu diperturunkan memandang usia dukun itu yang kini memasuki fasa senja. Walaupun Tok Dukun Pandei kuat berjalan tetapi matanya kabur dan sering dibantu oleh anaknya, Misai Melentik.

Tok G tahu Misai Melantik mampu menggantikan bapanya. Tetapi beliau mahu lebih dari itu. Mahu lebih ramai beruk mempunyai kemahiran berkenaan. Sudah tentu untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Dalam penerangannya itu, Tok Dukun Pandei menyebut bahawa banyak tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ubat di Bukit Putra hampir pupus. Ini angkara manusia yang sering bertandang mencari pelbagai jenis tumbuhan herba. Mereka sanggup meredah hutan untuk mencari pokok tongkat ali biasa dan hitam. Namun, tindakan mereka tidak bersopan dan rakus dengan mengambil banyak pokok di sesuatu kawasan tertentu. Sepatutnya mereka mengambil di beberapa kawasan berbeza untuk membolehkan pokok-pokok kecil membesar dan membiak. Janganlah pula menggondolkan kawasan itu. Ia juga tidak baik untuk mengawal keadaan tanah terutama ketika musim hujan.

Tok Dukun Pandei juga menyebut ada sebuah gua berdekatan dengan tiang telekomunikasi di atas bukit. Menurutnya, gua itu terlalu gelap dan sempit sehinggakan tiada manusia yang sanggup masuk ke dalamnya. Namun, beliau percaya apabila kawasan Bukit Putra diterokai seluruhnya, sudah pasti gua itu akan dimasukki.

Mengikut cerita Tok Dukun Pandei lagi, di dalam gua itulah dikatakan tinggal sekumpulan ular sawa yang sering menjadikan beruk sebagai habuan mereka. Ular-ular ini bergerak pada waktu malam. Oleh kerana mereka boleh menyusur pokok, maka beruk yang sedang tidur adalah mangsa yang paling diminati. Tidak hairanlah banyak cerita mengenai kehilangan anak, ibu, bapa atau anggota keluarga akibat tindakan licik ular sawa berkenaan.

No comments: